Showing posts with label Himpunan Kebangkitan Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Himpunan Kebangkitan Rakyat. Show all posts

Tuesday, January 15, 2013

Pembangkang Guna Talian Hayat Untuk Selamatkan Maruah HKR

Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR #KL112) ataupun dikenali juga Himpunan Menyokong Gadaikan Kalimah Allah Kepada Kristian sudah pun selesai. Namun ibarat rumah sudah siap pahat masih berbunyi, para penyokong pakatan pembangkang pula masih sosek-sosek sesama sendiri.

Keliru dan mengelirukan. Itu yang sedang berkecamuk dalam minda penyokong pakatan pembangkang berikutan pelbagai angka kehadiran dikeluarkan oleh pimpinan PR dan medianya.

Ada yang kata HKR #KL112 dibanjiri 100,000 orang, 160,000 malah ada juga yang kata nampak dengan mata kepala sendiri 300,000 orang berhimpun di Stadium Merdeka dan kawasan sekitarnya.

Sama-sama sendiri pun berlaku percanggahan ketara, sudahlah angka sejuta gagal dicapai, angka kecil pun tiada satu pun yang tepat dan realistik dengan keluasan lokasi perhimpunan berlangsung.

Mengikut kajian semasa melibatkan pengguna internet seperti blog, portal, twitter dan facebook pada 12 Januari 2012 yakni hari perhimpunan tersebut diadakan terdapat sejumlah 76,000 komen positif yang membicarakan HKR #KL112.

Bagaimanapun keesokan harinya, 13 Januari 2012 komen-komen positif turun mendadak kepada hanya 12,300 komen sahaja. Keghairahan para penyokong PR seperti terbantut. Kenapa dan mengapa?

Berkemungkinan besar kerana tiada insiden besar seperti rempuhan oleh peserta himpunan ataupun tindakbalas keras dari pihak polis. Mungkin ada kebenarannya kerana berdasarkan tinjauan di Stadium Merdeka, banyak kedengaran keluhan para penyokong PR yang merasakan acara kali ini agak membosankan dan tidak mencabar.

Tambahan pula bila mana selepas perhimpunan berlangsung pelbagai angka kehadiran yang tidak munasabah dikeluarkan yang akhirnya memalukan PR sendiri. Semangat penyokong yang sudah sedia tergugat terus jatuh setangga demi setangga dan akhirnya merudum.

Mungkin menyedari populariti HKR #KL112 dilihat gagal menandingi Bersih 3.0, maka datanglah seorang bekas professor kangkung yang terlebih cerdik dengan talian hayat baru untuk menyelamatkan maruah HKR #KL112.

Katanya perarakan yang memanjang 7 kilometer menghala ke Stadium Merdeka bersamaan di hadiri 700,000 orang, itu dakwanya selepas melihat beberapa keping gambar secara sepintas lalu. Seketika bekas professor itu bangga ada yang percaya congak kiranya yang logik kebenaran hanya orang gila sahaja yang mengiakannya.

Maka berkokok gembiralah pemimpin PR mendabik dada dengan gah dan bangganya. Padahal tiada pun perarakan memanjang 7 kilometer dipenuhi peserta HKR #KL112, sebaliknya yang wujud ialah jarak perjalanan perarakan yang jauhnya sekitar 7 kilometer dari KLCC ke Stadium Merdeka.

Stadium Merdeka yang berkapasiti cuma 30,000 ditambah lagi kapasiti maksima atas padang 10,000 orang serta 5,000 orang lagi di luar stadium tiba-tiba boleh dibanjiri 700,000 orang? Makin bengong dan kelu jadinya penyokong PR mahu mencerna angka fantasi yang tak masuk dek akal.

Sia-sia penyokong PAS bawahan yang datang dari jauh mematuhi kerahan tenaga termasuklah ada yang tidur bermalam dalam van dan kereta ketika pemimpin peringkat cawangan, kawasan dan negeri lena selesa di bilik hotel, alih-alih kecelaruan pula yang terus menghantui kepala.

Entah apa lagi usaha PR untuk menaikkan semangat penyokongnya tika ini, satu demi satu serba tak menjadi. 

Lagi bertambah parah bila mana malam Ahad lepas, Majlis Syura Ulama PAS yang hanya sesekali saja bermesyuarat itu tiba-tiba pula mengubah keputusan parti apabila tidak bersetuju membenarkan kalimah Allah s.w.t digunakan dalam kitab Bible.

Jatuh lagi semangat penyokong PR khususnya PAS, makin busuk nama HKR #KL112 jadinya.

HKR Iktiraf Idea Transformasi Najib


Akhirnya selesai sudah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR #KL112), semuanya berjalan aman dan tenteram. Sekalipun HKR #KL112 gagal mengumpulkan sejuta orang, sekurang-kurangnya penganur dapat juga kutip wang derma lebih dari RM200,000.00 dari penyokong yang hadir.

Soal angka kehadiran berbeza sekejap 100,000 malah ada yang dakwa 150,000 ataupun 300,000 hatta 700,000 sekalipun, bukannya isu utama untuk diperdebatkan.

Yang penting HKR #KL112 sudah membuktikan kapasiti Stadium Merdeka yang cuma 30,000 itu dan kehadiran sebenar cuma 45,000 termasuk peserta atas padang dan di luar stadium, jika bijak dipropagandakan ramai juga yang akan terpedaya dengan temberang angka dan nombor yang bombastik.

Sehingga kini tiada kekecohan besar yang dilaporkan. Kalau ada pun cuma kejadian menumbuk rakan sepakatan semasa kedatangan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang bertembung dengan ketibaan Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat di pintu utama Stadium Merdeka, itu sebetulnya sekadar manifestasi kejujuran sikap sesama penyokong PR sahaja.

Demikian halnya dengan penglibatan besar golongan LGBT, aktivis hak asasi manusia ala barat dan puak liberal dalam HKR #KL112, itu tidak mendatangkan aib pun kerana ia hanya satu kejujuran PR sebagai gabungan liberal yang mendukung agenda pluralisme.

Tak salah berlaku jujur menampakkan sikap dan dasar sebenar PR serta sesekali tumbuk kepala pengiring khas pemimpin PR, sedangkan adik beradik lagikan bergaduh, apa sangatlah tumbuk menumbuk sesama rakan dalam pakatan dan berhimpun bersama golongan pondan dan liberal, yak tak?

Malah Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri pun teruja sehinggakan turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PR di atas kelancaran perjalanan HKR #KL112.

"Perhimpunan yang berlaku pada hari tersebut (Sabtu lalu) telah menunjukkan islah atau pembaharuan yang kita lakukan (kuatkuasakan APA) adalah amat tepat sekali. Tahniah di atas profesionalisme yang dipamerkan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu majlis di Kuala Lumpur semalam.

Baru PM sedar dan tahu hakikat yang PR pun ada juga sikap warasnya yang mampu mengatasi angin gila pus-pus disamping berupaya juga untuk berkelakuan sopan macam manusia biasa yang lain, terutama sekali bila dah nak hampir PRU 13.

HKR #KL112 telah mengiktiraf perubahan dan pembaharuan yang dibawa oleh Najib kepada negara dan rakyat maka layaklah ucapan terima kasih itu ditujukan pada semua pimpinan pembangkang. 

Secara ringkasnya HKR #KL112 telah membuktikan tanpa kerjasama dari pimpinan PR sukar untuk menjayakan idea transformasi PM khususnya dalam menjayakan Akta Pehimpunan Awam (APA 2012), betul tak?

ANWAR KECEWA 'KEBANGKITAN RAKYAT' JADI KEMENANGAN BN


Beberapa kesimpulan dapat dirumus daripada 'Himpunan Kebangkitan Rakyat' anjuran parti-parti pembangkang Sabtu lepas.

Pertama, sekalung tahniah kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengotakan janji untuk mempastikan perhimpunan tersebut dijamin aman dan tidak berlaku sebarang rusuhan atau kekacauan seperti pengalaman lalu.

Kemenangan besar dan hakiki pada hari Sabtu lalu bukan kepada pembangkang tetapi kepada Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional.

Kewujudan Akta Perhimpunan Aman 2012 telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan apabila rakyat mengetahui keselamatan terjamin serta kehidupan mereka tidak lagi terganggu bilamana pembangkang mahu mengadakan sebarang demonstrasi di masa depan.

Ini adalah satu pendekatan inklusif oleh pihak polis yang patut diberi pujian dan penghargaan termasuk pihak pembangkang sendiri.

Sikap keterbukaan Perdana Menteri yang berkata kerajaan pimpinannya sanggup dikritik dan ditegur adalah satu cerminan dasar yang mengutamankan hak dan kebajikan rakyat dan pada masa yang masa menghormati nilai-nilai sistem demokrasi negara ini.

Kedua, perhimpunan yang diuruskan dengan begitu baik oleh PDRM telah menggagalkan sebarang percubaan pihak pembangkang untuk menimbulkan huru hara di jalanan sebagaimana ang mereka telah lakukan pada perhimpunan Bersih 3.0.


Sudah tentunya individu yang paling kecewa ialah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang mengharapkan penyokong-penyokong pembangkang dapat digerakkan sekali lagi untuk merusuh dan menimbulkan suasana tegang.

Strategi Anwar supaya berlaku kakacauan ialah supaya media antarabangsa yang membuat liputan berita akan menyebarluaskan gambaran bahawa kerajaan bertindak zalim, kuku besi, diktator dan sebagainya.

Malangnya perkara ini tidak terjadi dan perhimpunan yang diadakan tidak ubah seperti mana-mana ceramah politik pembangkang.

Kerajaan masih menunjukkan sikap prihatin dan berlembut walaupun pembangkang melanggaar beberapa syarat yang telah dipersetujui seperti menghadkan kehadiran peserta perhimpunan kepada 30,000 sahaja dan dilarang membawa bersama kanak-kanak.

Ketiga, ketiadaan Ketua Parlimen Dap, Lim Kit Siang menimbulkan tanda tanya mengapa beliau tidak hadir pada perhimpunan terbesar pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke 13.

Pembangkang berkata dengan jumlah mereka yang berkerumun di Stadium Merdeka sudah cukup untuk menyampaikan mesej kepada Barisan Nasional bahawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Mungkin penyokong pembangkang penuh yakin berdasarkan semangat membuak-buak mereka pada hari itu namun Kit Siang nampaknya tidak begitu menaruh harapan yang menggunung. 

Keempat, melihat kepada kerenah penyokong pembangkang yang mewakili pelbagai ideologi dan politik serta landasan perjuangan yang berbeza-beza menjadi satu persoalan adakah pemimpin dan penyokong mempunyai kesatuan fikrah dan pandangan politik yang sama untuk ke Putrajaya?

Pas dengan baju serba hijau yang gemar melaungkan takbir, kumpulan Bersih dan ant-Lynas pula dengan baju kuning mereka, dan PKR dengan baju biru muda masing-masing bersorak dengan sloganan tersendiri seolah-olah ia hanyalah satu perhimpunan carca marba atau 'motley crue'.

Malah terdapat kumpulan-kumpulan serpihan yang menumpang sekaki untuk bersama perhimpunan itu seperti golongan LBGT, anti-Islam, anti-Melayu, pluralis dan liberalis, cauvinis dan rasis, anti-Raja, pendakwah Kristian dan sebagainya.

Semuanya juga mempunyai impian Anwar aagar memenuhi agenda perjuangan kumpulan mereka jika berkuasa.

Malah jika dibilang dengan jari jumlah yang hadir jauh daripada 1 juta yang disasarkan sebelum ini.

Anggaran pihak polis hanya sekitar 40,000 orang yang hadir hanyalah empat peratus dan ini merupakan satu kegagalan besar pihak penganjur.

Di mana 300,000 penyokong yang hendak dikerah oleh Pakatan Rakyat Selangor?

Akhirnya yang datang adalah muka sama yang juga turut menyertai perhimpunan dan demonstrasi jalanan Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0, Perhimpunan Anti -Isa, dan Perhimpunan Air Selangor sebelum ini. 

Kehadiran penyokong Cina juga amat hambar sekali dikatakan sekitar 8 peratus atau 3,000 sahaja manakala penyokong India kira-kira 2 peratus sahaja.

Ini jelas membuktikan orang Melayu telah dipergunakan oleh Dap untuk menjayakan agenda politik mereka.

Yang tidak faham politik adalah penyokong pembangkang dari kalangan orang Melayu dalam Pas dan PKR yang gagal mengerti bahawa mereka hanyalah keldai tunggangan Dap yang bersikap talam dua muka dan berpura-pura.

Mungkin ini menjadi penyebab mengapa Anwar hanya berucap setakat 20 minit sahaja kerana penyokong sudah meluat dan mula keluar stadium ketika beliau mula berceramah.

Himpunan Shamsidar juga tidak menjadi kerana penyokong Pas dan Dap tidak mahu terbabit menyokong isu peribadi dan moral buruk Anwar.

Hakikatnya 'kebangkitan' yang diharapkan menjelma menjadi kekecewaan yang amat menghampakan.

Harakah Kelentong 200,000 Hadir HKR

Dengan kapasiti tempat duduk stadium yang hanya 30,000 dan luas padang stadium yang hanya lebih kurang 50 ribu kaki persegi, masihkah ada yang percaya bahawa hadirin di Himpunan Kebangkitan Rakyat mencecah 200,000 orang seperti yang didakwa Harakah?   Malah, laporan media-media pembangkang serta laman sosial penyokong-penyokong mereka juga ada yang mendakwa lebih lagi, iaitu sehingga 700,000!  

Jumlah ini dikira kononnya berdasarkan stadium yang padat, ditambah dengan peserta diluar yang merangkumi perimeter sejauh 7km sekeliling stadium.    Adakah sesiapa yang akan percaya dakwaan pembangkang ini?  

Jika dakwaan mereka benar, tentulah Kuala Lumpur menyaksikan kesesakan lalulintas yang teruk serta rungutan para peniaga sepertimana yang berlaku dalam himpunan-himpunan yang didalangi PR sebelum ini.   Tetapi, ini semua tidak berlaku.   Malah, peserta juga tidak menghadapi masalah atau halangan untuk ke lokasi perhimpunan kerana tiada sekatan jalanraya secara besar-besaran.   

Hakikatnya, walaupun keadaan begitu longgar, PR masih tidak mampu mengumpul 1 peratus pun dari jumlah sasaran 1 juta, apatah lagi 200,000 hingga 700,000.  Jumlah rasmi yang dikeluarkan oleh pihak polis iaitu 30 ribu di tempat duduk stadium, 10 ribu di padang stadium dan lebih kurang 5 – 7 ribu di luar stadium adalah lebih munasabah untuk diterima di akal.    

Ini kerana, logik PR yang mengambil kira perimeter sejauh 7km tidak boleh dipakai kerana adalah mustahil untuk peserta berada di sekeliling stadium.  Hanya satu jalan sahaja yang dipenuhi mereka iaitu di hadapan pintu stadium, itupun hanya menyaksikan barisan peserta sejauh 1km atau kurang.   Keadaan di jalanraya di kawasan lebih dari 1km dari stadium adalah lengang, aman dan tenteram.  Hanya kelihatan beberapa peserta yang mungkin balik awal, atau terlambat datang yang mundar mandir, berjalan santai dalam beberapa kumpulan.  

Mungkin kerana telah mendapat maklumat lebih awal bahawa keadaan akan mudah dikawal, maka pihak mengambil keputusan untuk bersikap tidak begitu tegas sepanjang perhimpunan berlangsung.   Maklumat dan tindakan pihak polis terbukti tepat apabila peserta juga tidak membuat provokasi dengan mencabar polis atau bertindak ganas.  

Maknanya, polis telah dapat mengagak jumlah peserta sebelum perhimpunan bermula lagi tetapi PR masih tidak dapat menganggarkan jumlah tepat peserta walaupun perhimpunan telah selesai. 

Perbezaan besar di dalam jumlah yang dilaporkan media pro-PR dengan sendirinya membuktikan yang PR hanya 'hentam' sahaja dalam membuat laporan mengenai sambutan terhadap HKR.   Yang sebenarnya, PR cukup maklum yang HKR telah gagal dan tiada sambutan.  Ia dapat dihidu sejak malam sebelumnya lagi di mana hanya mampu mengumpul seribu orang.    

Ada juga peserta yang berkata bahawa HKR adalah jauh lebih hambar dari BERSIH 3.0.  Terdapat ramai yang pulang awal dan kaum Cina dan India juga sudah tidak ambil peduli lagi.  

Yang terus dibuai mimpi, percaya bermati-matian bahawa gambar-gambar superimpose serta stadium kecil dengan ruang di luar yang terhad itu mampu menampung sehingga 200,000 – 700,000 orang adalah benar, hanyalah puak-puak balaci PAS dan segelintir remaja-remaja haprak dalam PKR.   Mereka inilah saja harapan PR untuk meneruskan langkah menuju pilihanraya.  

Mahu tidak mahu PR perlu terus menjaja gambar superimpose tersebut untuk menyedapkan hati penyokong mereka.  Manakala, media seperti Harakah pula perlu terus memainkan peranan menjaja pembohongan demi menutup malu.  

Lagipun, bukanlah Harakah namanya jika melaporkan yang benar iaitu bahawa HKR gagal kerana peserta yang hadir tidak sampai pun 50,000 orang?    Tidak mungkin Harakah mampu menjelaskan bahawa jika stadium tersebut menampung lebih sedikit daripada jumlah itu, maka kita pasti menyaksikan tragedi stadium runtuh dengan kecederaan atau kematian para peserta HKR.    

Tetapi, tidak mustahil juga inilah sebenarnya yang diharapkan pemimpin PR, iaitu tragedi berlaku bagi membolehkan mereka menyalahkan kerajaan…  malangnya, untuk tujuan ini juga mereka telah gagal. 

Punca Cina Jauhkan Diri Dari HKR


Jumlah peserta yang jauh dari sasaran 1 juta sebenarnya, bukanlah satu-satunya faktor Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 dilihat sebagai gagal.   Tetapi, sokongan yang merosot teruk dari kaum bukan Melayu juga adalah petunjuk penting bahawa Pakatan Rakyat semakin kehilangan sokongan rakyat.   

HKR menyaksikan hanya 8% dari 45,000 peserta adalah dari kaum Cina, manakala kaum India jauh lebih corot sambutannya iaitu hanya 2%.   Jumlah kedua-dua kaum ini yang begitu sedikit telah memaksa kaum Melayu PAS dan PKR mengangkat lambang DAP bagi pihak sekutu mereka itu.   Antara koleksi gambar Melayu menjadi anjing kurap DAP di dalam HKR, kelihatan wanita bertudung dan lelaki berkopiah putih terkinja-kinja menjerit-jerit sambil memakai lambang DAP, serta sekumpulan anak muda mengarak banner bertulisan Cina.  

Kaum Cina dan India, terutamanya, jelas enggan terlibat lagi dalam kegilaan ini.   Lebih dari itu, kaum Cina DAP juga lebih suka terlibat dalam himpunan yang hanya mengumpul kaum mereka sahaja seperti Himpunan Hijau.  Manakala kaum India pula telah serik ditipu oleh PR dalam isu-isu yang membabitkan kaum itu di Selangor dan Pulau Pinang serta enggan mempunyai apa-apa hubungan lagi dengan PR.  

Bagi memahami situasi ini, post-mortem himpunan BERSIH 3.0 yang lalu mungkin dapat memberi penjelasan yang lebih tepat tentang keengganan kaum Cina untuk turut bersama balaci mereka dari PAS dan PKR di dalam HKR. Himpunan BERSIH 3.0 menyaksikan 30% penyertaan dari kaum Cina dan 7% dari kaum India.  

Dapatan dari post-mortem tersebut menunjukkan yang kaum Cina sudah tidak percaya lagi dengan Anwar dan Azmin setelah mereka didapati mengarahkan rempuhan sewaktu BERSIH 3.0 sehingga menyebabkan kekecohan.   Dan kaum Cina, terutamanya, enggan mengambil risiko terperangkap dalam kekecohan lagi.   

Selepas BERSIH 3.0, ramai dari kaum Cina mula menyedari bahawa tuntutan pilihanraya bersih yang dilaungkan hanyalah gimik semata-mata kerana yang sebenarnya, pembangkang hanya ingin membuat kecoh.  

Bermula dari situ juga ramai di antara mereka mula belajar mendengar penjelasan kerajaan dan mencari maklumat lebih mendalam mengenai sistem SPR serta jawapan-jawapan yang SPR dan kerajaan diberikan terhadap semua tuduhan BERSIH.  

Bertitik tolak dari itu, lebih separuh dari mereka nampaknya sudah mula faham.  Biarpun agak terlambat sedikit, tetapi sekurang-kurangnya mereka telah berusaha untuk mendapatkan maklumat sebenar.   Dari situ juga, lebih separuh dari mereka ini mula menyedari bahawa selama ini mereka telah termakan hasutan pembangkang sehingga tidak mampu lagi menghadamkan maklumat secara rasional.   

Justeru, PR wajar menilai semula apa yang dilaporkan oleh media sebagai 'berjaya' mengenai HKR.  Ini kerana, sesungguhnya, tiada apa yang mereka berjaya capai selain berjaya menipu diri sendiri sahaja.   Segala tuntutan yang konon dibuat di dalam HKR juga hanya mengundang ketawa bagi mereka yang arif mengenai politik Malaysia.  

Mana tidaknya, jika antara tuntutan yang dibuat termasuklah mendaulatkan bahasa kebangsaan serta menuntut pilihanraya bersih.   Sedangkan, apakah layak bagi PR untuk menuduh pilihanraya Malaysia sebagai tidak bersih jika pemilihan parti mereka sendiri juga sudah lintang pukang menipu secara terang-terangan?    Dan apa pula ini, yang dibebelkan mengenai bahasa kebangsaan sedangkan DAP begitu beria-ia ingin menghapuskan daulat bahasa tersebut dengan mengangkat Mandarin sebagai lebih tinggi lagi kalaupun tidak sama tinggi melalui nama-nama jalan di Pulau Pinang dan kepala surat kerajaan Selangor.  

Maka, nampak sangat bahawa senarai tuntutan HKR dibuat dengan cara 'hentam sajalah'.    

Lagipun, jika HKR dikatakan berjaya, ia seharusnya bermakna bahawa segala isu tuntutan itu juga telah selesai dengan jayanya.  

Kini semua orang dapat melihat bahawa HKR tidak ada motif jelas, selain dari cuba membuat huru-hara di samping cuba menunjuk pada dunia kononnya rakyat menyebelahi pembangkang.  

Namun, dengan jumlah rakyat yang hadir begitu sedikit, iaitu kurang dari jumlah ahli UMNO yang berhimpun ketika Ulangtahun UMNO,  maka tiada alasanlah lagi bagi PR untuk mempersoalkan keputusan PRU-13 nanti, sekiranya ia tidak menyebelahi mereka.  

Monday, January 14, 2013

Himpunan Kelentong Rakyat (HKR) Gagal


Media-media pembangkang pantas melaporkan 'kejayaan' Himpunan Kelentong Rakyat (HKR) sejurus himpunan tersebut berlangsung.   

Nampaknya, tafsiran 'kejayaan' oleh pihak Pakatan Rakyat memang pelik kerana selalunya sesuatu itu ditafsirkan sebagai berjaya jika ia menepati sasaran.  Sedangkan HKR yang dianjurkan mereka hanya mencapai 4.5% jumlah peserta yang berjaya dikelentongkan, berbanding 1 juta yang disasarkan.  

Namun, himpunan ini tetap diwar-warkan mereka sebagai 'berjaya'.  Mungkin mereka menggunakan program yang sama sepertimana yang digunakan oleh DAP dalam pemilihan CEC parti itu yang menggunakan matematik tidak logik sehingga mendapati bahawa angka 45,000 adalah bersamaan dengan 1 juta.

Perlu diingatkan, bahawa sebelum himpunan berlangsung, puak-puak PR telah terlebih dahulu mewar-warkan kononnya, terdapat 10,000 polis baru direkrut khas untuk membuat kacau dan menyamar menjadi peserta.   Jika ini benar, maka angka sebenar jumlah peserta hanyalah 35,000.   

Bagaimanapun, media pro-PR terus mengkelentong penyokong mereka dengan memaparkan gambar-gambar superimpose serta jarak dekat yang memperlihatkan seolah-olah jumlah peserta begitu ramai.   Ada juga yang cuba bermain logik matematik dengan mengira ruang sekaki persegi berbanding kawasan perhimpunan dan memberikan jumlah menghampiri 700,000 orang.  Kiraan ini, walaubagaimanapun tidak mengambil-kira keluasan dan kapasiti stadium.  

Faktanya, kapasiti tempat duduk staduim hanyalah 25,000.  Jika dicampur dengan yang berdiri termasuk di tengah padang yang seluas 50ribu kaki persegi, dibahagi dengan 2 kaki persegi keluasan yang diperlukan untuk seorang individu bersaiz sederhana berdiri tegak, maka paling ramai mungkin terdapat lebih kurang 10,000 – 15,000 lagi.   Di luar stadium pula, hanya satu bahagian sahaja yang menyaksikan peserta yang ramai, dan dalam perimeter beberapa puluh meter sahaja dari stadium, yang mana dianggarkan hanya mampu mendapat kiraan dalam 5,000 – 10,000 orang sahaja.  

Justeru, anggaran rasmi yang dikeluarkan oleh pihak polis adalah lebih munasabah iaitu 45,000 orang.  

Daripada jumlah ini, hanya terdapat lebih kurang 8% kaum Cina dan 2% kaum India yang berjaya dikelentong.   Selebihnya, semuanya adalah Melayu PAS dan PKR yang terpaksa membawa lambang DAP dan sepanduk berbahasa Cina bagi mengkelentongkan diri sendiri kononnya kaum Cina juga ramai yang 'terkelentong'.  

Apa yang kurang jelas dari himpunan ini ialah tujuan ia diadakan.  Kononnya, ia untuk menuntut PRU bersih, menuntut professionalisme kakitangan awam, menuntut Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dan entah apa-apa lagi.   Tetapi, entah kenapa pemilihan parti sendiri yang jelas kotor dan tidak professional tidak pula menjadi isu.   Dan entah bila pula DAP bersetuju untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan sedangkan kepala surat rasmi kerajaan Selangor juga menyaksikan bahasa Mandarin diangkat setaraf.  

Sebenarnya, pemimpin-pemimpin PR telah menjangkakan jumlah ini, kerana itulah mereka memilih Stadium Merdeka yang jauh lebih kecil bagi mengelak ia kelihatan kosong.  Jika dibanding dengan perhimpunan ulang tahun UMNO baru-baru ini yang menyaksikan 100,000 orang di Stadium Bukit Jalil, maka jumlah RAKYAT yang menyertai HKR adalah jauh lebih rendah dari jumlah ahli UMNO.    

Walaubagaimanapun, melihat dari komen-komen penyokong PR di media sosial,  nampaknya 100% daripada mereka telah benar-benar percaya dengan apa saja dikelentongkan oleh pemimpin dan media mereka mengenai HKR ini.  

Oleh itu, jika tujuan HKR ini adalah untuk kelentong, maka ia wajar dikatakan sebagai berjaya dengan cemerlang sekali kerana walaupun hanya 4.5% dari penyokong PR yang turun berdemonstrasi, tetapi habis satu Malaysia dan seluruh dunia berjaya dikelentong oleh PR kononnya mereka ramai penyokong, sedangkan hakikatnya, untuk mendapat 10% dari sasaran 1 juta pun tidak terdaya.

Hanya 8% Cina Hadiri HKR

Berminggu-minggu pemimpin pakatan pembangkang memainkan propaganda bombastik bahawa ibukota KL kononnya akan dibanjiri sejuta orang sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR #KL112) di Stadium Merdeka.

Besar angan-angannya nak gapai angka sejuta (1,000,000) sedangkan lokasi perhimpunan hanya dilangsungkan di stadium yang berkapasiti 30,000 orang sahaja.

Dalam bab memperbesarkan cerita, menipu dan melagukan propaganda serah saja pada pemimpin PR, itu salah satu kelebihan utama mereka. Memanjang saja bila gebang politik, kakinya jarang sangat memijak bumi nyata.

Akhirnya realiti yang berlaku seperti mana disaksikan khalayak ramai, nak mencapai 5% daripada sejuta orang sasaran kehadiran pun tercunggap-cunggap PR nak menggapainya.

Secara keseluruhannya HKR hanya merekodkan kehadiran sekitar 45,000 orang sahaja termasuk ribuan penyokong PR yang berada di luar Stadium Merdeka bersamaan 4.5% daripada sasaran utama sejuta orang hadirin. 

Menarik untuk dianalisa apabila kehadiran kaum Cina kelihatan seperti merudum di mana penyertaan mereka dalam HKR dianggarkan hanya sekitar 8% sahaja daripada keseluruhan peserta. Manakala kehadiran dari kalangan masyarakat India pula mewakili sekitar 2% sahaja.

Majoriti peserta himpunan adalah orang Melayu Islam yang terdiri daripada ahli dan penyokong totok PAS dan PKR, sebahagian besarnya dari PAS yang dikerah datang dari seluruh negara untuk meramaikan himpunan.

Kekurangan ketara sokongan dari masyarakat India kepada PR semestinya tidak sukar dijangkakan setelah mengambil kira layanan buruk PR terhadap mereka khususnya membabitkan insiden Kampung Buah Pala dan isu perobohan kuil-kuil ibadat Hindu tanpa melalui prosedur yang betul.

Kegagalan DAP & PKR mengembleng tenaga ahli dan penyokongnya dari kalangan kaum Cina untuk beramai-ramai menyertai HKR barangkali benar disebabkan penonjolan ketara pemimpin PAS dalam penganjuran himpunan kali ini.

Lagipun HKR #KL112 ini bagaikan rojak yang tak siap bila mencampur adukkan 4 kumpulan propaganda terdiri daripada merah, oren, hijau dan kuning yang berlainan matlamat menjadikannya seakan hilang tarikan apabila digabungkan bersama.

Walau apapun, yang pastinya HKR #KL112 ternyata telah gagal mencapai objektifnya untuk menghimpunkan sejuta orang penyokong PR. Kegagalan yang agak memalukan disaat himpunan itu menyaksikan hampir kesemua pimpinan utama PR telah turun memberikan sokongan.

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.