Tuesday, January 22, 2013

Seminar Nusantara: Apa Seterusnya?

Antara yang didedahkan di dalam perbincangan lanjutan dari seminar tersebut juga ialah mengenai kisah-kisah kaum bumiputera yang ingin benar mengetahui tentang Islam tetapi terlebih dahulu didekati oleh puak Kristian. Walaupun begitu, mereka tidak pernah memadamkan keinginan untuk mempelajari Islam dan sering menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan maklumat tentang Islam di mana saja ada kesempatan seperti ceramah di sekolah dan sebagainya. Di masa yang sama usaha puak Kristian untuk mendekati mereka sentiasa ditingkatkan tetapi tiada usaha langsung dari pihak ulama Islam untuk berbuat yang sama.

Apabila memikirkan bagaimana di kalangan masyarakat Islam memakai 'imej' Islam dan sudah mempelajari Islam sejak kecil juga masih boleh disesatkan oleh Ulama palsu atau dimurtadkan oleh pendakwah agama lain, maka apatah lagi mereka ini yang tiada asas mengenai Islam. Walaupun mereka memendam minat kepada Islam, mereka-mereka ini tentu saja mudah dikelirukan dengan Kalimah Allah di dalam kitab agama lain.

Justeru, apa yang dapat disimpulkan dari Seminar Nusantara ini ialah masalah yang melanda Umat Islam hari ini telah berakar umbi dan bercabang-cabang. Namun, sehingga kini, walaupun para pembentang dapat mengupas dan mencari puncanya, penyelesaiannya masih terlalu jauh. Jalannya juga masih terlalu kabur.

Dari situ, saranan Tuan Haji Zakariyya Adam, Ahli Parlimen Kemboja dan juga pembentang kertaskerja bertajuk "Pembangunan Sosioekonomi Muslim Kemboja" agar diwujudkan satu Pusat Rujukan Islam Tertinggi bagi rantau ASEAN yang merangkumi Ulama-ulama serantau untuk menangani kesemua masalah ini secara bersepadu dan tersusun.

Kesimpulannya, Seminar Nusantara telah berjaya dilaksanakan, tetapi ia tidak akan mengubah apa-apa tanpa tindakan susulan yang tegas dan pantas.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment