Thursday, April 26, 2012

Dakwaan2: FAKTA SEBENAR DI SEBALIK DAKWAAN DAN FITNAH TERHADAP SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR)

Dakwaan 2:
Kawasan mengundi YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim telah dipindahkan secara tidak sah oleh SPR

Dakwaan yang mengatakan bahawa kawasan mengundi bagi YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim telah dipindahkan secara tidak sah oleh SPR adalah tidak benar dan tidak berasas. SPR telah memberi penjelasan terperinci kepada Ahli-Ahli Parlimen pada 16 April 2012 berhubung perkara ini. Walaubagaimanapun perkara ini terus diputar belit untuk mengelirukan orang ramai yang tidak faham tentang isu pembetulan kedudukan Lokaliti di dalam sesuatu Daerah Mengundi yang terletak di dalam kawasan DUN dan Parlimen.

Apa yang sebenarnya berlaku di dalam kes yang melibatkan alamat dalam Lokaliti YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim ialah SPR hanya membuat pembetulan kedudukan Lokaliti yang telah tersalah letak di dalam kawasan pilihan raya. Proses ini dijalankan mengikut Peruntukan sub peraturan 25(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih 2002).

YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim telah mendaftar sebagai pemilih pada 1/1/1985 dengan menggunakan alamat Jalan 16/2, Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor. Semasa pendataan borang pendaftaran tersebut, petugas SPR telah meletakkan alamat Lokaliti beliau iaitu Jalan 16/2 di dalam kawasan DUN N.34 Bukit Gasing /Parlimen P.105 Petaling Jaya Selatan iaitu berdasarkan kepada alamat di dalam borang pendaftaran tersebut. Pada masa itu SPR tidak menyedari bahawa di lapangan yang alamat Lokaliti Jalan 16/2 itu adalah sebenarnya terletak di dalam Wilayah Persekutuan di mana Jalan Datuk Abu Bakar merupakan sempadan rasmi antara negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Lokaliti Jalan 16/2 di mana YAB Tan Sri Abd Khalid bin Ibrahim berdaftar sebenarnya berada di dalam kawasan Parlimen P.121 Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan.

Apabila sistem EGIS dilaksanakan SPR mula menyedari kesilapan penentuan kedudukan Lokaliti berkenaan. Maka selaras dengan tindakan pembetulan Lokaliti yang sedemikian di kawasan-kawasan lain di seluruh negara, SPR juga membuat pembetulan kedudukan Lokaliti terhadap Lokaliti Jalan 16/2 Seksyen 16, Petaling Jaya. Di atas muka bumi, Lokaliti tersebut sebenarnya terletak di kawasan Parlimen P.121 Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan. Ianya sama sekali tidak melibatkan apa-apa perubahan kepada garis sempadan kawasan pilihan raya sama ada DUN atau pun Parlimen.

Bagi mana-mana pihak yang ingin mendapat penjelasan lanjut berhubung dengan perkara tersebut, mereka bolehlah datang ke Ibu Pejabat SPR atau Pejabat SPR Negeri Selangor atau Pejabat SPR Wilayah Persekutuan.   
 





Dakwaan1: FAKTA SEBENAR DI SEBALIK DAKWAAN DAN FITNAH TERHADAP SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR)

Dakwaan 1:
SPR telah sengaja membetulkan sempadan kawasan pilihan raya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen bertujuan meramaikan pengundi di satu-satu kawasan bagi membolehkan Barisan Nasional beroleh kemenangan pada PRU Ke-13 nanti
Dakwaan tersebut merupakan suatu fitnah dan tidak berasas sama sekali. SPR tidak pernah melakukan apa-apa perubahan terhadap sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya sama ada DUN atau pun Parlimen kerana urusan berkenaan hanya dapat dilakukan apabila tiba masanya mengikut peruntukan Perkara 113(A) Perlembagaan Persekutuan. SPR telah pun mengeluarkan pengumuman bahawa urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya hanya akan dijalankan apabila tiba masanya selepas PRU-13. SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan perkara tersebut apabila tiba masanya nanti.

Apa yang sebenarnya berlaku sebelum ini mengikut peruntukan kuasa di bawah sub peraturan 25(3) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, melalui kuasa Ketua Pendaftar, ialah tindakan SPR membetulkan Lokaliti yang mengandungi nama-nama pemilih yang telah tersalah letak sebelumnya iaitu semasa proses penetapan kedudukan Lokaliti (sebelum 2004) yang dibuat secara manual. Oleh kerana kedudukan Lokaliti berkenaan telah tersalah letak, maka selaras dengan peruntukan undang-undang SPR perlu membetulkan kedudukan Lokaliti tersebut di dalam bahagian pilihan raya yang sepatutnya pemilih di dalam Lokaliti berkenaan didaftarkan.    

SPR menyedari kedudukan beberapa Lokaliti yang tersalah letak di dalam bahagian pilihan raya hanya selepas Sistem EGIS (Electoral Geographical Information System) digunapakai dalam tahun 2004. Melalui peruntukan kuasa yang ada, SPR telah membuat pembetulan kedudukan Lokaliti yang tersalah letak di seluruh negara yang melibatkan jumlah pemilih seramai 19,342 orang. Pemilih-pemilih mengikut Lokaliti-lokaliti berkenaan perlu ditempatkan di dalam kawasan pilihan raya yang sebenarnya seperti yang wujud di lapangan. Perlu ditekankan bahawa pembetulan Lokaliti-lokaliti yang dibuat itu tidak sama sekali melibatkan perubahan kepada mana-mana garis sempadan bahagian pilihan raya sama ada DUN ataupun Parlimen. Sebaliknya dengan pembetulan kedudukan pemilih mengikut Lokaliti yang terlibat maka mereka akan mengundi di dalam bahagian pilihan raya yang betul mengikut kedudukan alamatnya di dalam Daerah Mengundi dan DUN yang sebenarnya. 


Justeru, SPR ingin menegaskan sekali lagi bahawa dengan tindakan membetulkan kedudukan nama pemilih di dalam Lokaliti berkenaan iaitu dengan meletakkannya di dalam bahagian pilihan raya yang sebenar mengikut kedudukan di lapangan, ia sama sekali tidak melibatkan apa-apa perubahan kepada garis sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya sama ada DUN ataupun Parlimen. Mana-mana pihak yang ingin mendapat penjelasan secara lebih lanjut berhubung dengan perkara ini, mereka bolehlah menghubungi mana-mana Pejabat SPR yang berkenaan.





Wednesday, April 25, 2012

'Durian Runtuh' Cukup Untuk Peneroka Tunai Haji



Segala masalah yang mengganggu fikiran para peneroka apabila cadangan untuk menyenaraikan FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) diumumkan, kini boleh dikatakan selesai sepenuhnya.  Peneroka sebelum ini telah 'diganggu' oleh pembangkang yang menyebarkan berita-berita palsu dan berniat jahat bagi menggagalkan penyenaraian ini.  Alasan mereka kononnya Felda tidak layak disenaraikan berdasarkan rekod kewangan syarikat tersebut, serta penyenaraian itu akan merugikan peneroka. Kemuncak usaha jahat pembangkang ini ialah menggagalkan mesyuarat yang bertujuan mendapatkan pandangan peneroka serta memfailkan injunksi di mahkamah bagi menghalang anak syarikat Felda, Felda Plantation, memajakkan tanahnya seluas 360,000 kepada Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

FGVH bukanlah syarikat kecil atau kampungan yang terletak di atas rumah kedai berderet di sebuah pekan kecil. FGVH adalah syarikat bertaraf dunia dengan rekod tidak pernah rugi.  Syarikat ini menjalankan perniagaan global seperti perniagaan minyak dan lemak, oleokimia, logistik dan perkhidmatan serta beroperasi di 12 negara, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan dan Asia Barat dengan memiliki lebih 80 anak syarikat aktif.   Hari ini, ramai anak-anak Felda kini bekerja di syarikat-syarikat Felda di luar negara malah ada juga yang menjadi tenaga pengajar mengenai proses-proses pembuatan minyak sawit kepada orang-orang asing tersebut. 

Keuntungan terkumpul daripada operasi luar negara sahaja sejak ditubuhkan pada tahun 2009, kini berjumlah RM569 juta.  

Bagi penyenaraian ini, lima buah bank pelaburan iaitu Maybank, CIMB, Morgan Stanley, JP Morgan dan Deutsche Bank telah dilantik untuk menguruskan proses penyenaraian, sementara audit pula akan dilakukan oleh Pricewaterhouse Coopers (PwC).  Oleh yang demikian, menuduh FELDA 'menempah maut' melalui penyenaraian ini adalah tidak masuk akal sama sekali kerana tidak mungkin pihak yang telah berjaya membangun dan memperkasakan FELDA sehingga menjadi sebuah 'empayar' akan dengan sengajanya membuat keputusan yang tidak bijak dan merugikan.  Apa yang pasti ialah pembangkang telah mengambil kesempatan atas kurangnya pemahaman peneroka mengenai proses penyenaraian dan pasaran saham serta memanipulasi fakta semata-mata untuk memburukkan kerajaan.

Mujurlah ramai peneroka yang bijak dan mampu merasionalkan perkara ini.  Mereka tahu yang mana harus dipercayai antara pihak kerajaan yang telah banyak berjasa kepada mereka atau  pihak pembangkang yang hanya tahu berkata-kata. Menurut sumber-sumber dalaman, pada 8hb Mei nanti, Dato' Seri Najib akan mengumumkan 'durian runtuh' yang telah dijanjikan kepada para peneroka.  Durian runtuh tersebut dikatakan cukup besar untuk membolehkan para peneroka menunaikan haji.  Jika benar, jangan pula ada yang lupa untuk memanjatkan rasa syukur ke hadhrat Illahi atas segala nikmat yang telah dikecapi. 

Walaubagaimanapun, memandangkan peneroka kini berpendapatan agak lumayan, mungkin ada yang merasakan yang 'durian runtuh' tersebut tidak membawa makna yang besar.  Namun, apa yang lebih penting ialah hasil jangkapanjang di mana melalui penyenaraian ini, Felda juga akan mendapat manfaat dari segi pengurusan yang lebih professional sekali gus menamatkan persepsi kononnya syarikat ini dikuasai atau hanya mengikut telunjuk politik.  Selain itu, ia juga akan dapat meluaskan lagi potensi jangkauan perniagaan dalam berbagai bidang lain.   Dengan itu, Felda serius menjangkakan pendapatan berlipat ganda di masa hadapan. 

Pastinya, keuntungan berganda itu akan berbalik ke bahu para peneroka dan generasi masa depan mereka bukan sahaja dalam bentuk wang tetapi juga dalam bentuk berbagai-bagai kemudahan dan program yang mampu memacu warga Felda ke satu tahap yang jauh lebih tinggi.  Tidak mustahil, generasi Felda di masa hadapan akan menjadi warga contoh iaitu berfikiran kehadapan, berdaya saing serta mempunyai jati diri yang kuat.

Bersih 3.0 : 28hb Satu Malapetaka

MAKLUMAT dari sumber yang sahih mengatakan bahawa demonstrasi Bersih 3.0 yang dirancang pada 28 hb April (Sabtu) ini akan menjadi satu malapetaka besar kepada Pakatan Rakyat.  Menurut sumber tersebut lagi, petunjuk yang mengatakan perhimpunan itu akan gagal mencapai matlamat 'terunggul' mereka iaitu mengumpulkan seramai 500 ribu orang pendemo, begitu kuat sekali.

Antaranya ialah dilihat dari kegagalan himpunan pra Bersih di Kelab Sultan Sulaiman pada 17 April, yang hanya menyaksikan seramai 10 ribu orang hadir (angka dari sumber pembangkang), yang mana jauh dari sasaran awal 100,000 orang.  Beberapa siri jelajah pra Himpunan Bersih 3.0 yang diadakan selepas itu juga, sekadar dihadiri beberapa puluh dan ratus orang sahaja, contohnya di Dataran Shah Alam pada minggu sudah yang hanya dihadiri sekitar 200 orang.

Perlu diingatkan bahawa semua angka yang penulis nyatakan di atas adalah mengambil bulat-bulat dari yang dinyatakan dalam blog pro pembangkang, dan seperti mana yang kita sedia maklum, angka tersebut amat diragui kebenarannya.  Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa pembangkang cukup suka membesar-besarkan jumlah kehadiran peserta himpunan, kerana itu akan menunjukkan konon-kononnya acara tajaan mereka mendapat sokongan rakyat.

Mengambil contoh himpinan Mansuh PTPTN pada 14 April yang dihadiri sekitar 250 – 300 orang peserta pada, 'dinaikkan tarafnya' kepada beribu-ribu orang oleh hampir kesemua blog pro pembangkang, kecuali portal berita yang mencari makan dengan sumber dari langganan berita separuh tepat seperti Malaysiakini.  Malaysiakini melapurkan himpunan itu dihadiri sekitar 300 orang sahaja, jauh dari sasaran 5,000 orang yang dijaja penganjurnya. Kalau nak didebatkan dari segi kelayakan peserta yang hadir (mahasiswa dan peminjam PTPTN), nescaya jumlah itu akan menjadi jauh lebih kecil dari yang dinyatakan Malaysiakini.

Itu dari segi kehadiran.

Dari segi agenda juga, perhimpunan Bersih 3.0 ini sudah menunjukkan masalah.  Dikhabarkan bahawa Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk Ambiga Sreevanasan, yang juga Pengerusi program Seksualiti Merdeka, akan menggabungkan perhimpunan Bersih dengan himpunan LGBT yang terganggu oleh larangan pihak berkuasa ke atas penganjuran program Seksualiti Merdeka pada November tahun lepas.  Ambiga dikatakan melihat himpunan kali ini adalah kesempatan terbaik untuk memperjuangkan hak golongan LGBT, dalam masa yang sama mempromosikan Pakatan Rakyat sebagai organisasi yang menjuarai isu-isu berkaitan hak asasi manusia di Malaysia.

Malah, beberapa blog pro pembangkang juga sudah mewar-warkan tentang penggabungan kedua himpunan tersebut (Bersih 3.0 dan LGBT), walaupun disebut-sebut yang idea itu dibantah sepenuhnya oleh PAS.  Tapi dalam masa yang sama, siapalah PAS jika nak dibandingkan dengan DAP yang terang-terang menyokong program Seksualiti Merdeka ketika ia dilangsungkan pada November.

Agenda LGBT ini walaupun menerima respon positif dari parti-parti komponen Pakatan Rakyat seperti PKR dan DAP, tapi pasti akan ditolak sepenuhnya oleh penyokong PAS dan golongan atas pagar yang rata-rata tidak bersetuju dengan keputusan Ambiga tersebut, dan ini dikatakan akan menjadi punca kepada kurangnya sambutan rakyat kepada perhimpunan ini. Ketiadaan 'publisiti percuma' dari media-media arus perdana dan pihak polis sendiri, juga akan menyumbangkan kepada kehadiran yang kurang.  Tindakan semua media arus Perdana yang tidak memberi liputan besar-besaran kepada penganjuran Bersih 3.0 (tidak seperti Bersih 2.0 Julai tahun lepas), dijangka akan menghilangkan 'tarikan' untuk rakyat hadir ke perhimpunan seumpama itu lagi.

Semua inilah petunjuk yang memberi gambaran tepat bahawa Himpunan Bersih 3.0 ini akan menemui gagal sepenuhnya.  Sumber penulis menganggarkan hanya sekitar 15,000 orang sahaja yang akan hadir ke himpunan tersebut.

Panaszzz...ANUwar dah Gabra...!!! Apsal...???




Semakin kencang angin pilihan raya umum bertiup, semakin gabra pula Anwar Ibrahim. Beliau sudah kehabisan modal politik dan ketandusan ide untuk menipu rakyat.

Semua kepalsuan dan janji-janji manisnya telah telah terbukti satu pembohongan belaka.

Bermula dengan episod 16 September 2008 di mana Ketua Pembangkang itu dengan bongkaknya menjanjikan rakyat satu kerajaan persekutuan baru pada hari menyambut penubuhan Malaysia, sehinggalah ke hari ini, kesemua yang keluar dari mulut Anwar adalah semata-mata pembohongan. Kini dia membuat satu lagi pembohongan untuk memansuhkan pinjaman pendidikan PTPTN. Maka sekumpulan mahasiswa atau bekas mahasiswa yang jumlahnya hanya sekitar 50 orang diupah Anwar untuk membuat kecoh di Dataran Merdeka.

Mereka yang diupah pembangkang kononnya untuk memperjuangkan nasib golongan mahasiswa sebenarnya boleh dikatakan pembuat kacau profesional yang dibayar wang untuk menimbulkan huru hara. Apa tidaknya, mereka adalah kumpulan orang yang sama pada setiap perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan yang membabitkan pihak pembangkang. Baik pada perhimpunan Bersih, mahupun demonstrasi anti-ISA, ataupun perarakan tuntutan hak air Selangor hinggalah gerakan membebaskan Anwar, mereka adalah wajah-wajah yang sama. Kesimpulannya golongan mahasiswa secara keseluruhannya tidak menyokong agenda politik kotor kumpulan ini yang cuba menonjolkan imej sebagai jurucakap puluhan ribu warga institusi pendidikan tinggi.

Kedua, ide pemansuhan PTPTN datangnya dari Anwar tetapi kelibat beliau sendiri tidak kelihatan untuk bersama-sama kumpulan tersebut di Dataran Merdeka.

Anwar menggunakan anak-anak muda untuk berjuang untuknya sehingga mereka sanggup berkhemah dan tidur atas jalanan sementara Ketua Pembangkang itu enak tidur di atas hamparan baldu di rumahnya yang berharga jutaan ringgit. Inilah sikap hipokrit Anwar yang perlu dilihat oleh rakyat jika mahu faham siapa individu ini sebenarnya. Politik yang diamal oleh Anwar adalah politik yang percaya semua orang boleh dikorbankan demi mencapai cita-cita peribadinya untuk menjadi Perdana Menteri.

Pihak pertama yang menjadi mangsa politiknya rakus sudah tentu isteri, anak-anak dan keluarganya. Dari 1998 hingga kini keluarga Anwar dipaksa mengharungi pengalaman getir dan pahit disebabkan mahu mengejar impiannya ke Putrajaya. Kalau keluarganya sendiri boleh dijadikan taruhan politik, apatah lagi 'budak-budak U' yang penuh dengan idealisme dan semangat yang berkobar-kobar di dalam dada?

Sudah tentu perkara ini amat mudah sekali bagi Anwar. Taktiknya ialah dengan melontarkan satu isu yang dekat di hati mahasiswa iaitu kos pengajian mereka di universiti dan kolej.

Anwar melihat isu ini adalah modal terbaiknya untuk memporak-perandakan masa depan mahasiswa dengan menyuruh mereka berdemonstrasi dan berdepan dengan risiko tindakan undang-undang ke atas mereka. Apabila pihak berkuasa mengambil tindakan, maka Anwar akan mendakwa kerajaan zalim dan menindas pelajar-pelajar tersebut dengan harapan untuk meraih undi rakyat.

Tidak cukup dengan berkhemah untuk mendesak pemansuhan PTPTN, kumpulan mahasiswa ini juga mengaitkan tindakan mereka itu dengan perhimpunan Bersih 3.0 yang mahu diadakan pada 28 April ini. Tidakkah dengan jelas, samada isu PTPTN atau Bersih, kumpulan pelajar ini telah diperkudakan sewenangnya oleh pihak pembangkang? Di manakah pemimpin pembangkang ketika pelajar-pelajar tersebut diambil tindakan oleh pihak berkuasa, yang mana ada di tahan pihak polis. Batang hidung mereka pun tidak nampak sama sekali di Dataran Merdeka apatah lagi mahu memberi sokongan!

Golongan mahasiswa yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada satu hari kelak, perlu sedar mereka telah dipengaruhi untuk bermain percaturan politik pihak pembangkang.

Mereka hanya berfungsi sebagai budak-budak yang boleh dikorbankan pada bila-bila masa sama atau 'dispensable' seperti juga dalam permainan catur.





Himpunan TIBAI lebih Meriah Dari Majlis Pra Bersih 3.0

 





                                      
Perlancaran NGO TIBAI di Kelab Sultan Ibrahim Kampung Baru beberapa malam lepas ternyata mendapat sambutan hangat diluar dugaan dan lebih meriah dari sangkaan awal. Kira-kira 3,000 orang hadirin tidak melepaskan peluang menyertai majlis tersebut yang perlancaran rasminya disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali yang juga Presiden PERKASA.

TIBAI (Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim) yang pendiriannya tegas menolak Anwar Ibrahim, digerakkan oleh ramai bekas pemimpin PKR yang rata-ratanya berpengalaman luas semasa PKR (dulu KeAdilan) ditubuhkan selain pernah mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim.

Sasaran awal hanyalah sekitar 1,000 orang sahaja, berikutan kehadiran luar jangkaan menyebabkan dewan yang hanya mampu menampung 1,500 orang saja pada satu-satu masa penuh sesak. Sebahagian besar yang lain yang tidak berpeluang masuk ke dalam dewan terpaksa bersesak-sesak di luar dewan. Satu pemandangan yang cukup jelas menggambarkan semangat mereka semua. Di tempat yang sama seminggu lalu, NGO Bersih 3.0 melancarkan majlis pra perlancaran kempen Bersih 3.0 namun sambutan jauh tersasar dari yang dikehendaki apabila hanya menarik kehadiran sekitar 700 orang sahaja berbanding sasaran asal 10,000 pengunjung. Sekalipun ramai pimpinan besar pembangkang seperti Nurul Izzah, Tian Chua, Elizabeth Wong, dan lain-lain tapi tetap gagal menarik perhatian orang awam untuk menyertainya.  Demikian halnya dengan suasana suram majlis Pra Bersih 3.0 di tempat lain misalnya di Dataran Shah Alam yang hanya mengamit sekitar 200 hadirin dan Perlancaran Bersih 3.0 oleh Nizar Jamaluddin di Dun Trong, Perak yang dihadiri lebihkurang 100 orang sahaja.

Kesemuanya seakan memberi gambaran awal demonstrasi Bersih 3.0 Sabtu nanti bakal berdepan dengan masalah sambutan hangat-hangat tahi ayam. Satu perkara lagi yang cukup menarik dengan TIBAI ialah penggunaan gelaran pemimpin utamanya sebagai Mursidul Am TIBAI yang sekarang ini disandang oleh cucu Tun Ghafar Baba, Zahip Mat Arip mirip seperti gelaran Mursyidul Am Pas.

Selain itu, satu lagi kebetulan yang menyamai struktur PAS ialah 28 orang ahli Majlis Syura TIBAI menyerupai keahlian 28 orang ahli jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat. Melihat kepada kebetulan yang serupa itu, mungkin secara tersiratnya TIBAI juga bermaksud menyindir kepimpinan PAS yang dilihat terlampau menurut segala kata Anwar Ibrahim hingga tergadai segala prinsip asas yang menjadi tonggak kekuatan PAS selama ini. Apapun, walaupun usia masih muda belia, TIBAI telah membuktikan dirinya memiliki faktor wow yang pastinya mempunyai impaknya yang tersendiri terhadap prestasi pembangkang yang dijangkakan akan jatuh merudum dalam pilihanraya kelak.

Hanya 0.0001% Pelajar IPT Sokong Mansuh PTPTN



Mungkin ramai tidak sedar bahawa yang melalak-lalak ingin mansuh PTPTN sebenarnya hanyalah 0.0001% dari kesemua 2.5 juta pelajar IPT, termasuk Universiti, Universiti Kolej, Kolej, Politeknik, Kolej Komuniti dan lain-lain IPT awam dan swasta yang ada di Malaysia ini.   Itupun dalam 250 orang yang berdemo di Dataran Merdeka itu bukan semuanya pelajar.  Antaranya terdapat mak nya atau nyonya tua, apek tua, mak-cik dan pak cik berumur lebih 40 tahun, remaja yang rosak akhlak, yang berperangai tidak senonoh dan sebagainya. 

Jika benar semua mereka ini adalah peminjam PTPTN maka tentulah mereka antara pelajar-pelajar benak, pemalas yang sememangnya menjadi balaci atau pencacai sepenuh masa Pakatan Rakyat.   Ramai juga di antara mereka kelihatan seperti manusia sesat tetapi tidak pula kelihatan seperti sedang mencari-cari arah hidup.  Sebaliknya selesa dengan kesesatan dan cara gelandangan sebegitu.

Justeru, apa yang boleh diperkatakan mengenai isu demo mansuh PTPTN ini?  Yang sebenarnya,  demo PTPTN ini bukanlah isu langsung! Kita juga tahu bahawa DAP dan PAS sebenarnya tidak bersetuju dengan Anwar untuk memansuhkan PTPTN.   Semua orang bertanya dari mana hendak dikaut RM43 billion untuk menampung kos pendidikan percuma dan Anwar tidak mampu memberi jawapan yang meyakinkan kerana beliau sendiri tidak tahu jawapannya. 

Akhbar-akhbar Cina juga menyiarkan banyak tulisan dan juga pendapat yang mengkritik idea pemansuhan PTPTN ini.   Hari ini juga tersiar satu tulisan di Nanyang Siang Pau yang meluahkan rasa malu dengan tindakan Pakatan Rakyat mempromosi sifat meminjam tetapi enggan membayar.

Menurut penulis tersebut, budaya Cina sering menekankan sifat membayar balik pinjaman, dan bagi penulis, inilah faktor utama kejayaan bangsa mereka.  Sepatutnya, orang-orang Melayu merasa jauh lebih malu lagi kerana membayar balik pinjaman bukanlah sekadar tuntutan adat atau budaya tetapi tuntutan agama.   Dan kerana enggan membayar hutang juga membuatkan ramai orang Melayu tidak berjaya.  Selama ini, PR yang paling hebat melaungkan Melayu baru, yang moden berdaya saing dan mampu berjaya tanpa menggunakan tongkat.  Oleh itu, kita tidak faham, bagaimana pula di masa yang sama PR ingin menambahkan tongkat dan memanjakan lagi rakyat Malaysia, terutamanya Melayu dengan menambahkan subsidi itu dan ini, menjanjikan bulan dan bintang dan segala-galanya. 

Semuanya ingin disuapkan oleh PR kepada rakyat supaya kita merasa gembira dan tidak perlu bersusah payah bekerja kuat untuk meningkatkan taraf hidup.  Dan kini PR juga yang ingin memulakan era segalanya percuma di mana peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi adalah sama rata tidak kira sama ada pelajar tersebut cemerlang atau tidak dalam pelajaran peringkat menengahnya.  Sedangkan memberikan pendidikan percuma di peringkat tinggi juga merupakan satu ketidakadilan selain membantutkan motivasi pelajar untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. 

Lagipun, bukankah ini bertentangan dengan aspirasi untuk melahirkan masyarakat yang berdaya saing, kuat dan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah walau di mana saja kita berada? Tindakan PR ini hanya akan mengakibatkan kelahiran lebih ramai graduan tidak cukup masak seperti Anwar Ibrahim ataupun Adam Adli.  Kini, demonstrasi PTPTN sudah jelas tidak berjaya, sebabnya ialah dalang pemikir dan penggeraknya adalah terdiri dari graduan tidak cukup masak belaka.  Ramai di kalangan rakyat menggeleng-gelengkan kepala melihat peserta demonstrasi yang tidak senonoh dan biadab dengan pihak berkuasa.   Akhirnya, hasil yang diperolehi PR melalui demo PTPTN hanyalah imej parti yang semakin buruk dan bukti kebodohan pemimpin-pemimpinnya. 

Apapun, melihat angka sokongan terhadap pemansuhan PTPTN membuatkan kita mengeluh lega.   Ini kerana ia jelas menunjukkan bahawa majoriti pelajar di IPT seluruh negara masih lagi waras dan benar-benar layak bergelar mahasiswa.  Hanya 0.0001% sahaja yang merupakan 'maha tak berguna' yang kewujudan mereka tidak membawa apa-apa manfaat kepada diri sendiri, keluarga, negara, dan jauh sekali kepada dunia. 





Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.