Tuesday, January 25, 2011

Tolak calon UMNO hanya cerita rekaan

LABIS: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyifatkan penyebaran risalah kononnya penyokong Ketua Wanita UMNO Labis, Haslinda Salleh, menolak calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sebagai cerita rekaan pembangkang yang terdesak untuk melemahkan jentera BN.

Mohd Shafie berkata, jentera parti itu termasuk sayap Wanita sentiasa bekerja keras dan bersatu hati memastikan DUN berkenaan menjadi milik Mohd Azahar kerana bekas Bendahari Pemuda UMNO Labis itu dipilih sebagai calon menerusi persetujuan dan kesepakatan semua pihak.

"Sebenarnya tak ada masalah antara jentera sayap dan bahagian. Kita kesal dengan pengedaran risalah seperti ini, takkan UMNO nak mengedarkannya kepada pengundi.
"Saya harap penduduk DUN Tenang supaya tidak mudah terpedaya dan saya juga yakin pengundi di kawasan ini tidak mudah untuk diperalatkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Program Bantuan Rumah RISDA Segamat di Kampung Lembah Bakti, di sini, semalam.

Risalah tertulis 'Kami Penyokong Linda Tidak Akan Menyokong Tok Ai Sebagai Calon, BN Tolak Wanita' yang kononnya disebarkan Kelab Wanita Veteran Labis di sekitar kampung dalam DUN Tenang sejak kelmarin.

Mohd Shafie turut menyifatkan Mohd Azahar calon terbaik untuk mewakili rakyat kerana beliau seorang anak muda yang sudah masak dengan selok belok kawasan DUN Tenang, selain berpengalaman dalam pentadbiran pada peringkat daerah.

Katanya, setiap kali kempen pilihan raya kecil, pembangkang akan melakukan pelbagai usaha termasuk mereka-reka cerita tidak benar untuk melemahkan jentera BN serta mengelirukan pengundi.

No comments:

Post a Comment