Saturday, March 8, 2014

Nasib Pesawat MH370 Masih Belum Diketahui

KUALA LUMPUR 8 Mac.- Nasib pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang dilaporkan hilang akibat terputus hubungan pada pukul 2.40 pagi tadi masih belum diketahui.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, ketika ini gerakan operasi dan menyelamat (S&R) sedang dilakukan di lokasi terakhir pesawat berkenaan dikesan iaitu 120 batu nautika dari Kota Bharu.

"Spekulasi kononnya pesawat ini selamat mendarat di Nanming di China juga tidak benar kerana belum dapat disahkan. "Kita telah mengerakkan operasi mencari dan menyelamat antara pasukan keselamatan negara dan Vietnam," katanya.

Ahmad Jauhari juga berkata, pusat kawalan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan dan tidak berlaku sebarang cuaca buruk ketika pesawat berkenaan hilang. Beliau bercakap kepada media dalam sidang akhbar khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. Turut hadir dalam sidang akhbar ini adalah Pengarah Komersial MAS, Dr. Hugh Dunleavy, dan Ketua Jurutera MAS, Azhari Dahlan.

Ketua Operasi Penerbangan MAS, Kapten Kamaruddin Kamilin dan Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Azaharuddin Abdul Rahman hadir sama. Pesawat Boeing 777-200 berusia 11 tahun itu membawa 239 orang, yang terdiri daripada 227 penumpang daripada 14 negara, dua daripadanya bayi, dan 12 krew pesawat. Penumpang warganegara China adalah yang teramai iaitu 152 orang, diikuti warga Malaysia 38 orang.

Pesawat tersebut diterbangkan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, yang berpengalaman dengan jumlah masa penerbang sebanyak 18,365 jam dan menyertai MAS sejak 1981. Zaharie dibantu oleh Pegawai Pertama (First Officer), Fariq Ab. Hamid, 27. Pesawat berkenaan berlepas pada pukul 12.41 pagi dari KLIA, Sepang dan sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan hari yang sama. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment