Showing posts with label kalimah Allah. Show all posts
Showing posts with label kalimah Allah. Show all posts

Monday, January 14, 2013

Harun Taib Buktikan PAS Sembah Allah, tapi hamba Tokong

Nampaknya dengan hanya satu ucapan Hari Krismas oleh Tokong Lim, DAP akhirnya berjaya menggunakan nama Allah untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu tanah Kelantan yang tidak mampu ditepis oleh Nik Aziz mahupun Ngeh dan Nga.   Nik Aziz tentunya merasa lega dan terhutang budi dengan Tokong Lim.   

Isu Kalimah Allah ini juga berjaya meredakan sedikit isu Amanat Hadi yang melemaskan Hadi Awang, walaupun tidak mampu menguburkannya bersama mereka-mereka yang telah dikuburkan dalam keadaan dikafirkan oleh saudara-mara, anak-anak atau ibubapa sendiri.   Oleh itu, Haji Hadi juga tentu turut merasa lega dan turut terhutang budi dengan Tokong Lim.  

Bagi memastikan kelegaan itu berpanjangan, PAS cuba bermain kata-kata dengan memutarbelit  kenyataan sendiri dalam menyatakan pendirian parti itu terhadap perjuangan DAP untuk menyebarkan Injil berbahasa Melayu serta menggunakan nama Allah di dalam risalah dan kitab agama Kristian.   Harapan mereka, isu ini akan menenggelamkan terus isu lain yang menyesakkan mereka, sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya. 

Jika dirujuk laporan-laporan serta kenyataan pemimpin PAS yang disiarkan oleh laman web rasmi dan tidak rasmi pembangkang di tahun yang lepas-lepas, kita akan dapati bahawa PAS tegas dan konsisten membenarkan Injil berbahasa Melayu dan juga kalimah Allah digunakan dalam risalah dan kitab Kristian dengan syarat ia tidak disalah-gunakan.  Alasan PAS ialah bagi menjaga keharmonian serta membuktikan yang Islam, atau parti mereka, bersifat terbuka berbanding UMNO.   

Tetapi, PAS tidak pernah memperincikan maksud 'salah-guna' serta tidak menyatakan langkah-langkah untuk memastikan ia tidak disalah-guna dan apa yang dapat dan boleh dilakukan sekiranya ia tetap disalahguna?    Mudah bagi PAS mendesak kerajaan membenarkan kalimah Allah dan injil berbahasa Melayu diedar, tetapi apabila ia disalahguna, tuding pula telunjuk kepada kerajaan.  Apabila kerajaan mengambil tindakan terhadap kes Melayu yang telah berjaya dimurtadkan akibat penyalahgunaan ini, PAS mengambil sikap berdiam diri dan berselindung di sebalik gereja sehingga sanggup memecat Dato' Dr. Hasan Ali yang membongkarnya.  

Hari ini, PAS turut konsisten untuk terus bermain dengan kata-kata, berbelit-belit dan berpusing-pusing untuk memberi ruang kepada puak Kristian memanipulasi kalimah Allah.   Untuk itu, Harakahdaily melaporkan kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib bahawa MStar telah tersalah melaporkan kenyataannya yang bertajuk: 'Ulama PAS tetap tidak setuju bukan Islam guna kalimah Allah' pada 9 Januari 2013.   

Menurut Harun Taib, tajuk yang betul mengenai kenyataannya sepatutnya ditulis begini:  'Ulamak PAS tetap tidak setuju bukan Islam guna kalimah Allah di dalam kitab mereka bagi menggantikan perkataan God'.

Inilah kenyataan paling 'busuk' yang pernah keluar dari mulut seorang yang mengangkat diri sendiri sebagai Ulama.    

Soal, Kalimah Allah merujuk kepada perkataan 'God' di dalam Injil tidak pernah timbul dalam mana-mana kenyataan PAS yang menyokong DAP dalam isu ini, sebelum ini.  Ianya kerana, ia sudah difahami dan tidak perlu diperjelaskan lagi bahawa kalimah Allah itu digunakan untuk merujuk kepada Tuhan atau 'God' dalam kitab dan risalah Kristian.  Inilah isunya, jika tidak tidak mungkin ia menjadi isu.  

Agak-agak Harun Taib, jika bukan untuk menggantikan perkataan 'God' untuk apakah puak DAP Kristian ini ingin menggunakan kalimah tersebut?   Sekadar sebutan?  Atau untuk merujuk kepada benda-benda lain?  Bukankah ini lebih teruk dan lebih sesat lagi?  Takkanlah Harun Taib bermaksud bahawa jika kalimah itu dirujuk kepada benda lain maka ia tidak apa?  

Apakah yang Harun Taib cuba belitkan ini?  Kalau ya pun ingin membelit, janganlah dibelit diri sendiri.   

Hakikatnya, sama ada kalimah Allah dirujuk kepada Nabi Isa (Jesus), atau Tuhan Bapa, atau Holy Spirit, ia tetap merupakan satu penyalahgunaan kerana kesemua itu dirangkumkan oleh Kristian sebagai satu elemen yang dianggap Tuhan (God).    

Kenyataan Harun Taib membuatkan kita hairan, kenapa begitu cetek sekali pengetahuan seorang yang bergelar Ulama mengenai agama-agama langit yang 'berselisih' dengan Islam?  Bukankah bagi mendapatkan 'hak' untuk memakai gelaran Ulama, seseorang itu perlu mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidangnya, siap dengan kajian terperinci dan idea-idea yang bernas untuk dirujuk, dibahas atau dikaji semula oleh orang lain?

Jika inilah tahap seorang Ketua Ulama, maka tidak hairanlah bagaimana seorang yang bergelar Tokong juga mampu mempermainkannya sekali gus kesemua mereka yang hanya melangut dan menelan apa saja kata-kata 'Ketua Ulama' tersebut.   

Jangan nanti, kerana terlalu ingin menjaga hati Tokong, maka PAS pula yang keliru antara 'Jesus' dan 'Allah'.  PAS perlu pastikan bahawa dalam mereka menyembah Allah SWT, jangan pula mereka menjadi hamba kepada Tokong.  

Kalimah Allah: Guan Eng Tepuk Tangan Pemimpin PAS Bertelagah


Kebelakangan ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dikhabarkan kerap tersenyum dan kelihatan gah bangga tak terkata bila mana pegawai atau rakan-rakan pemimpin parti berborak cerita mengenai isu kalimah Allah s.w.t.

Daripada wajah keruh mencuka gara-gara serabut memikirkan tentangan dalaman berikutan pemilihan jawatan CEC tempohari yang tiba-tiba menjadi pertunjukan magik ala David Corperfield, terus sahaja terukir senyum dibibirnya.

Memang layaklah untuk Guan Eng tersenyum bangga, hatta kalau Guan Eng sambil tidur malam tiba-tiba mengigau bertepuk tangan dengan air liur basi meleleh pun, tak usahlah ada yang terasa pelik bin ajaib.

Bukankah dek kerana keberaniannya semasa menyampaikan ucapan Kristmas akhir tahun 2012 itulah anak lelaki kesayangan Penasihat DAP itu telah membuktikan kepimpinannya mempunyai keupayaan untuk kekal menjadi abang besar kepada balaci setianya, iaitu PAS.

Dalam ucapan Kristmas itu, Guan Eng tanpa berselindung mengulangi tuntutan supaya kalimah Allah s.w.t dibenarkan untuk kegunaan Bible versi Bahasa Melayu bagi menggantikan perkataan God yang selama ini sering diguna pakai dalam Bible Bahasa Inggeris.

Lebih manis lagi bagi Guan Eng dan DAP, dek kerana isu kalimah Allah s.w.t itulah juga menyebabkan kepimpinan PAS terpaksa bertelagah sesama sendiri. Pertentangan terbuka ini menyebabkan ramai ahli dan penyokong PAS keliru dan termanggu sendirian.

Mereka resah mana satu puak yang mahu didukung dan disokong dengan penuh wala dan mana satu yang wajib menjadi prioritinya - pilihan yang dikira sukar bagi mereka, antara mendahulukan kebenaran agama ataupun mengutamakan kepentingan politik kepartian.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Haron Din, Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Harun Taib serta tidak ketinggalan ialah Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali tegas dengan pandangan kalimah suci Allah s.w.t hanya milik Islam.

Pandangan mereka benar kerana sekalipun di beberapa sudut bumi ini ada wilayah yang penduduknya beragama Kristian menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan Jesus, namun hakikatnya Allah s.w.t Yang Maha Esa sama sekali tidak boleh disamatarafkan dengan konsep ketuhanan triniti dalam Kristian.

Dalam Kristian penganutnya beriktikad yakin adanya Tuhan Jesus, Tuhan Bapa dan Roh Kudus. Sedangkan, Allah s.w.t hanya satu, Dia yang berkuasa mencipta manusia dan alam semesta, akan tetapi bila dibiarkan kalimah Allah tergadai kepada agama lain khususnya Kristian, bermakna ia seperti meredhakan perbuatan menyekutukan Allah s.w.t.

Manakala dipihak yang satu lagi yang lebih liberal dan menguasai tampuk kepimpinan dan dasar PAS pula tetap dengan pendirian songsang mereka mahukan kalimah Allah s.w.t dibiarkan tergadai kesuciannya demi keutamaan mengejar undi masyarakat Kristian.

Pemimpin PAS yang termasuk dalam golongan liberal yang terkenal dengan gelaran Anwarinas, Erdorgan dan Parasit ini diketuai oleh Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala penggerak aktifnya ialah Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad yang didukung oleh majoriti pemimpin PAS di peringkat Pusat dan Negeri. 

Selepas lebih kurang seminggu bertelagah sambil bersandiwara, akhirnya keputusan yang dicapai selepas Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PR seperti dijangkakan ramai, kemenangan memihak kepada puak liberal. Muktamad sudah untuk kali kedua yang dasar PAS bersama PR kini ialah untuk menjayakan proses menggadaikan kesucian kalimah Allah s.w.t dan akidah ummah.

Maka terus tersengihlah Guan Eng sambil bertepuk tangan dengan senang hatinya kerana hasil usahanya, DAP dan Gereja Kristian semakin melebarkan pengaruh dalam PR termasuklah meneruskan tradisi membalacikan PAS untuk entah ke berapa puluh kalinya. 

Simbolik untuk meraikan kejayaan itu pula membawa kepada acara kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat atau lebih tepat lagi Himpunan Menyokong Gadaian Kalimah Allah di Stadium Merdeka hujung minggu nanti. Tika itu Guan Eng akan lagi kerap bertepuk tangan bersama pimpinan DAP dan PKR yang lain.

Tiada lagi masalah untuk DAP meneruskan agenda mengacau bilau kesucian agama Islam serta akidah penganutnya kerana selagi sebahagian besar kepimpinan PAS Pusat dalam genggaman puak liberal Anwarinas, selagi itulah DAP kekal sebagai abang besar kepada PAS.

Tinggal lagi sekarang, DAP bersama PR serta dengan gandingan mantap dari pimpinan PAS hanya perlu fokus untuk memenangi PRU 13 bagi merealisasikan kalimah Allah s.w.t benar-benar termaktub dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. 


PKR Dalang Perangkap PAS Untuk Benar Kristian Guna Kalimah Allah

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tentunya sedang tersenyum lebar tika ini, memandangkan tuntutannya supaya kalimah Allah s.w.t digunapakai dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu akhirnya sekali lagi dipersetujui oleh PAS sekaligus kini menjadi polisi muktamad PR.

Kira-kira dua minggu lepas segelintir pemimpin PAS yang berlatarbelakang agama terdiri daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Dewan Ulama PAS, Haron Taib telah tampil penuh yakin dan tegas membantah tuntutan tersebut.

Kedua-dua senada bahawa kalimah suci Allah s.w.t hanya terhad kepada agama Islam dan umatnya serta tidak sepatutnya diseleweng kesuciannya, sebaliknya perkataan Tuhan lebih sepadan bagi menggantikan kata nama 'God' untuk kegunaan dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Pandangan mereka betul kerana Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa, yakni satu-satunya yang wajib disembah dan tidak layak dipersekutukan apatah lagi untuk disamatarafkan dengan konsep ketuhanan dalam agama Kristian yang bersifat trinity - Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus.

Amat benar Allah s.w.t adalah Tuhan kepada seluruh manusia, pencipta langit dan bumi serta segala isi kandungannya, itu iktikad kepercayaan umat Islam. Namun Allah s.w.t bukannya Jesus, bukan juga Tuhan Bapa dan bukan juga Roh Kudus sebagaimana difahami oleh penganut Kristian. 

Dalam hal ini, pemimpin Kristian dalam DAP, PKR atau mana-mana penganut Kristian di Malaysia tidak berhak untuk meletakkan kedudukan dan kebesaran Allah s.w.t setaraf dengan konsep ketuhanan triniti kepercayaan mereka.

Namun begitu, seperti mana semua kita telah maklum, pandangan kedua-dua pemimpin PAS itu akhirnya tidak pun memberi nilai tambah yang mampu mempengaruhi pendirian bersama PR.

Dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PR yang terkini telahpun di ambil keputusan muktamad untuk memperakui kalimah Allah s.w.t sewajarnya dibenarkan penggunaannya dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut ternyata gagal mempertahankan kesucian kalimah Allah s.w.t dan maruah agama Islam. Satu kesinambungan bukti yang menonjolkan betapa lemahnya PAS dalam menghadapi pengaruh DAP serta PKR dalam gabungan parti tidak berdaftar itu.

Dasar PAS sekarang ternampak jelas lebih mengutamakan polisi liberalisme dan pluralisme yang dianuti PR semata-mata untuk memenangi undi masyarakat Kristian yang sebahagian besarnya tegar menyokong DAP dan PKR.

Persoalan sekarang kenapa dan mengapa PAS sebegitu lemah sehinggakan tergamak tunduk mengikut segala tuntutan DAP serta begitu kelu bila berdepan dengan kemahuan penganut agama lain?

Jawapan kepada persoalan itu tidak sukar untuk dikupas. Sebahagian puncanya bersangkut paut dengan pengaruh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang kuat mencengkam PAS ditambah lagi dengan kewujudan ramai pimpinan generasi baru PAS yang serba liberal bertuhankan ideologi Anwarinas.

Dengan penguasaan total oleh golongan Anwarinas dalam kepimpinan PAS menjadikan parti itu bertindak seakan sayap kanan untuk PKR bagi mencapai agenda peribadi Anwar yang begitu kemaruk mahu mengejar puncak kuasa yang lama diidam-idamkan.

Rata-rata pemimpin pro Anwarinas percaya percaturan politik Anwar dalam isu ini pastinya bakal memberi pulangan besar dalam bentuk sokongan pengundi bukan Islam kepada PR khususnya melibatkan penganut agama Kristian, serentak dengan itu diyakini berupaya membuka laluan kuasa ke Putrajaya.

Suka atau tidak, para penyokong tradisi PAS mahupun mereka yang bersimpati dengan perjuangan parti berlabel Islam itu harus, sudah tiada peluang untuk PAS kembali ke landasan asalnya selagi PAS terus terperangkap dalam keindahan angan-angan yang dipropagandakan oleh Anwar dan PKR.

Kalimah Allah: PAS Sekali Lagi DiTunggang-terbalikkan Oleh Kristian DAP

Nampaknya, penganut Kristian di Malaysia bersungguh-sungguh benar ingin menggunakan nama 'Allah' dalam kitab-kitab agama mereka seolah-olah tanpa menggunakannya maka ajaran Kristian mereka tidak lengkap dan tidak tepat.  Kita tahu niat sebenar puak-puak ini iaitu untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan orang Melayu Islam di mana mereka yang agak cetek pengetahuan agama pasti mudah menjadi keliru dan akhirnya dimurtadkan apabila melihat nama Allah di dalam risalah dakwah dan kitab-kitab Kristian.  

Kita tidak yakin bahawa taktik kotor ini dibenarkan dalam agama Kristian kerana kita percaya yang semua agama mementingkan ketelusan dan keikhlasan.  Bagaimana seseorang dapat menyatakan dia berada di pihak yang benar dalam soal agama jika cara yang digunakan untuk menyampaikannya adalah licik iaitu cara manipulasi atau penipuan halus.  

Cara kotor ini hanya sesuai dikaitkan dengan politik, bukan agama.  

Justeru, tidak hairanlah yang menjadi juara penyebaran Kristian dengan cara licik iaitu dengan menggunakan injil berbahasa Melayu dan Kalimah Allah sebagai merujuk kepada 'Tuhan' Kristian, adalah parti DAP.  Tidak hairan juga yang ia turut dipersetujui dan disokong oleh PKR, hatta PAS juga, walaupun parti itu kononnya menjadi barisan hadapan atau benteng pertahanan Islam.  

Seharusnya, apabila isu ini timbul, pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia termasuk para Ulama mengambil inisiatif mengajak puak Kristian ke meja perbincangan dan perbahasan ilmiah bagi mencari penyelesaian.   

Memandangkan isu ini telah menjadi isu politik yang hangat, maka adalah lebih afdal bagi PAS sendiri untuk memulakan perbincangan dan perbahasan dengan sekutunya DAP bagi mengenalpasti apakah signifikannya bagi Kristian untuk menggunakan nama Allah dalam kitab mereka?   

Jika puak Kristian DAP gagal membentangkan alasan yang signifikan, maka jelaslah bahawa isu ini bersifat licik serta wajib ditentang.  Namun, PAS tidak pernah bersemuka dengan DAP untuk memahami alasan mereka tetapi terus sahaja mengeluarkan kenyataan menyokong, kononnya tiada salahnya dalam isu penggunaan nama Allah di dalam kitab agama lain.  

Adalah tidak wajar PAS menyokong perjuangan Kristian DAP ini tanpa terlebih dahulu mengupas tujuannya dan memahami kewajarannya.  

Ini kerana, nama 'Allah' tidak digunakan dalam mana-mana kitab Kristian di negara-negara  dengan pengamal agama itu yang paling ramai.  Secara dasarnya, Kristian percaya bahawa Tuhan wujud dalam konsep Trinity iaitu 'God the Father' (Tuhan Bapa), 'God the Son' (Tuhan Anak) dan 'Holy Spirit' (Roh Kudus).    Ketiga-tiga 'elemen' ini dirujuk sebagai satu Tuhan dengan panggilan umum, 'the Lord'.  

Seperti juga Islam, terdapat berbagai mazhab dalam Kristian.  Tiga mazhab utama Kristian ialah Katholik, Eastern Orthodox dan juga Protestant.  

Puak Kristian DAP yang menimbulkan isu kalimah Allah ini adalah dari mazhab Protestant.   Mereka merujuk kepada diri mereka sebagai 'Evangelist' iaitu, jika mengikut penerangan Wikipedia, ia bermakna 'pendakwah' yang mempunyai misi khas untuk menarik penganut agama lain agar memeluk Kristian.  

Mazhab prostestant juga berpecah kepada beberapa versi yang turut melalui berbagai perubahan dari zaman ke zaman serta berbeza mengikut tempat.  Protestant adalah satu mazhab yang menidakkan pemusatan kuasa ke atas Pope tetapi atas individu sendiri berasaskan 'keimanannya' kepada kitab Injil.  

Walaubagaimanapun, asas Kristian tetap sama iaitu berpegang kepada konsep Trinity dan merujuk kepada Tuhan sebagai 'the Lord'.  Namun, semua Kristian juga memahami bahawa perkataan 'Abba' turut merujuk kepada Tuhan kerana ia adalah panggilan Nabi Isa (Jesus) kepada bapanya.  Ini tidak menghairankan kerana 'bapa' di dalam bahasa Arab, berbunyi 'Abi'.   

Nama 'Allah' tidak disebut di mana-mana dalam dokumen yang menerangkan Kristian, sekali gus bermakna tiada alasan yang munasabah bagi DAP untuk bermati-matian memperjuangkannya.  

Jelas sekali bahawa isu ini tidak lain tidak bukan hanyalah satu agenda licik dan berniat jahat semata-mata, dalam usaha DAP untuk mengembangkan agama Kristian.  

Justeru, alasan PAS bahawa parti itu menyokong DAP dalam isu ini selagi nama Allah tidak disalahguna adalah tidak relevan sama sekali kerana sudah terang lagi bersuluh bahawa ia bukan sahaja disalahguna tetapi digunakan dengan niat jahat.  

Dengan itu, sokongan yang PAS tunjukkan terhadap DAP wajar dilihat sebagai satu pengkhianatan terhadap Islam.  Jangan kita lupa bahawa PAS juga yang menghentam kerajaan dalam isu 30,000 kitab injil berbahasa Melayu yang ditahan di pelabuhan tahun 2011 kerana kontroversi kalimah 'Allah' di dalamnya.  

Kesimpulannya, PAS adalah kuda tunggangan yang boleh ditunggang terbalikkan sesuka hati oleh DAP untuk mencapai apa sahaja matlamat mereka, termasuk menyebarkan Kristian dan memurtadkan umat Islam.

Wednesday, January 9, 2013

Kalimah Allah: PAS Pasti Akan Akur Dengan Tokong Lim

DAP sekali lagi memainkan isu kalimah 'Allah' untuk digunakan di dalam kitab Injil Kristian.   Isu hampir sama pernah menjadi hangat ketika Pilihanraya Sarawak di mana PAS bersetuju untuk membenarkan Injil dicetak dalam Bahasa Melayu.  Isu ini dikatakan sama kerana kedua-duanya bertujuan untuk menyebar Kristian di kalangan orang-orang Melayu Islam.  

Memandangkan PAS telah pun bersetuju dengan Injil berbahasa Melayu, maka kita tidak hairan jika PAS juga akan akhirnya bersetuju dengan DAP agar kalimah Allah digunakan oleh Kristian mahupun agama lain bagi memastikan Tokong mereka iaitu Lim Guan Eng gembira.  Walaubagaimanapun, seperti biasa, sebelum bersetuju, PAS akan terlebih dahulu bersandiwara dengan berpura-pura menentangnya.  

Sandiwara menentang cadangan DAP ini penting bagi membeli masa sebelum pilihanraya bagi melenyapkan isu Amanat Hadi, Tanah Kelantan, Balak Kedah, Air Selangor dan lain-lain lagi yang amat menyesakkan dada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. 

Namun, sandiwara yang pengakhirannya sudah dijangka amatlah membosankan dan seeloknya, PAS dan DAP hentikanlah saja lakonan mereka.  

Ini kerana semua orang sudah sedia maklum bahawa di akhir sandiwara ini, PAS tetap akan akur kepada kehendak Tokong Lim DAP.   Lagipun, kenapa pula kali ini PAS ingin menentang penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Injil sedangkan Presiden PAS sendiri pernah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 5 Januari 2010, yang membenarkannya.  

Kenyataan ini boleh dilayari di laman rasmi PAS seperti di bawah:

http://pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2603:kenyataan-rasmi-presiden-pas-mengenai-isu-kalimah-allah-&catid=20:kenyataan-rasmi&Itemid=99

Antara petikan kenyataan rasmi Presiden PAS tersebut ialah:   

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Tetapi, hari ini apabila Tokong Lim membangkitkan isu ini sekali lagi dalam perutusan Krismasnya, beliau ditempelak pula oleh Ahli Majlis Syura Ulama PAS yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud Iraqi, sebagai mengelirukan umat Islam di negara ini.   Katanya, "PAS mengambil pendirian seperti diputuskan Majlis Syura parti sebelum ini, tidak bersetuju dengan desakan mana-mana pihak berhubung isu berkenaan."

Apa ceritanya ini?  Apakah Majlis Syura PAS tidak sependapat dengan Presiden PAS?  

Jika benar, nampaknya Presiden PAS mungkin bersendirian dalam menyokong Tokong Lim kerana dalam satu laporan di Harakah (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_ content&task=view&id=019648&Itemid=96), Nik Aziz juga telah menafikan yang beliau menyokong penggunaan nama Allah oleh bukan Islam itu sepertimana yang dilaporkan oleh media perdana.  Antara petikan kenyataan di Harakah yang dibuat oleh Setiausaha Politik beliau, Anual Bakri Harun adalah seperti berikut:    

"Wartawan silap memahami apa yang disebut Menteri Besar (Nik Aziz) kerana perkataan Allah hanya boleh digunakan bagi mereka yang telah menerima Islam.  Bagi memahami konteks yang disebut Menteri Besar dengan lebih jelas kita kena memahami maksud surah Al Ikhlas iaitu Katakanlah (ya Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa, Allah yang dituju (meminta hajat). Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada satu pun yang menyerupaiNya.  Oleh itu jelaslah nama Allah hanya wajar digunakan bagi mereka yang telah beriman dan tidak boleh menyalahi sifat 99 namaNya," kata beliau di sini."

Namun, carian seterusnya menemui yang sebaliknya di mana pada 21 Januari 2010, Nik Aziz pernah membuat kenyataan seperti berikut yang disiarkan oleh Harakah juga:  

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tiada halangan bagi masyarakat bukan Islam negeri itu menggunakan kalimah 'Allah', baik dalam pertuturan maupun dalam buku-buku agama mereka.

Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, kerajaan negeri tidak bercadang mengikut jejak negeri-negeri lain melarang kalimah 'Allah' digunakan orang bukan Islam.  "Keputusan ini diambil memandangkan keadaan di negeri ini memperlihatkan keharmonian antara kaum yang terjalin erat".

Nik Aziz kemudian menjelaskan bahawa beliau bermaksud yang beliau hanya bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selagi tidak membawa kemudaratan kepada Islam, serta keadaan di Kelantan yang harmoni telah membolehkan ianya dibenarkan. 

Untuk Nik Aziz, Hadi Awang, Majlis Syura PAS dan orang-orang PAS keseluruhannya, penulis ingin berpesan agar hentikanlah memberi alasan dan memutar-belit kenyataan sendiri kerana ia tidak membawa apa-apa makna selain menghabiskan air liur sahaja.  Ini kerana semua orang sedia maklum yang PAS tetap akan akur kepada 'ajaran Tokong Lim' sahaja.  

Tidak perlu menafikan perkara ini kerana buktinya sudah terlalu banyak, iaitu kes pusat sembelihan di Kedah, kes arak di Selangor, kes judi di Kelantan, kes Injil dalam Bahasa Melayu, kes Kelab Malam Voyage di Selangor, kes penutupan pusat hiburan di bulan puasa di Kedah, kes Salon di Kelantan dan yang paling dahsyat ialah kes murtad di Selangor di mana kesemuanya menyaksikan PAS sujud kepada kemahuan dan arahan Tokong DAP.  

Justeru, apa bezanya dengan kes kalimah Allah ini?  Presiden PAS sudah pun membuat kenyataan rasmi sejak awal lagi yang beliau tiada halangan bagi agama Kristian menggunakan nama Allah dalam bahan keagamaan mereka.   Jika Presiden sendiri sudah membuat kenyataan rasmi, kenapa masih perlu bersandiwara?  Tiada apa-apa yang perlu dikelirukan atau didebatkan lagi mengenai pendirian PAS dalam isu ini kerana pendirian PAS adalah tertakluk kepada pendirian DAP.  

Satu-satunya perkara yang mugnkin mengelirukan di sini ialah dalam memahami motif atau signifikannya bagi Tokong Lim atau DAP untuk memperjuangkan penggunaan kalimah Allah dalam bahan keagamaan Kristian.  Ramai yang hairan tentang kenapa nama Allah perlu dijadikan isu?  Kenapa nama Allah juga yang diinginkan mereka?  Kenapa bukan nama lain?  Kenapa sekarang?  Kenapa?   

Apakah tanpa penggunaan nama Allah, maka ajaran Kristian akan terjejas?   Selama ini apakah nama yang digunakan oleh orang-orang Kristian di Malaysia untuk merujuk kepada Tuhan yang berkenaan?   Apakah Tokong Lim  boleh memberi jawapannya? Atau apakah Nik Aziz dan Hadi Awang ingin menjawab bagi pihak Tokong Lim? 

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.