Majlis Perundingan Ekonomi Negeri (Mapen) sedang dalam proses melaksana dua projek, The Melaka Gateway dan Dinasours Park, Underwater World yang dijangka menarik lebih tiga juta pelancong setahun ke negeri ini. Pengerusi Mapen, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kedua-dua
projek itu dijangka membuka sebanyak 16,000 ruang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan negeri sehingga lebih RM6 bilion.
Menurutnya, The Melaka Gateway yang akan dibina di atas tapak seluas 209.62 hektar dengan kos RM30 bilion itu melibatkan pembinaan tiga buah pulau buatan berhampiran Pulau Melaka. "Projek itu meliputi Cruise Jetty, pusat beli-belah, hotel, kondominium, pangsapuri lima bintang, kompleks pertunjukan budaya (Melaka Impression) dan taman perumahan berkonsep. "Bagi projek Dinasours Park dan Underwater World pula dibina di atas tapak seluas 14.16 hektar dengan kos RM240 juta meliputi Taman Tema Dinasours Park, Underwater World, kedai beli-belah, kedai jualan cenderamata dan kemudahan awam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Ali berkata, dalam mesyuarat pertama Mapen baru-baru ini, beberapa perkara turut dicadangkan kepada kerajaan negeri antaranya memperkukuh syarikat teras bumiputera Melaka, peningkatan infrastruktur utama-Projek Jalan Pantai Selat Melaka. Turut dicadangkan, katanya, kajian bagi mewujudkan Museum Tour yang berfungsi seperti Melaka River Cruise. "Museum Tour ini akan melibatkan pakej yang mana para pelancong akan dibawa melawat muzium-muzium di negeri ini menaiki bas secara sistematik dan teratur beserta pemandu pelancong," katanya.
source: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment