Wednesday, January 21, 2015

Pelancongan Melaka Menjana Lebih RM10 Bilion. @Idris_Haron @Tourism_Melaka @kadiridris


Tuesday, January 20, 2015

Tolong Jangan Khianat Melayu !


Melayu berada dalam apa yang saya kategorikan sebagai "sakai" dalam ekonomi negara kita ini. Cuma segelintir Melayu yang DIKAYAKAN untuk menjadi pemangkin petunjuk bahawa Melayu itu sudah berjaya di bumi Malaysia. Dengan menjadikan beberapa Melayu yang terpilih menjadi kaya maka indeks keseluruhan pegangan Melayu individu dan kerajaan akan menunjukkan kekuatan palsu MELAYU dalam ekonomi negara.

Setakat hari ini kejayaan perkongsian kuasa itu di lihat dari segi pembangunan fizikal negara dan bagi saya adalah selama mana kita masih hidup harmoni dari tarikh 13 Mei 1969. Perkongsian kuasa dalam erti yang sebenarnya tidak wujud bagi kaum Cina dan kaum - kaum lain di Malaysia. Apa yang ada hanya satu gimik pilihan raya yang mahukan undi dari bangsa lain kepada Barisan Nasional termasuk UMNO yang kini merosot secara mendadak sokongan orang - orang Melayu terhadap partinya.

Dalam erti kata yang lain undi Cina amat di perlukan bagi membolehkan Melayu terus hidup dengan sebilangan kecil kepimpinan tertinggi memegang kuasa politik. Ini sebenarnya tidak dapat di sangkal oleh kerajaan memerintah dan sekiranya kita lihat perpecahan politik antara kaum Cina - MCA dan DAP, maka peratus perpecahan ideologi politik mereka amat kecil berbanding dengan peratus perpecahan dari sudut ideologi politik Melayu yang merangkumi UMNO-PAS dan KEADILAN. Sebenarnya ini sepatutnya menggerunkan kita.

Lanjut, klik SINI

Perutusan Khas Perdana Menteri Tentang Perkembangan Ekonomi Semasa Dan Kedudukan Kewangan Negara

PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI TENTANG PERKEMBANGAN EKONOMI SEMASA DAN KEDUDUKAN KEWANGAN NEGARA


1.          Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ini. Begitulah ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

2.          Dalam Majlis ini, kita berhimpun bersama-sama, sebahagian pimpinan dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan.  Seterusnya, yang dikasihi seluruh rakyat Malaysia, sama ada yang di dalam dewan, atau yang sedang menonton juga mendengar perutusan khas ini.

3.          Tujuan saya berucap, adalah untuk memberi penjelasan terkini tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara. Mutakhir ini, terdapat laporan-laporan, kebimbangan dan pertanyaan terutamanya berkait harga minyak dan kedudukan nilai matawang ringgit.

4.          Ketahuilah bahawa, Kerajaan memang sentiasa memantau keadaan ini sejak awal. Sehubungan itu, hari ini, Kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah proaktif, untuk membuat pengubahsuaian yang spesifik, bagi menjajar semula dasar-dasar kita, beriring dengan perubahan senario ekonomi global, yang faktor-faktornya, berada di luar kawalan kita. Ini dilakukan, untuk kita terus mencapai pertumbuhan ekonomi yang menyakinkan lagi boleh dibanggakan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

5.          Dalam erti kata lain, I am here today to announce specific and proactive measures to align ourselves with the recent global economic developments.

6.          We are not in crisis. Indeed, we are taking preemptive measures following the changes of the external global economic landscape, which are beyond our control.

7.          This is to ensure that our economy continues to attain a respectable and reasonable growth. And at the same time, we want to ensure the development of the nation and socio economic welfare of the people to be continue to be the main focus of the government.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

8.          Sesungguhnya takwim 2014 yang lalu, merupakan tahun yang amat mencabar dan begitu menduga bagi kita dengan pelbagai tragedi.

9.          Pada penghujung tahun lepas, Malaysia diuji dengan musibah banjir yang luar biasa. Ia telah melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung, antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak.

10.      Di beberapa negeri lain, sungguhpun tidak begitu kritikal, banjir turut memberi kesan kepada penduduk di sesetengah tempat di Johor, Sabah dan Sarawak.

11.      Demikianlah, seperti yang difirmankan bahawa, manusia merancang, Allah merancang, sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik Perancang.

12.      Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, dalam segala kudrat Kerajaan dan pentadbiran, kita telah cuba merencana, merangka, menyusun dan berikhtiar untuk melaksanakan setiap sesuatu dengan sehabis baik demi kepentingan dan keperluan rakyat.

13.      Justeru, jika diimbau, secara keseluruhannya, kira-kira hanya sekitar tiga bulan lebih yang lalu, sewaktu Bajet 2015 dibentangkan, perancangan Kerajaan adalah berpremiskan, antaranya, pertama, unjuran harga minyak Dated Brent pada kadar 100 dolar Amerika setong.

14.      Kedua, pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka mencatat antara 5 hingga 6 peratus. Ketiga, kadar pertukaran matawang yang kekal stabil pada 3.2 ringgit berbanding dolar Amerika; dan

15.      Keempat, semasa bajet itu digubal, pertumbuhan ekonomi dunia pada 2015 diunjurkan oleh World Bank dan IMF adalah pada kadar 3.4 dan 3.9 peratus. Kini, mereka telah mengkaji semula kadar tersebut di antara 3 hingga 3.8 peratus.

16.      Perlu difahami juga, sewaktu Bajet 2015 digubal, it was based on strong fundamentals, yakni asas 2014 yang teguh. Oleh sebab itulah, defisit fiskal tahun 2015 telah diunjurkan pada kadar 3 peratus, berbanding pada kadar 3.5 peratus pada 2014.

17.      Walau bagaimanapun, kontemporari ini, mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa, persekitaran dan percaturan ekonomi dunia telah berubah, yang secara langsungnya memberi impak kepada Malaysia sebagai, antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia.

18.      Maksudnya, berbanding situasi beberapa bulan yang lepas, kini, the global economic landscape has changed in very significant ways. Beberapa perkara pokok yang telah Kerajaan unjurkan, bagi merancang ekonomi dan kewangan negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.

19.      Turut dibangkitkan adalah keupayaan Kerajaan untuk mencapai sasaran fiskal pada tahun 2015. Ramai ingin tahu, persoalannya, berdasarkan situasi semasa ini, adakah ekonomi dan kewangan negara akan terjejas?

20.      Oleh yang demikian, perutusan khas hari ini disampaikan supaya rakyat Malaysia mendapat penjelasan langsung daripada Kerajaan tentang perkara ini. Saya juga turut akan mengumumkan beberapa strategi, berikutan kedudukan ekonomi semasa.

21.      Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus merintis serta mencari jalan bagi mempastikan negara terus membangun dan kesejahteraan rakyat terjamin.



Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

22.      Kita sedar mutakhir ini, wujud pertanyaan di kalangan rakyat, komuniti perniagaan dan para penganalisis bersabit kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia ke atas ekonomi Malaysia.

23.      Merujuk kepada trend harga minyak mentah global, dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, ia telah menjunam lebih 50 peratus. Ini adalah disebabkan, salah satunya, oleh kerana lebihan bekalan dan permintaan global yang berkurangan.

24.      Selain daripada itu, ini juga adalah disebabkan oleh pengeluaran gas dan minyak shale yang meningkat ketara di Amerika Syarikat berikutan kemajuan teknologi industri pengeluaran minyak.

25.      Dalam masa yang sama, keadaan ini menjadi lebih buruk, dengan pertambahan bekalan daripada kalangan negara-negara bukan OPEC. Manakala, negara-negara OPEC pula enggan mengurangkan pengeluaran mereka bagi mengekalkan penguasaan pasaran.

26.      Di sinilah pihak Kerajaan sering ulang-ulangkan dan berharap, agar rakyat dapat sama-sama memahami bahawa, isu harga minyak mentah   bukanlah sesuatu yang berada dalam kawalan langsung Kerajaan Persekutuan kita.

27.      Kerana itulah, penanda aras harga minyak mentah Dated Brent terkini telah turun kepada sekitar 48 dolar Amerika setong pada hari semalam, yakni 19 Januari 2015. Walaupun begitu, para penganalisis menjangkakan harga minyak akan mengambil tempoh tertentu untuk kembali stabil.

28.      Tuan-Tuan dan Puan-Puan, apabila berlakunya penurunan harga minyak seperti sekarang ini, hikmahnya, ia membawa manfaat kepada negara pengimport bersih minyak seperti Malaysia.

29.      Sebagai contoh, apabila pengurangan harga runcit petrol dan diesel pada 35 dan 30 sen seliter baru-baru ini, tambahan pendapatan boleh guna atau disposable income pengguna rakyat Malaysia secara kasarnya adalah di sekitar 7.5 bilion ringgit.  Dengan andaian pengguna membelanjakan 40 peratus daripada jumlah tersebut, ini akan meningkatkan penggunaan swasta sebanyak 3 bilion ringgit.

30.      Selain itu, Bank Dunia mengunjurkan bahawa, harga minyak mentah yang lebih rendah akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi global.  Malah, penurunan harga minyak sebanyak 30 peratus, mampu meningkatkan pertumbuhan KDNK dunia sehingga 0.5 peratus.

31.      Ini secara tidak langsung, akan juga memberi kelebihan kepada permintaan produk buatan Malaysia. Dengan kedudukan ekonomi Amerika Syarikat yang semakin kukuh pula, permintaan terhadap eksport Malaysia terus mampan terutama bagi produk elektrik dan elektronik.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

32.      Ironisnya, kejatuhan harga minyak mentah dunia, memberi impak secara langsung dalam mengurangkan pendapatan negara. Pendapatan inilah, yang Kerajaan gunakan bagi tujuan pembangunan seperti membina sekolah-sekolah, jalan raya dan rumah-rumah ibadat. Ia juga digunakan antaranya, untuk perbelanjaan termasuklah seperti gaji penjawat awam, kos ubat-ubatan di hospital Kerajaan, subsidi pertanian dan kos perbelanjaan keselamatan untuk anggota RELA, tentera dan polis.

33.      Seperti yang telah saya nyatakan tadi, harga minyak mentah dunia telah menjunam. Berdasarkan paras tertinggi minyak mentah Dated Brent, iaitu sebanyak 115 dolar Amerika setong, yang direkodkan pada 19 Jun 2014, harga semasa telah menunjukkan kemerosotan melebihi 50 peratus.

34.      Selaras itu, ahli-ahli ekonomi berpendapat bahawa unjuran paras harga asas 100 dolar Amerika setong semasa Bajet 2015 diumumkan, adalah tidak lagi realistik. Mereka kini, mengganggarkan purata harga minyak bagi tahun 2015 adalah antara 40 hingga 70 dolar Amerika setong.

35.      Lantaran itulah, Kerajaan telah menyemak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak, kepada 55 dolar Amerika setong bagi tahun 2015 ini.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

36.      Jika berasaskan kepada harga minyak mentah pada 100 dolar Amerika setong, serta mengambil kira penjimatan dari pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak mulai Disember 2014, Kerajaan dijangka memperoleh tambahan lebihan semasa akaun fiskal, sebanyak 3.7 bilion ringgit.

37.      Dalam kata lain, seandainya harga minyak mentah kekal pada 100 dolar Amerika setong, Kerajaan mampu menampung pelaksanaan semua langkah yang telah diumumkan dalam Bajet 2015 tersebut, dengan sasaran defisit fiskal tidak melebihi 3 peratus.

38.      Namun begitu, pada harga 55 dolar Amerika setong yang diunjurkan sekarang, Kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak 13.8 bilion ringgit.

39.      Maknanya di sini, jika dibuat perbandingan, di antara angka-angka semakan terkini dengan Bajet 2015, yang telah dibentangkan pada Oktober lalu, sekalipun peruntukan subsidi bahan api dapat dijimatkan sebanyak 10.7 bilion ringgit, melalui pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak, namun, Kerajaan masih mengalami kekurangan hasil sebanyak 8.3 bilion ringgit, bagi menampung langkah-langkah Bajet 2015.

40.      Jelasnya, jika dibiarkan, paras defisit, akan meningkat kepada 3.9 peratus daripada KDNK, berbanding sasaran 3 peratus bagi tahun 2015.

41.      Keadaan ini, memerlukan Kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan defisit, selaras dengan komitmen kerajaan ke arah konsolidasi fiskal.

42.      Oleh itu, dengan mengambilkira unjuran yang disemak tersebut, kita dengan ini, menetapkan sasaran defisit yang dikaji semula kepada 3.2 peratus, daripada KDNK pada tahun 2015.

43.      Kadar ini masih rendah berbanding defisit fiskal 3.5 peratus daripada KDNK pada tahun 2014. Dan realitinya, dengan faktor luaran ini, kita harus menerima hakikat, bahawa kita tidak mungkin mencapai sasaran asal Bajet, dengan defisit fiskal pada kadar 3 peratus daripada KDNK seperti yang telah diumumkan. Namun yang penting, adalah komitmen kita, untuk terus mengurangkan defisit fiskal daripada paras 3.5 peratus.

44.      Yang paling utama juga, kita tidak akan berkompromi ke atas perancangan pembangunan negara, kerana ia akan meningkatkan kapasiti produktif kepada ekonomi negara. Sekaligus, kita tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan semua rakyat, khususnya golongan pendapatan isi rumah 40 peratus terbawah atau the bottom 40

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

45.      Seperkara lagi yang perlu diketahui oleh kita semua, perihal turun-naik nilai matawang, asasnya, adalah berdasarkan pengaruh ekonomi global. Oleh kerana itu, Ringgit bukanlah satu-satunya mata wang yang nilainya menyusut berbanding dolar Amerika. Malah, hampir semua mata wang serantau turut menyusut berbanding dolar Amerika sejak September 2014.

46.      Ketidaktentuan dalam aliran modal dan penyusutan nilai ringgit yang signifikan baru-baru ini juga, disebabkan oleh kebimbangan terhadap impak kejatuhan harga minyak yang mendadak ke atas ekonomi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

47.      Sehubungan itulah, Kerajaan perlu mempastikan perkara-perkara berikut dipantau dengan sebaik mungkin. Pertama, akaun semasa dalam imbangan pembayaran, perlu sentiasa kekal dalam lebihan. Kedua, meneruskan langkah-langkah fiscal reform and consolidation dan ketiga, aktiviti ekonomi negara perlu terus dipelbagai dengan sewajarnya, supaya negara mampu menghadapi kejatuhan harga minyak dan komoditi.

48.      Namun begitu, Kerajaan yakin kadar tukaran Ringgit, akan mengalami penyesuaian dalam tempoh tertentu dan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Apa yang penting, our financial system continues to function in an orderly manner.

49.      Paling mustahak, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan atau financial intermediation dengan aktiviti pinjaman kekal lancar. Selanjutnya, aktiviti perniagaan terus mendapat akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.

50.      Pucuk pangkalnya, Kerajaan yakin, kesemuanya ini, diiringi dengan polisi yang lebih dinamik, rizab antarabangsa yang mencukupi, pasaran kewangan yang pelbagai dan mendalam, sistem perbankan yang teguh serta pelabur institusi tempatan yang kukuh, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, akan terus meningkatkan daya tahan Malaysia untuk menampan sebarang turun naik aliran modal.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

51.      Menyentuh tentang Imbangan Akaun Semasa negara pula, perlu diketahui bahawa ia berkait langsung dengan imbangan perdagangan import dan eksport.

52.      Seperti yang ramai tahu, kita merupakan negara pengeksport minyak. Maka, wujudlah tanggapan bahawa, apabila harga minyak merudum baru-baru ini, pendapatan daripada eksport keseluruhan kita, akan turut merosot secara mendadak, yang seterusnya mengakibatkan berlakunya defisit akaun semasa.

53.      Sesungguhnya, tanggapan ini tidak benar. Sebetulnya, bagi minyak mentah, kita merupakan pengeksport bersih dengan nilai lebihan eksport sebanyak 7.7 bilion ringgit, untuk tempoh bulan Januari hingga bulan November 2014.

54.      Manakala, bagi produk petroleum, kita adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak 8.9 bilion ringgit untuk tempoh yang sama.

55.      Justeru itu, dengan gabungan kedua-dua minyak mentah dan produk petroleum ini, kita sebenarnya adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak 1.2 bilion ringgit.

56.      Oleh itu, tanggapan atau persepsi umum selama ini, bahawa Malaysia merupakan pengeluar minyak yang surplus atau berlebihan, adalah juga tidak benar.

57.      Sebaliknya, jika dicampur eksport serta import minyak mentah, dan ditolak produk petroleum, maka, Malaysia sebenarnya, merupakan negara pengimport bersih petroleum. Perkiraan ini tidak termasuk Gas Cecair Asli atau LNG, di mana Malaysia masih merupakan negara pengeksport bersih.

58.      Tambahan lagi, situasi kita masih utuh, berikutan kejayaan kita selama ini dalam mempelbagaikan ekonomi negara, sehingga dapat menampung kejatuhan harga minyak.

59.      Sememangnya lagi, kesan kejatuhan harga minyak, dijangka dapat ditampung oleh peningkatan permintaan bagi barangan pembuatan seperti barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kayu-kayan, produk tekstil serta lain-lain, yang terdiri daripada 76 peratus jumlah eksport. Manakala, eksport minyak mentah hanyalah mewakili 4.5 peratus daripada jumlah eksport.

60.      Bersandarkan yang demikian, Kerajaan yakin imbangan akaun semasa akan kekal mencatat lebihan pada tahun ini, walaupun nilainya mengecil kepada 2 hingga 3 peratus, daripada Pendapatan Negara Kasar atau PNK, berbanding  pada 2014, imbangan lebihan semasa dianggar mencatat 5.1 peratus daripada PNK.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

61.      Jelasnya, sebentar tadi, saya telah menghuraikan beberapa isu atau perkara yang akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara.  Berdasarkan situasi ini, Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang kukuh. Insya-Allah, kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini, dengan melaksanakan strategi-strategi berikut.

Pertama: Mempastikan pertumbuhan ekonomi yang balanced, inclusive and sustainable yakni seimbang, inklusif dan mampan;

Kedua: Meneruskan fiscal reform and consolidation; serta

Ketiga: Menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi membina semula infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

62.      Strategi Pertama: Mempastikan Pertumbuhan Ekonomi Yang Seimbang, Inklusif Dan Mampan. Bagi merancakkan eksport barangan dan perkhidmatan, beberapa tindakan berikut akan diambil:

Pertama, mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import atau import-substitution seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar bagi perolehan barangan dan perkhidmatan;

Kedua, menyegerakan pelaksanaan cadangan daripada National Export Council iaitu, membantu pengeksport terutamanya Perusahaaan Kecil dan Sederhana atau PKS untuk mendapat prospek pelanggan baharu di pasaran yang baharu, di bawah program jaringan antarabangsa menggunakan penghubung pasaran dan pakar industri.

Seterusnya, mempergiat program promosi eksport di 46 negara meliputi Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat; memperkenalkan SME-Go melalui SME Bank, sebuah program eksport untuk PKS, dan memanfaatkan Dana Perkhidmatan Eksport  serta program promosi PKS untuk meningkatkan kemampanan eksport ke luar negara;

Ketiga, menambah baik last mile connectivity ke Pelabuhan Klang seperti jalan masuk, jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik, bagi mempercepatkan pelaksanaan Logistik dan Fasilitasi Dagangan.

Selain itu, menaik taraf terminal keretapi Padang Besar; menambah baik kecekapan operasi proses import dan eksport, serta menubuhkan sistem hab dan jaringan perhubungan udara;

Keempat, mempergiatkan keseluruhan industri pelancongan negara;

Kelima, mengambil langkah-langkah untuk mengkaji semula kadar levi yang dikenakan ke atas pekerja-pekerja asing; dan

Keenam, visa diberi secara percuma kepada para pelancong antaranya dari negara China

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

Selanjutnya, bagi meningkatkan penggunaan swasta pula, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

Pertama, memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan kelas G1 yakni kelas F, G2 yakni kelas E dan G3 yakni kelas D, yang berdaftar dengan CIDB, untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih di kawasan masing-masing yang terjejas akibat banjir;

Kedua, mempergiatkan promosi pembelian barangan buatan Malaysia;

Ketiga, meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh operasi jualan mega di seluruh negara;

Keempat, mempergiatkan promosi pelancongan domestik dengan menawarkan tambang penerbangan yang kompetitif; dan

Kelima, menggalakkan sektor swasta meraih peluang daripada pewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

Seterusnya, dalam usaha merancakkan pelaburan swasta di Malaysia, Kerajaan akan:

Pertama, menubuhkan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah 5 bilion ringgit kepada PKS dalam Sektor Perkhidmatan, dengan pembiayaan maksimum 5 juta ringgit dan jaminan Kerajaan sebanyak 70 peratus;

Kedua, menggalakkan GLC dan GLIC melabur dalam negara;

Ketiga, mengurangkan kos kendalian perniagaan melalui penangguhan cadangan kenaikan tarif elektrik pada tahun 2015; dan penangguhan cadangan kenaikan harga gas untuk sektor industri pada tahun 2015;

Keempat, memperuntukkan 30 peratus daripada perbelanjaan tahunan agensi Kerajaan dan GLC untuk perolehan bekalan serta perkhidmatan kepada PKS tempatan bertaraf pembuat; dan

Kelima, mempergiatkan penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan Kerajaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

63.      Seterusnya, Strategi Kedua: Meneruskan Fiscal Reform and Consolidation

Antara langkah yang akan diambil bagi meningkatkan hasil Kerajaan adalah:

Pertama, meluaskan asas percukaian dengan menggalakkan syarikat mendaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, bagi meningkatkan hasil daripada kutipan GST. Ini akan menyumbang kepada tambahan kutipan GST sebanyak satu bilion ringgit. Sehingga pertengahan Januari 2015, lebih 304 ribu syarikat telah berdaftar; dan

Kedua, meningkatkan kutipan dividen daripada GLC dan GLIC serta badan-badan Kerajaan yang lain yang dapat menyumbang tambahan hasil sebanyak 400 juta ringgit

Bagi langkah  merasionalisasi perbelanjaan pula, Kerajaan akan:

Pertama, mengoptimumkan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional yang memberi penjimatan sebanyak 1.6 bilion ringgit;

Kedua, menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara tahun 2015, dengan penjimatan sebanyak 400 juta ringgit bagi membolehkan program dikaji semula dan ditambah baik;

Ketiga, mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan, terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak 3.2 bilion ringgit; dan

Keempat, menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak 300 juta ringgit

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

64.      Strategi Ketiga adalah Penyediaaan Bantuan Kepada Rakyat Dan Komuniti Perniagaan Serta Membina Semula Infrastruktur Yang Terjejas Akibat Banjir

Banjir baru-baru ini, telah melibatkan sekitar 400 ribu mangsa di seluruh negara. Anggaran terkini kemusnahan infrastruktur mencecah hampir 2.9 bilion ringgit.

Antara tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir, adalah seperti berikut:

Kerajaan telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit sebagai bantuan permulaan, atau initial allocation untuk kerja-kerja baik pulih, dan program kebajikan mangsa banjir, tambahan kepada tabung Majlis Keselamatan Negara, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 787 juta ringgit;

Sebagai peruntukan awalan, Kerajaan menyediakan 800 juta ringgit untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan;

Menyediakan 893 juta ringgit bagi Bajet 2015 untuk rancangan tebatan banjir;

Membina rumah-rumah kampung bertiang atau stilt houses setinggi 8 kaki yang telah musnah akibat banjir kepada mereka yang mempunyai tanah sendiri;

Menyerahkan 1,000 unit rumah kos rendah yang sudah siap di Gua Musang;

Memberi bantuan 500 ringgit bagi setiap keluarga yang terlibat; dan

Menghulur sumbangan 5 ribu ringgit kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga.

65.      Bagi perniagaan yang terjejas pula, tambahan 100 juta ringgit disediakan kepada TEKUN dan 100 juta ringgit kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), bagi menyediakan pinjaman mudah untuk menyokong PKS serta perusahaan mikro.

66.      BSN, Agrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan menangguhkan tempoh bayaran balik pinjaman yang telah diambil, sehingga enam bulan.

67.      Berkait itu, Bank Negara Malaysia akan menubuhkan Special Relief Facility, berjumlah 500 juta ringgit untuk menyediakan pembiayaan pinjaman SME pada kadar yang lebih rendah (concessionary rate) iaitu 2.25 peratus, dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan melalui institusi pembangunan kewangan dan  perbankan.

68.      Bank Rakyat pula, akan menawarkan Skim Pinjaman Peribadi sehingga 50 ribu ringgit pada kadar keuntungan serendah 3.9 peratus, dan bayaran balik pinjaman bermula selepas enam bulan dari tarikh pengeluaran.

69.      Selain itu, sejumlah 500 juta ringgit akan disediakan oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir. Skim ini akan diuruskan oleh ProKhas; dan

70.      Pengecualian pembayaran levi oleh majikan kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia, untuk tempoh enam bulan bagi PKS di kawasan yang terjejas berkuat kuasa 1 Februari 2015.


(Penutup)

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

Secara keseluruhannya, dalam perutusan saya pada pagi ini, dapat saya rumuskan 6 perkara as the key take-away points:

Pertama, kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana pada tahun-tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti tahun 2009 yang lalu, sehingga pakej-pakej stimulus perlu dilaksanakan.

Kedua, Strategi-strategi Kerajaan yang diumumkan tadi, adalah langkah proaktif untuk melakukan penyesuaian atau adjustment, berikutan faktor-faktor luaran yang di luar kawalan kita. Ini merupakan satu reality check, berikutan antaranya perubahan harga minyak dunia.

Ketiga, Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran kita, Insya-Allah, dijangka kekal positif dan tidak berada dalam defisit.

Keempat, Pasaran kewangan tetap teratur dan kukuh. Malah, matawang ringgit, walaupun mengalami penyesuaian ketika ini, akan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Insya-Allah.

Kelima, Perbelanjaan Pembangunan atau Development Expenditure yang diperuntukkan sebanyak 48.5 bilion ringgit tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.

Ini termasuklah, projek-projek bersifat people economy, yakni perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan infrastruktur pengangkutan awam seperti Lebuhraya Pan Borneo.

Di samping itu, projek-projek MRT jajaran kedua, LRT3 dan High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura akan tetap diteruskan.

Malah, pada bulan Mei nanti, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas, bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020, dan akhirnya;

Yang ke-enam, Perbelanjaan Mengurus atau Operating Expenditure dijangka akan dikurangkan sebanyak 5.5 bilion ringgit, dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

71.      Akhir kalam, marilah kita banyakkan berdoa, dan bertawakkal supaya Allah SWT sentiasa memberi bantuan-Nya, kepada ikhtiar-ikhtiar kita dalam terus membangun dan memakmurkan negara.

72.      Sesungguhnya jua, dalam segala kudrat manusiawi, kepada Allah kita bergantung dan mengembalikan segala urusan. Apa yang paling mustahak, kepada seluruh rakyat Malaysia, sederap dalam satu solidariti, kita mampu menongkah dan melangkah apa jua cabaran serta rintangan yang mendatang.

73.      Pastinya, pada setiap kesukaran itu, ada janji-janji kesenangan dan bahagia yang menanti.

74.      Mudah-mudahan, Tuhan yang Maha Berkuasa terus melindung-lindung tanahair tercinta ini, dari segala keburukan dan mara bahaya. Bak kata orang tua-tua, kita berserah rugi dan untung, kepada Allah meminta tolong.


Sekian, Wabillahiitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Peniaga Asing Cemar Imej Kota Fesyen!

Sedutan dari surat khabar Melaka Hari Ini, 18 Januari 2015

Apa sudah jadi??? Mohon tindakan segera oleh pihak yang berwajib.

Mohd Ridhwan Dipilih Sebagai Exco Majlis Belia Malaysia 2014/2016. @ridhwanali

Terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat2 semua terutamanya perwakilan dari Melaka dan jentera Majlis Gabungan Belia Melaka yg telah bertungkus-lumus membantu saya sepanjang persidangan Majlis Belia Malaysia kali ini. Kemenangan ini bukanlah kemenangan saya seorang. Saya hanyalah pemegang amanah dari para perwakilan MGBM untuk membawa suara belia di Melaka ke peringkat kebangsaan.


Terima kasih sekali lagi kepada yangg telah membantu secara langsung dan tidak langsung. Pandangan, teguran dan nasihat yang membina sepanjang perjalanan ini amat saya hargai. Terima kasih juga kepada mentor-mentor, serta orang-orang lama dalam MGBM yang juga telah banyak membantu saya di dalam persidangan kali ini. Jasa kalian tidak terbalas oleh saya.

Terima kasih atas doa dari sahabat2 semua!

-Komited Ke Arah Kejayaan-

Mohd Ridhwan Mohd Ali

Saturday, January 17, 2015

Datuk Hjh @emysamsudin Dianugerahkan Bintang Jasa Belia Malaysia

Tahniah & Syabas kepada YB Datuk Hjh Mas Ermieyati Samsudin, Naib Pengerusi Wanita GB4B Negeri Melaka, Pengerusi GB4B Kawasan Masjid Tanah merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah & Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia kerana telah dianugerahkan 'Bintang Jasa Belia Malaysia' (BJBM) oleh Majlis Belia Malaysia yg telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia sempena Mesyuarat Perwakilan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia Kali Ke 63.

Friday, January 16, 2015

Mohd Ridhwan Mohd Ali Calon Exco Majlis Belia Malaysia. @ridhwanali @BeliaMBM

Assalamualaikum & Salam 1 Belia 1 Malaysia

Saya Mohd Ridhwan Mohd Ali, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka dengan rasa hormat dan rendah diri mewakili belia Melaka memohon sokongan sahabat-sahabat perwakilan Majlis Belia Malaysia untuk memilih dan mengundi saya sebagai Exco Majlis Belia Malaysia bagi sesi 2014-2016.


Saya yakin dan pasti akan membawa harapan dan suara anak muda di setiap lapisan masyarakat ke peringkat yang lebih cemerlang lagi jika dipilih dalam Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan MBM kali 63 ini. Semoga ikatan ukhuwah dan setiakawan yang terjalin antara MGBM dan semua badan gabungan Majlis Belia Malaysia akan berterusan sehingga ke akhirnya.

KOMITED KE ARAH KEJAYAAN

Monday, January 12, 2015

Gadis Melayu 'Rela DiPeluk, Rela Dikucup'...!

Kita dikejutkan lagi!!! Murah betul maruah gadis Melayu. Apabila rela memeluk dan dipeluk serta dikucup dahi oleh artis KPOP!!!

Isu berpeluk di khalayak ramai dan pencabulan maruah wanita ini bukanlah sekadar isu terpencil mahupun ia menyalahi budaya timur yang ada tetapi ia adalah suatu manifestasi penolakan kita selaku individu Muslim terhadap budaya barat dan K-Pop.

Sewajarnya juga bagi Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi serta mementingkan adab dan kesopanan tidak sekadar berdiam seribu bahasa apabila isu-isu melibatkan wanita seperti isu penguatkuasaan peraturan ini timbul.

Thursday, January 8, 2015

Penyatuan Melayu & Islam..!?

Islam sebagai agama yang waqie (real world) sentiasa deal dengan apa sahaja perkara dan situasi secara keseluruhan mencakupi (1) ruh dan (2) jasad, terhadap (1) individu, maupun (2) masyarakat dan negara. Saya melihat manaa-mana para ilmuan atau pendakwah yang tidak memahami hakikat ini, mereka sukar memahami risalah Islam itu sendiri.

Sebagai contoh dalam isu Kalimah Allah, apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan Gereja tidak boleh mencetak perkataan “ALLAH” mengambil tempat perkataan “GOD”, ada pihak yang membangkang dengan berhujjah menggunakan firman Allah swt لا اكراه فى الدين bermaksud, “Tiada paksaan dalam Agama” dan mendakwa sepatutnya digunakan pendekatan dialog dengan Gereja, bukan dengan bentuk kekuatan dan penguatkuasaan.

Sebenarnya, golongan seperti ini sering menggunakan firman Allah swt لا اكراه فى الدينuntuk dakwaan mereka dalam agama tak boleh paksa-paksa, sedang mereka sepatutnya melihat firman-firman Allah swt yag lain yang memaksa dalam Agama seperti firman Allah swt وقاتلوهم حتى لا تكون فتنة ويكون الدين كله لله (Perangilah mereka sehingga tidak ada lagi huru hara, dan jadilah agama ini semuanya untuk Allah (Islam)”. Ringkasnya, sebenarnya kita tidak boleh paksa seseorang untuk masuk aqidah Islam kerana aqidah terletak di dalam jiwa dan ruh. Tetapi Islam boleh memaksa jasad manusia yang berada di luar jiwa untuk tunduk dibawah peraturan, undang-undang dan kekuasaan Islam. Itu maksud kedua-dua ayat di atas.

Lanjut, klik SINI

Wednesday, January 7, 2015

Kenapa Non-Muslim Menolak Hudud ?



Nampaknya isu hudud semakin banyak diperkatakan oleh pihak non-muslim sama ada dari MCA atau DAP . Ia memperlihatkan betapa prihatinnya golongan non-muslim memantau dan meneliti pelaksanaan hukum jenayah Islam di Malaysia. Walaupun suara-suara yang mahukan pelaksanaan itu hakikatnya datang daripada pihak pembangkang (khususnya Pas) yang mungkin sukar untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat, namun perang psikologi terhadap pelaksanaan tersebut telah pun dilakukan oleh pihak non-muslim seolah-olah hudud akan dilaksanakan pada esok atau lusa.




Apa yang penting, perancangan ke arah pelaksanaannya itu mampu berjalan tanpa konflik, tanpa perbalahan sesama sendiri dan tanpa campur tangan bukan Islam. Hudud juga akhirnya tidak menjadi retorik politik sesetengah pihak yang asyik berselindung di sebalik hujjah "tadarruj" atau "beransur-ansur". Hal ini seperti mana penjelasan Imam al-Qaradawi dalam kitabnya "Fi Fiqh al-Awlawiyyat" berikut:

ولا نعني بالتدرج هنا مجرد التسويف وتأجيل التنفيذ ٬ واتخاذ كلمة التدرج "تكأة" لتمويت فكرة المطالبةالشعبية الملحة بإقامة حكم الله ٬ وتطبيق شرعه ٬ بل نعني بها تعيين الهدف ٬ ووضع الخطة ٬ وتحديدالمراحل ٬ بوعي وصدق ٬ بحيث تسلم كل مرحلة إلى ما بعدها بالتخطيط والتنظيم والتصميم ٬ حتىتصل المسيرة إلى المرحلة المنشودة والأخيرة التي فيها قيام الإسلام ٬ كل الإسلام.

Maksudnya: "Dan kita tidak maksudkan tadarruj di sini hanya pelengahan dan penangguhan pelaksanaan, dan penggunaan kalimah tadarruj sebagai sandaran untuk mematikan fikrah tuntutan rakyat yang mendesak untuk menegakkan hukum Allah dan melaksanakan syariat-Nya, bahkan apa yang kita maksudkan dengannya (tadarruj) ialah menentukan matlamat, meletakkan perancangan, menetapkan fasa-fasa dengan penuh kesedaran dan kejujuran, agar setiap fasa diserahkan kepada yang seterusnya secara berstrategi, tersusun dan sistematik hinggalah perjalanan sampai kepada peringkat terakhir yang diimpikan yang padanya terbangun Islam, keseluruhan Islam".

Lanjut, klik SINI

Dilema Bangsa Melayu

Siapa yang lebih Islam dan siapakah yang lebih Melayu? Dari sini timbullah krisis pemikiran dan tindakan yang muncul dalam pelbagai isu yang datang bertimpa-timpa antaranya manakah soal yang lebih penting fardu ain atau fardu kifayah, kerohanian atau pembangunan, hudud atau pendidikan, ‘ritual’ atau ‘substance’, tudung di kepala atau iman di dada, ekonomi atau akhlak, hafiz atau teknokrat syariat atau syiar dan macam-macam lagi.

Terlepas daripada pola berfikir berasaskan kepentingan diri dan puak, kita sepatutnya boleh melihat persoalan ini dari dimensi yang lebih harmoni dan realiti. Realitinya, dalam konteks negara Malaysia, hubungan Islam dan Melayu sebenarnya sangat sinonim.

Definasi Melayu dalam status perundangan menampilkan tiga ciri asas yakni, beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan istiadat budaya Melayu. Jadi ini dengan sendiri meletakkan Islam sebagai satu ciri dalam jati-diri Melayu. Dengan kata yang lain, jika seseorang “membuang” lslamnya, maka secara otomatik boleh dikatakan dia hilang bukan sahaja nilai-nilai keislamannya tetapi juga sifat-sifat kemelayuannya.

Oleh itu dalam konteks Malaysia khususnya, secara mudah kita boleh mengatakan yang “Melayu itu Islam” dan “Islam itu Melayu’. Sungguhpun begitu ungkapan ini tidak relevan di peringkat antarabangsa kerana di dunia ini ada banyak bangsa lain yang beragama Islam seperti Arab, Turki, Kurdi, Monggol dan lain-lain. Meskipun ada di kalangan orang Melayu yang telah meminggirkan nilai dan syariat Islam dalam kehidupan mereka, tetapi itu bukanlah alasan untuk menafikan keislaman mereka justeru selagi mereka masih mengakui beragama Islam, maka keislaman mereka tidak boleh ditolak. Pengakuan lahiriah mereka ini hendaklah diterima dan diiktiraf, manakala apa yang lebih tersirat dan hakikat (yang tersembunyi di dalam hati) adalah hak Tuhan untuk menentukannya.

Lanjut, klik SINI

Melayu Atau Pemimpin Yang Lemah ?

Usaha kerajaan ingin melihat orang Melayu Islam berjaya dalam bidang keusahawanan sangat ketara dengan kewujudan pelbagai kemudahan pinjaman seperti Mara, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Ekonomi Negeri , Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera dan pelbagai lagi. Sehingga kini kita masih tertanya-tanya mengapa sebahagian besar daripada orang Melayu masih lemah dari sudut ekonomi dan masih lagi ketinggalan. terdapat beberapa sebab penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu lemah. Antaranya ialah orang Melayu lebih cenderung makan gaji daripada berniaga.

“Ini disebabkan persekitaran budaya dan sosial orang Melayu melihat berniaga itu sesuatu yang asing. Dan selalunya orang kita sering kaitkan perniagaan dengan rugi dan bankrap. Ia memberi gambaran bahawa berniaga dan rugi itu adalah seiring. Manakala budaya orang Cina pula sangat memandang tinggi mereka yang berniaga. Orang berniaga di anggap lebih matang daripada yang makan gaji. Kerja makan gaji dianggap sebagai pekerjaan sementara dan untuk mendapatkan pengalaman sementara menunggu masa sesuai untuk memulakan perniagaan.

Pada masa yang sama kita juga hampir tidak terfikir bahawa orang Cina juga menghadapi kerugian dalam berniaga. Apa yang kita nampak ialah orang Cina berniaga untung, orang Melayu berniaga rugi. Persepsi sedemikian perlu diperbetulkan. Untung dan rugi adat orang berniaga tetapi jika bijak merancang saya percaya untungnya lebih banyak daripada rugi. Jika kita selalu memikirkan rugi, maka rugilah yang kita dapat. Saya bercakap bukan dalam konteks di Malaysia sahaja malah melibatkan seluruh dunia. Masyarakat Cina menguasai ekonomi dunia sebanyak 90% manakala orang Yahudi pula menguasai ekonomi melalui pengurusan.

Buktinya, kebanyakan di sudut dunia ini akan ada bangsa Cina berniaga dan akan ada bandar mereka yang digelar ‘China Town’. Mungkin ramai yang tidak perasan bahawa tidak ada satu sektor perniagaan pun di dunia ini dikuasai oleh orang Islam samada pertanian, penternakan, perladangan, perkhidmatan dan seterusnya. Sedangkan umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.9 bilion. Jadi di manakah kedudukan orang Islam dalam bidang Ekonomi sebenarnya?

Lanjut, klik SINI.

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.