Wednesday, December 26, 2012

Skandal Tanah & Balak: Sejarah Berulang Kembali, PAS Mengundang Bala Kekalahan Di Kelantan

48 tahun dulu yakni sekitar tahun 1964, Kerajaan PAS Kelantan tika itu pernah menyerahkan tanah hutan balak yang luasnya melebihi 300 000 ekar di Gua Musang kepada sebuah syarikat Timber & Mine Industrial Corporation milik tauke Cina dari Singapura kononnya untuk tujuan pembangunan.

Namun rakyat bukannya buta kayu untuk melihat hakikat sebenar pajakan tanah selama lebih 30 tahun itu tujuan utamanya tak lain dan tak bukan ialah untuk kegiatan pembalakan kayu kayan.

Rentetan daripada itu, timbul riak-riak kemarahan rakyat terhadap Kerajaan PAS Kelantan namun untuk beberapa ketika suara protes rakyat dapat dibendung dan dikekang daripada merebak lebih luas.

Bagaimanapun apabila berlaku krisis kepimpinan PAS di negeri itu yang turut membabitkan isu pemberian tanah dan kawasan balak untuk kepentingan kroni, akhirnya rakyat bangkit secara besar-besaran mengakibatkan PAS jatuh terduduk di Kelantan pada 1978.

Kini, di era milenium selepas PAS memerintah Kelantan selama 22 tahun timbul lagi isu yang mirip seperti dulu.

Tika ini tanah seluas 10,526 ekar ataupun bersamaan 4,259.9 hektar di Gua Musang telahpun dipindah milik kepada syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd melalui pajakan selama sekitar 50 tahun.

Syarikat itu asalnya milik individu lain tapi kini menjadi milik pemimpin Cina DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Min. Dengan demikian, kedua-dua pemimpin yang mempunyai hubungan kekeluargaan itu berkuasa penuh ke atas tanah tersebut selama beberapa dekad seterusnya menikmati hasil bumi Kelantan sepuas-puasnya.

Gayanya saling tak tumpah seperti Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat secara sedar atau sebaliknya telah mengulangi skandal lama di mana tanah-tanah di Selatan Kelantan pernah jatuh ke tangan syarikat milik Cina Singapura dulu.

Dengan kata lain, PAS seperti sengaja menempah bala kemarahan rakyat yang tentu sahaja ia bakal diterjemahkan kepada kekalahan besar PAS di Kelantan pada PRU 13 kelak, mengulangi kembali kejatuhan PAS pada 1978 dulu.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment