Friday, February 24, 2012

Program Pembangunan Turuti Denyut Nadi Rakyat, Kata Najib

Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pangsapuri Rakyat di Sg Putat Batu Berendam, Melaka


MELAKA, 24 Feb – Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus merasa denyut nadi rakyat dalam pelaksanaan setiap dasar, program dan projek pembangunan di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sebagai kerajaan bertanggungjawab, segala perancangan yang dilakukan bukan sekadar menjadi sebutan politik atau untuk menghadapi pilihan raya, sebaliknya ia turut mengambil kira kepentingan generasi akan datang.

Merujuk kepada demonstrasi di beberapa negara Timur Tengah dan Afrika Utara, beliau berkata ia berlaku kerana rakyat di sana ingin menukar kerajaan yang tidak mendengar rintihan dan denyut nadi mereka.

“Sebaliknya di Malaysia, kita membuat perubahan lengkap dan menyeluruh melalui transformasi besar yang kita lakukan untuk kebaikan negara dan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat tawaran Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Bukit Berendam di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan surat tawaran kepada 336 bakal penghuni pangsapuri tersebut dan mengumumkan ia dijual pada harga RM35,000 seunit berbanding kos sebenar yang mencecah RM148,000, sambil disambut sorakan gemuruh hadirin.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

Mengulas lanjut, Najib berkata transformasi besar itu dilaksanakan melalui perancangan yang lengkap dengan butiran-butiran tepat berdasarkan kajian mendalam.

“Apabila ia dilaksanakan, kita dapat memberi suntikan kepada pembangunan negara dan memacu perubahan yang memungkinkan negara berada pada asas lebih kukuh berbanding dulu,” katanya.

Najib berkata berbeza dengan pembangkang yang hanya menjual janji kepada rakyat, BN membuat janji yang mampu ditunaikan.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan tidak berhutang dengan Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa dalam memberikan bantuan kepada rakyat seperti inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kita sebaliknya menggunakan kekuatan dalaman ekonomi kita untuk membantu rakyat,” kata Najib yang turut merujuk kepada pengiktirafan IMF terhadap pengurusan ekonomi negara baru-baru ini.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan berhasrat memperbanyakkan projek perumahan seperti di Sungai Putat pada masa depan.

Najib berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, kerajaan telah menyiapkan 65,246 rumah di seluruh negara sebagai memenuhi keperluan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Dalam tempoh sama, kerajaan dengan kerjasama kerajaan negeri berjaya memulihkan 83 daripada 167 projek perumahan di seluruh yang diisytiharkan terbengkalai sejak 2009.

Majlis penyerahan surat tawaran itu merupakan acara pertama Najib dalam lawatan sehari beliau ke Melaka.

-umnoonline-

Ada pihak cuba sabotaj program walkabout PM di Melaka

Cubaan sabotaj program walkabout PM di Melaka


PENIAGA kecil di Jalan Kee An turut menerima notis palsu semalam mengarahkan mereka menutup perniagaan semasa kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Melaka.


MELAKA 23 Feb. - Sembilan peniaga di Jalan Kee Ann dan Jalan Bunga Raya di sini yang sepatutnya menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam program walkabout sekitar kawasan itu esok, dikejutkan dengan notis mengarahkan mereka menutup perniagaan selama dua hari.

Notis mengggunakan logo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu diterima peniaga terbabit pada Selasa lalu yang meminta mereka menutup perniagaan bermula hari ini dan esok.

Notis itu dipercayai diedarkan pihak tertentu dalam usaha mensabotaj program walkaboutsempena lawatan Perdana Menteri ke negeri itu esok.

Datuk Bandar Melaka, Zainal Abu berkata, pihaknya hanya mengeluarkan surat meminta mereka menjaga kebersihan sempena lawatan Najib.

"Tidak masuk akal langsung jika kita mengeluarkan notis tersebut kerana program walkaboutPerdana Menteri di situ ialah untuk bertemu dengan rakyat yang memerlukan penglibatan peniaga di kawasan itu.

"Ini mungkin kerja pihak-pihak tertentu yang cuba mensabotaj sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri sempena lawatan beliau," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Zainal berkata, pihaknya telah mengedarkan sekeping surat kepada semua peniaga di kawasan itu meminta mereka mengabaikan notis tersebut.

"Kita edarkan surat ini bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan peniaga dan mahu mereka meneruskan perniagaan seperti biasa sempena lawatan Perdana Menteri esok," katanya.

-utusanonline-


Stadium Merdeka Lokasi Ulang Tahun UMNO Ke-66


Stadium Merdeka Lokasi Ulang Tahun UMNO Ke-66

KUALA LUMPUR, 23 Feb. – Stadium Merdeka akan menjadi lokasi bagi sambutan ulang tahun UMNO ke-66 yang akan diraikan dengan meriah pada 11 Mei depan dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah dilantik sebagai pengerusi bagi menjayakan agenda tersebut, kata Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, malam ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa tarikh persidangan cawangan UMNO akan berlangsung bermula 1 April sehinggalah 15 Jun 2012 termasuklah persidangan pergerakan sayap wanita, pemuda dan puteri.

“Tarikh bagi persidangan bahagian termasuklah pergerakan wanita, pemuda dan puteri pula akan diadakan bermula 1 Julai sehinggalah 15 September 2012,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah ahli UMNO sehingga 31 Disember 2011 telah bertambah sebanyak 113,116 dan jumlah ahli UMNO terkini ialah 333,5828.

Turut serta dalam sidang media tersebut ialah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan, Bendahari Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Rosnah Rashid Shirlin. – MediaUMNO

Friday, February 17, 2012

Jelajah Keamanan & Waqaf Water4Gaza 2012 Peringkat Negeri Melaka



Jelajah Keamanan & Waqaf Water4Gaza 2012 Peringkat Negeri Melaka akan diadakan pada 18 Feb 2012 (Sabtu), jam 11 pagi di perkarangan Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. Jelajah kemanusiaan ini akan menjelajah ke semua enam parlimen di negeri Melaka iaitu:-

1. Parlimen Kota Melaka di Dataran Pahlawan, Banda Hilir
2. Parlimen Tangga Batu di Dataran 1Malaysia, Klebang
3. Parlimen Masjid Tanah di Perhentian Bas & Teksi Masjid Tanah
4. Parlimen Alor Gajah di Alor Gajah Sentral
5. Parlimen Jasin di Merlimau Point
6. Parlimen Bukit Katil di Dataran Bandaraya MBMB

Warga Melaka dan anda semua dijemput hadir dan menunggu disetiap lokasi yang telah ditetapkan tersebut.

Wednesday, February 15, 2012

Imbasan Sejarah: Rundingan Baling.

Imbasan Sejarah: Rundingan Baling.


Tunku Abdul Rahman Putra tiba untuk mengadakan rundingan dengan Chin Peng di Baling pada 28 Disember 1955.



Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan daripada masyarakat, pemimpin PKM, Chin Peng telah meminta rundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling ini diadakan pada 28 - 29 Disember 1955.

Dalam rundingan itu, kerajaan telah menawarkan pengampunan dengan syarat PKM dibubarkan, tetapi Chin Peng berkeras agar PKM dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Usul tersebut ditolak oleh Kerajaan.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kemudiannya menegaskan kepada rakyat bahawa PKM bertindak menentang kerajaan yang dipilih rakyat.

Contohi Allahyarham Leftenan Adnan


SINGAPURA 14 Feb. - Pengorbanan Allahyarham Leftenan Adnan Saidi mempertahankan negara harus dicontohi seluruh rakyat Malaysia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Leftenan Adnan dengan pasukannya telah mempertahankan Tanah Melayu ketika itu daripada pendudukan Jepun sehingga titisan darah terakhir. Walaupun beliau ketika itu tahu akan risikonya, beliau tetap memperlihatkan komitmen yang bukan kerana jawatan atau pangkat, tetapi pengorbanan kepahlawanan sejati.

"Pada hemat saya, generasi kini dan akan datang harus melihat bahawa pengorbanan yang diperlihatkan oleh Leftenan Adnan adalah pengorbanan kepahlawanan yang harus dijadikan contoh bagaimana mempertahankan negara tidak boleh dibeli dengan wang ringgit ataupun pangkat serta harta benda, tetapi pengorbanan jiwa raga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada upacara penghormatan sempena 70 tahun peristiwa berdarah pertempuran Bukit Candu dan kejatuhan Singapura ke tangan Jepun di Lt Adnan Reflection Centre di sini.

Ahmad Zahid berkata, hari ini merupakan hari memperingati pahlawan dari Tanah Melayu, khususnya Leftenan Adnan dari Regimen Askar Melayu yang terkorban dalam peristiwa berdarah itu pada 14 Februari 1942.

"Walaupun ini pertama kali saya, Timbalan Menteri dan beberapa jeneral dari Malaysia (berada di sini), tetapi ulang tahun ke-70 ini adalah satu tarikh signifikan bagi kita mengenang jasa dan menghargai pengorbanan yang telah diperlihatkan oleh pegawai dan tentera kita demi mempertahankan tanah air kita kerana Singapura adalah sebahagian daripada Tanah Melayu pada ketika itu," katanya.

Beliau juga berasa amat berbangga kerana kerajaan Singapura mewujudkan arkib negara mereka bagi mengenang jasa pahlawan negara Malaysia selain pahlawan mereka.

"Dengan ini, semoga keluarga Allahyarham Adnan Saidi dan para arwah perajurit yang lain dapat bersama-sama untuk menghargai jasa mereka.

"Kita berharap kenangan ini bukan sekadar kenangan, tetapi menjadi sebagai motivasi kepada anak-anak muda pelbagai bangsa bagi memperlihatkan rasa patriotisma yang tinggi dalam mempertahankan negara kita," katanya.

Ditanya mengenai cadangan menukarkan nama Port Dickson kepada Leftenan Adnan sebagai penghormatan kepada pahlawan negara itu, Ahmad Zahid berkata mungkin ada tempat lain yang lebih sesuai, dan ia bergantung kepada keputusan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Cadangan itu baik, walau bagaimanapun, tertakluk kepada perkenan Tuanku," katanya.

Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Leftenan Adnan dilahirkan di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor pada 1915.

Pada 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan memasuki Rejimen Askar Melayu dan beliau ditempatkan di Singapura pada akhir 1941.

Keberanian Allahyarham bersama 42 anggota Askar Melayu yang bertempur bermati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kekal dalam lipatan sejarah negara. - BERNAMA

Tuesday, February 14, 2012

Isteri YB ADUN Ayer Limau pulang ke rahmatullah (10 Feb 2012)




Kampung Lekuk, Masjid Tanah, Melaka-10 Feb 2012,

Sekitar penghormatan terakhir dan takziah kpd keluarga YB Hj. Amirudin Bin Yusof ADUN Ayer Limau merangkap Ketua Penerangan UMNO Bahagian Masjid Tanah kerana kehilangan isteri tercinta Allahyarhamah Hjh. Noor Azimah Binti Dol Haji pada pagi 10 Feb 2012 bersamaan dengan hari Jumaat.
Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman…Daripada ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali…




Senarai Pusat Pameran Rang Suku 4/2012 Bagi Negeri Melaka


http://www.naztech.my/spr.gov.my/images/stories/pdf/SENARAI_PUSAT_PAMER_RANG_PDF/Melaka.pdf

AKTA PILIHAN RAYA 1958
PERATURAN‐PERATURAN PILIHAN RAYA (PENDAFTARAN PEMILIH) 2002
NOTIS MENGENAI SIAPNYA PENYEMAKAN DAN PEMERIKSAAN
DAFTAR‐DAFTAR PEMILIH TAMBAHAN
MENURUT subperaturan 13(5) Peraturan‐Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih)
2002 [P.U. (A) 293/2002], NOTIS diberikan bahawa penyemakan daftar‐daftar pemilih
tambahan bagi kawasan‐kawasan pendaftaran dalam Bahagian‐Bahagian Pilihan Raya
Parlimen yang dinyatakan dalam ruang (1) Jadual dan bagi unit‐unit pendaftaran yang
dinyatakan dalam ruang (2) Jadual hingga dan termasuk 31 Disember 2011 telah siap
dan bahawa salinan‐salinan daftar pemilih tambahan itu dibuka untuk pemeriksaan di
tempat‐tempat yang dinyatakan dalam ruang (3) Jadual dan boleh diperiksa pada waktu
pejabat pada mana‐mana hari bekerja mulai dari 8 Februari 2012 hingga dan
termasuk 14 Februari 2012.

Nik Aziz mahu Anwar tarik kenyataan atau saman WSJ


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ), baru-baru ini ataupun menyaman majalah itu jika laporan berkenaan adalah tidak benar.

Beliau berkata, gesaan itu dibuat selepas dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Syura Ulama PAS yang juga selari dengan pendirian parti itu supaya tidak mengiktiraf negara Israel.

“Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi
membersihkan nama beliau,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Anwar yang juga adalah Ketua Pembangkang, sebelum ini dilapor menyokong usaha menjaga keselamatan Israel ketika beliau ditemu ramah akhbar WSJ.

Menurut Nik Aziz, pendirian PAS tegas dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa.

Sebaliknya, PAS katanya, menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Tolak penyelesaian dua negara

“Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram.

“Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis,” katanya lagi.

Beliau yang juga adalah Menteri Besar Kelantan berkata keselamatan Israel juga bukanlah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh orang Arab atau umat Islam kerana negara itu ditegakkan atas dasar kezaliman.

“Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman
ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Nik Aziz selepas menghadiri jamuan malam Anggota Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia malam semalam berkata sepucuk surat yang meminta Anwar menarik balik kenyataan tersebut dan ditandatangani beliau, telah dihantar kepada Ketua Umum PKR itu.

"Kita sebagai kawan, kewajipan kita ialah tegur-menegur, apa yang kita tengok pada kawan kita tidak betul, kita tegur dan apa yang kawan kita tengok tidak betul pada kita, dia kena tegur kita. Itu ajaran agama Islam.

"Saya sudah tunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang kawan, sebagai Mursyidul Am PAS supaya dia tarik balik kenyataan dia mengenai Israel," katanya.

Sebelum ini, Anwar mendakwa kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin diputar belit bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Katanya, dalam wawancaranya dengan media antarabangsa itu, beliau menegaskan kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi maka wajar hak rakyat Israel juga dihormati.

Unit Media Baru PPUM: Peranan Blogger Merancakkan PRU13 (What Say Youth ...

Unit Media Baru PPUM: Peranan Blogger Merancakkan PRU13 (What Say Youth ...: Ikuti temuramah pengacara 'What Say Youth' - Adli Zakuan Zaira bersama blogger Hasbeemasputra Abu Bakar (penggerak Undi Malaysia) dan Tun Faisal Ismail Aziz (Exco Pemuda UMNO, Pengerusi UMB)...

KhairyKJ - UMB jentera media baru Pemuda UMNO


tun faisal dot com: @KhairyKJ - UMB jentera media baru Pemuda UMNO: Last updated on Monday, 13 February 2012 21:00 Khairy: Papagomo Not Under Umno’s Payroll by Haider Yutim http://www.malaysiandi...


Jangan Kita Terlalu Emosi Dalam Media Sosial - Khairy Jamaluddin 13/2/2012

Monday, February 13, 2012

Awas...! Jerat Valentines Day


Awas! Jerat Valentine's Day

Fenomena sebahagian remaja menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dananeh kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalender. Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun.
To be my Valentine?
Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day ungkapan ‘To be my Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia diungkapkan oleh teruna kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya.
Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah dan dimurkai Allah. Ini karena ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Mengapa Mawar Merah?
Selain ucapan ‘To be my Valentine’ pemberian jambangan mawar merah oleh si teruna kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s Day. Ia dianggap satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’. Sebenarnya perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan diselitkan kepercayaan aneh dan karut. Menurut satu mitos Rom kuno, mawar merah merupakan bunga kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu amat sinonim dengan memperingati kekasih. Ia tidak ada kaitan dengan Islam dan hanya mengikut ‘teladan’ mitos karut.
Amalan memberi bunga mawar merah ini sebenarnya mula dipopularkan pada tahun 1970an. Ia berlaku selepas Raja Charles II mengarang buku yang bertajuk The Languange of Flowers, yang menguraikan tentang amalan kebiasaan bangsa Persia yang mengungkapkan perasaan melalui bunga. Sejak itu pemberian mawar merah terutama pada saatValentine’s Day amat popular. Tanpa mengetahui sebabnya ia terus menjadi amalan.
Hukum Menyambut Valentine’s Day
Sebenarnya, majoriti tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.”
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.
Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki di atas aktiviti trend baru zaman moden ini. Tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan seantero umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan diakhirat.
Sejarah Valentine’s Day
Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, para sejarawan masih tidak mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diperingat. Tetapi daripada beberapa sumber sejarah terdapat empat (4) versi pendapat yang amat popular berkaitan dengannya.
Pendapat Pertama
Pendapat pertama mengaitkan Sambutan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of Feverish Love) bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari itu mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan diadakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka. Semasa agama Kristian menguasai Rom, mereka mengadaptasikan upacara paganism ini dan mewarnainya dengan nuansa Kristian. Mereka menggantikan nama-nama gadis dengan nama-nama Paus atau Pastor. Antara pendukungnya adalah Raja Konstantine dan Paus Gregory I.
Pendapat Kedua
Pendapat kedua pula mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua (2) kisah berkaitan dengan St. Valentine ini.
Versi pertama menyatakan bahawa pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi, hidup dengan penuh mitos dan lagenda amat memusuhi penganut agama Kristian. Para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap tegar mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.
Versi kedua pula menyatakan bahawa Claudius II, yang berhadapan dengan peperangan beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu, Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian, St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda Rom secara rahsia. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
Pendapat Ketiga
Ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol dimana St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu. Disebabkan sumbangan itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
Pendapat Keempat
Berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang penyair Inggris di dalam puisinya. Sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.
Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya amat jelas tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat terang lagi tersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang Islam sendiri.
Kebejatan Acara Valentine’s Day
Sebenarnya bukan sekadar apa yang tersirat di sebalik amalan dan kepercayaan berkenaan Sambutan Hari Valentine ini sahaja amat keji dan perlu dihindari. Tetapi acara-acara jelek dan tidak boleh diterima oleh budaya manusia bertamadun, menjadikan ianya perlu ditolak dan dipadamkan dari takwim perayaan manusia madani dan memiliki pegangan aqidah yang suci.
Lihatlah bagaimana saban tahun kebelakangan ini, media-media mendedahkan pelbagai acara dianjurkan bagi mengamatkan Sambutan Hari Valentine, khususnya kepada kalangan muda mudi. Ianya dicatur berpaksikan kepada menzahirkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan masing-masing. Amat jijik dan jelek sekiranya difikirkan dengan akal pemikiran yang waras. Bagaimanakah seorang kekasih boleh menyerahkan dan melakukan apa sahaja untuk kekasihnya tanpa ada sebarang ikatan demi membuktikan perjanjian cinta?
Akan tetapi, apa yang amat mendukacitakan, acara tidak bertamadun dan tidak bermata dalam menilai kehormatan sesama insan itu tetap mendapat sambutan. Ia sukar dibendung. Jauh sekali untuk dibersihkan sepenuhnya. Kesedaran pemikiran yang waras tercabut dengan hayalan dan dongengan dek janji indahnya kasih sayang tanpa ada suluhan kebenaran yang hak.
Berdasarkan kepada apa yang telah terjadi, sebenarnya Hari yang bertemakan kepada menyanjungi dan mengagungi kasih sayang di kalangan para kekasih menjadi hari permulaan bermulanya bencana dan kehancuran. Sememangnya pada Valentine's Day akan muncul si Romeo dan si Juliet yang mampu mengungkapkan bait-bait puisi seindah puisi William Shakespeare. Tidak kurang pula juga mereka yang sehebat si Laila dan si Majnun dalam bergelumang memperjuangkan kesetiaan cinta dengan bibir mengalunkan kata-kata puitis seindah puisi Jamaludin Rumi. Itu semua hanya seketika dek karamnya mereka di dalam bahtera gelojak nafsu tanpa nakhoda keimanan. Keindahan detik ‘syurga’ ciptaan penuh tipu daya hanya wujud pada hari itu sahaja. Ia akan ghaib entah ke mana setelah berakhirnya Valentine’s Day.
Penderitaan, kekecewaan dan penyesalan akan menyelusuri. Ia akan menggantikan nikmat yang tidak seberapa. Si Romeo yang menjanjikan seribu kesetiaan menjadi halimunan bersama janjinya. Si Majnun yang menaburkan selangit pengorbanan demi kasih, cinta dan setia bisu dan ghaib entah kemana. Ia sudah terlambat untuk diatasi. Nasi sudah menjadi bubur. Cempedak sudah menjadi nangka. Kekesalan sudah tiada gunanya.
Islam Ada Cara
Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah s.a.w. bongkarlah khazanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu bagi mencarinya.
Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan.
Ia bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia. Akan tetapi, ia hanya bermatlamatkan menjadikan masyarakat yang stabil, aman dan harmoni. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.
Penutup
Bagi menyelamatkan agamadan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di Negara kita. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia. source:JAKIM

Saturday, February 4, 2012

Wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki.



Tinjauan Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, statistik itu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini ada penyakit mental.

"Macam kemurungan ada dua peratus, sakit risau ada 1.8 peratus dan psikosis ada satu peratus. Penyakit mental yang serius adalah macam psikosis dan kemurungan...penyakit keresahan itu pun kronik juga dan kemudiannya penyakit ringan-ringan lain," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, tinjauan Kajian Mobiditi dan Kesihatan itu juga mendapati wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki.

"Puncanya bagi wanita kerana masalah dengan pasangan dan masalah dengan anak-anak..kedua-dua ini punca yang penting. Bagi lelaki pula punca lebih kepada kemalangan jalan raya yang mana mengalami kecederaan otak dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar golongan wanita mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin jika mengalami kemurungan dan kerisauan berlanjutan dalam tempoh melebihi dua minggu bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk.

"Kalau kita (wanita) risau baca (surah) Yassin banyak, bincang dengan mak dan ayah serta suami...dapat kurangkan tetapi jika kita tidak dapat berbincang dan kurangkan, itu akan bagi masalah," katanya.

Beliau berkata, terdapat 45 jabatan psikiatri di seluruh negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin. - BERNAMA


Wednesday, February 1, 2012

PAS pis pus, padan muka !!!

Anwar Yang Bersikap Pelik dan Jelik!!!




Duta Palestin ke Malaysia Abdelaziz Abughoush menyifatkan sebagai “pelik dan ganjil” kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temubual dengan Wall Street Journal bahawa beliau menyokong penuh usaha melindungi keselamatan Israel.

Abughoush berkata oleh kerana Palestin menjadi isu utama bagi semua umat Islam, dan Malaysia pula menjadi pendokong utama sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, maka adalah pelik dan ganjil apabila seorang pemimpin beragama Islam dari negara ini membuat kenyataan demikian.

“Kami tak tahu siapa sebenarnya yang memerlukan perlindungan keselamatan kerana hakikatnya Israel memiliki lebih 200 jenis senjata nuklear serta angkatan tentera yang dilengkapi senjata canggih.

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.