Tuesday, February 5, 2013

Anugerah Saiyiditina Khadijah Kepada Wan Azizah: ABIM Menghina Isteri Rasulullah SAW

Tidak cukup dengan perbuatan PAS menghina sahabat Rasululullah SAW dengan menyamakan Lim Guan Eng si kafir harbi, manusia rasis, angkuh dan penipu yang digelar 'Tokong' oleh bangsanya sendiri dengan Khalifah Umar Al-Aziz, kini ABIM pula menghina isteri Rasulullah SAW dengan menganugerahkan Wan Azizah, isteri peliwat tersohor Asia dengan 'Anugerah Khas Saiyyidatina Khadijah' pada Himpunan Helwa Kebangsaan (HKK) 2013, 2 Februari lalu. 

Anugerah yang disampaikan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Dr Siddiq Fadzil kepada Wan Azizah di di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) itu dikatakan sebagai menghargai 'keberanian Wan Azizah menegakkan keadilan, kebenaran dan memperjuangkan Islam ke arah perubahan'.

Tidak mungkin ABIM, atau nama penuhnya, Angkatan Belia Islam Malaysia, tidak tahu asal-usul, sejarah, sifat dan sikap serta perjuangan Saiyidatina Khadijah yang jauh amat bertentangan dengan Wan Azizah. 

Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid RA adalah simbol Wanita Pertama.  Saiyiditina Khadijah adalah wanita dengan keperibadian hebat dan punya pemikiran yang bijak, matang, serta tidak bergantung kepada status suami atau keluarga, tetapi mempunyai status sendiri.  Beliau lahir dalam keluarga bangsawan yang disegani dan kerana kecerdasannya beliau telah diamanahkan untuk mengurus perniagaan keluarga.  Sebagai seorang usahawan yang berjaya, Saiyidatina Khadijah begitu terkenal di kalangan masyarakat Quraisy.  

Pekertinya yang mulia, menyebabkan beliau amat disegani sehingga diberi gelaran ath-Thahirah (wanita suci).  Pendek kata, beliau memiliki pakej lengkap, iaitu mulia, bijak dan juga kaya yang mana membuatkan ramai yang menaruh hati padanya walaupun setelah bergelar janda. 

Namun, hatinya tidak terbuka sungguhpun yang menaruh hati padanya itu bukan sahaja pemuda dan pembesar Quraisy, tetapi juga dari raja-raja yang memerintah negara. 

Allah SWT telah mentakdirkan yang hatinya hanya terbuka kepada Rasulullah SAW yang 25 tahun lebih muda darinya dan beliau mengambil langkah pertama merisik khabar melalui teman dan saudara untuk menyampaikan perkara itu kepada Rasulullah SAW.  Hanya apabila mengetahui isi hati beliau dan bahawa Rasulullah SAW juga membuka hati kepadanya, barulah pihak keluarga Rasulullah SAW menghantar peminangan. 

Perkahwinan Saiyidatina Khadijah dengan Rasulullah SAW penuh dengan kasih sayang dan hormat menghormati.  Rasulullah SAW senang meminta pandangan dan nasihat isterinya dan begitu juga sebaliknya.  Saiyidatina Khadijah adalah pendorong semangat, penenang ketika gusar dan pembantu yang setia kepada Rasulullah SAW. 

Allah SWT telah memberikan kekuatan melalui Saiyidatina Khadijah bukan sahaja kepada Rasulullah SAW untuk menghadapi segala cabaran, tetapi juga kepada pengikut baginda di mana Saiyidatina Khadijah sentiasa bersedia mendermakan hartanya bagi memastikan mereka tidak mudah diperguna atau didera oleh musuh Islam.   

Kesimpulannya, Saiyidatina Khadijah bukan sahaja simbol isteri, ibu dan pejuang Islam, tetapi juga simbol wanita Islam yang sebenar, iaitu bijak, terhormat, berani dan punya pemikiran dan status tersendiri.  Untuk itu, beliau telah dijanjikan syurga dan Rasulullah SAW sendiri mengiktirafnya dengan sabda "Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitulah Maryam binti 'Imran, Asiyah puteri Muzahim (isteri Firaun), Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad."

Berdasarkan hakikat ini, apakah yang melayakkan Wan Azizah menerima anugerah sempena wanita paling mulia ini?   Dari segi keturunan, sejarah, sifat, sikap, perjuangan dan keperibadian Wan Azizah, semuanya bagaikan langit dengan bumi berbanding Saiyidatina Khadijah. 

Wan Azizah bukanlah seorang wanita yang terhormat kerana sanggup kahwin lari di Thailand dengan Anwar apabila hubungan mereka tidak direstui bapa Azizah.   Mereka akhirnya diijabkabulkan pada 28 Februari 1980 tanpa majlis yang meriah dan tanpa gambar perkahwinan.  Sebelum itu, mereka telah bercinta sakan ketika belajar, di mana Azizah sering membonceng motorsikal Anwar untuk bersiar-siar. 

Wan Azizah juga bukan lahir dari keturunan bangsawan, sebaliknya biasa-biasa sahaja.  Dilahirkan di Singapura, Wan Azizah ditinggalkan bapanya yang ketika itu melanjutkan pelajaran di Singapura. Wan Azizah membesar di bawah jagaan dua orang bapa saudaranya secara bersilih ganti di Kedah dan Kelantan.  Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan masalah emosi di mana beliau disifatkan sebagai mempunyai simptom kekurangan kasih sayang. 

Kita juga melihat alasan ABIM bahawa anugerah tersebut adalah bagi mengiktiraf keberanian Azizah 'menegakkan keadilan, kebenaran dan memperjuangkan Islam ke arah perubahan' amatlah melucukan kerana kalaupun Azizah punya keberanian, keberanian itu tiada kena mengena dengan keadilan, kebenaran atau Islam dan perubahan.  Malah, ia adalah seratus-peratus bertentangan. 

Benar Wan Azizah berani, tetapi berani untuk membela peliwat, berani bersubahat untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Islam untuk diganti dengan pemimpin berfahaman plural, berani menipu, memfitnah dan menuduh pemimpin yang berjasa dan tidak bersalah sebagai zalim, berani bersekongkol dengan sesiapa sahaja termasuk musuh Islam untuk membawa perubahan ke arah liberalisasi.  Anak kandung yang dididiknya sendiri juga terang-terangan mengiktiraf pluralisme agama dan turut berjuang bersama bapa peliwatnya dengan Wan Azizah setia membantu, menyokong dan membela mereka pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan. 

Walaupun setia kepada suami adalah sesuatu yang mulia, tetapi setia membuta tuli adalah tindakan yang bodoh dan jahil iaitu amat bertentangan dengan ciri-ciri wanita Islam sejati yang diteladankan oleh Saiyidatina Khadijah. 

Wan Azizah bukan pejuang Islam, tetapi pejuang liberalisasi, pluralisme and LGBT selaras dengan pendirian suaminya.  Oleh itu, walaupun beliau mungkin setia kepada suaminya sepertimana Saiyidatina Khadijah, tetapi beliau tidak wajar menerima sebarang penghargaan apatah lagi dalam bentuk anugerah atas nama tokoh yang mulia tersebut. 

Justeru, ABIM wajar menarik balik anugerah tersebut dari Wan Azizah kerana beliau jelas telah memilih untuk taat kepada suami melebihi taat kepada dari ajaran Islam. 

Kepada ABIM, jangan dihina wanita Islam ke tahap sebegitu rendah, dan jangan dihina Islam sehingga begitu sekali dengan meletakkan sesuatu anugerah yang begitu mulia, kepada wanita yang menjadi talibarut pengkhianat agama, bangsa dan negara.  Dan lebih-lebih lagi jangan dihina Saiyidatina Khadijah dengan mengaitkan beliau walaupun dengan hujung rambut atau hujung jari Wan Azizah. 

Bubar DUN Awal MB Selangor Nak Lari Tuntutan Rakyat

Beberapa hari kebelakangan ini ramai rakyat Selangor yang kelihatan tersenyum sumbing dan saling bergelak ketawa sesama sendiri yang jika dilihat dari jauh tanpa mengetahui hujung pangkal cerita, orang lain yang melihat tentunya kehairanan. Sebenarnya kebanyakan rakyat Selangor tika ini sibuk memperkatakan lawak terbaru yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, Khalid Ibrahim yang baru-baru ini telah buang tabiat mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan selepas perayaan Chap Goh Mei. Menurut Khalid, pembubaran awal DUN itu akan dilakukan seandainya Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak masih tidak menetapkan tarikh pembubaran Parlimen di peringkat Pusat.

Kononnya dengan berbuat demikian, maka Khalid bermimpi sekiranya tiba-tiba PM membubarkan Parlimen pada akhir Februari 2013 maka bolehlah beliau mendakwa Kerajaan Pusat telah tunduk kepadanya. Padahal, soal bila PM mahu mengumumkan pembubaran Parlimen patutnya tidak perlu dirunsingkan oleh Khalid. Jika sudah tidak sabar sangat, kenapa tidak sekarang Selangor membubarkan DUN? Bubar awal, serentak atau sebaliknya, tidak menjadi masalah bagi BN, mana-mana satu tetap memberi manfaat tersendiri kerana senario politik semasa sememangnya sudah memihak kepada BN. Tumpuan BN sekarang untuk memastikan waktu yang tepat supaya majoriti dua pertiga yang selesa di Selangor dan dua pertiga yang kukuh di peringkat Pusat benar-benar menjadi realiti.

Namun demikian, disebalik pengumuman Khalid itu selang sehari dua kemudiannya Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim pula mengeluarkan kenyataan belum ada kata putus untuk melakukan pembubaran DUN berasingan dari Parlimen. Tak pasal-pasal Khalid malu sendirian kerana mendahului ketuanya. Bagi khalayak ramai pula, pengumuman MB selangor itu dilihat umpama lelucon politik yang sudah berulang kali diulang siarannya lebih-lebih lagi ia diwar-warkan ketika sebahagian pemimpin PR sibuk mempertikaikan ketelusan senarai daftar pemilih SPR serta keadilan perjalanan pilihanraya yang diuruskan olehnya. Tambah menggelikan hati khalayak bila mana kesediaan Khalid untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya negeri dilaksanakan secara berasingan dengan Parlimen itu timbul tatkala ramai rakyat negeri ini menuntut Kerajaan PKR Selangor menunaikan pelbagai tunggakan janji yang belum ditepati.

Nampak sangat pengumuman itu hanyalah satu usaha untuk mengalih tumpuan umum disamping bertujuan mengelakkan Kerajaan Negeri pimpinan PKR dapat lari dari tuntutan rakyat. Jika Khalid fikir pengumumannya itu menyebabkan rakyat lupa janji PRU 12 2008 yang gagal dilunaskan oleh PR, memang silap besar. Tapi itulah kenyataannya, sudah menjadi satu tabiat semulajadi para pemimpin PR bila masuk bab berjanji merekalah yang ke depan, bila tiba masa rakyat menuntut janji, macam-macam alasan diberikan untuk mengelakkan diri dari menepatinya.

Selagi segala janji belum ditepati, usahlah Khalid mahupun PR mengharapkan keajaiban tambahan pula disaat kedudukan dan imej PR di Selangor tika ini semakin merudum pada pandangan umum. Jika PRU 13 nanti, PR dapat mengekalkan sekurang-kurangnya 20 kerusi DUN itu sudah dikira bernasib baik, untuk dapat lebih dari angka itu, bolehlah PR sekadar bermimpi sahaja disiang hari.

Strategi Lagakan Tun M-Najib: Bukti PR Ketakutan

Walaupun puak pembangkang berterusan menghentam mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad (Tun M) namun, mereka tidak dapat menafikan yang 'aura' beliau begitu kuat dan masih menghantui mereka, dan juga musuh-musuhnya. 

Biarpun beliau sudah bersara dan hanya menjadi pemerhati kepada perjalanan politik negara sambil sekali sekala memberi pandangan dan pendapat, namun pandangan beliau tetap dianggap sebagai pemantauan dan pendapat beliau dituduh sebagai arahan. 

Tun Mahathir adalah seorang yang berterus-terang dan rasanya tiada seorang pun yang mengenalinya secara langsung atau sekadar melalui media, yang dapat menafikannya.  Apabila beliau merasakan masa sudah tiba bagi Tun Abdullah berundur, beliau menyatakannya tanpa selindung-selindung.   Ini kerana beliau yang kita kenali, tidak terikat kepada budaya Melayu iaitu 'pukul anak sindir menantu' kerana beliau percaya kepada pentingnya berkata benar biarpun pahit. 

Menyedari 'aura' Tun M mampu mempengaruhi perjalanan politik Malaysia, maka pembangkang cuba menukar 'aura' itu agar memberi keuntungan kepada mereka.   Oleh itu, dalam pada mereka meneruskan kutukan dan cacian terhadap Tun M, mereka cuba membayangkan yang Tun M turut bersetuju dengan mereka berkenaan 'kelemahan' kerajaan BN dan Perdana Menteri.  Harapan mereka agar aura Tun M akan dapat mempengaruhi rakyat untuk turut melihat kelemahan kerajaan BN. 

Maka, dari situlah timbulnya kisah kononnya Tun M bersekongkol dengan Tan Sri Muhyiddin untuk menjatuhkan Dato' Seri Najib yang digebangkan di Malaysia Chronicle. 

Dan semalam, timbul pula kisah kononnya Tun M 'menyuruh' Dato' Seri Najib meletak jawatan jika BN gagal menang besar dalam PRU kali ini.   Penjelasan Tun M bahawa perletakan jawatan apabila gagal mencapai sasaran merupakan amalan biasa sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman iaitu bergantung kepada kehendak ahli, telah 'diperkecilkan' di dalam laporan media pembangkang.   Dalam kenyataan yang sama juga, Tun M ada mengakui bahawa Dato' Seri Najib mewarisi BN dalam keadaan lemah, tetapi pihak pembangkang telah membayangkan seolah-olah beliau berkata yang kerajaan Najib lemah. 

Bayangan-bayangan dan kisah-kisah seperti ini dimainkan dengan giat di portal-portal pembangkang terutama yang berbahasa Inggeris di mana sasaran pembacanya ialah mereka-mereka yang lebih rasional.  Ianya kelihatan semakin rancak apabila PRU semakin dekat. 

Apa yang sebenarnya berlaku ialah Tun M memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib.  Beliau juga telah menyatakan bahawa beliau akan turun membantu secara sukarela sekiranya didapati ada keperluan untuk berbuat demikian. 

Dan seperti yang kita tahu, jika Tun M merasakan yang Dato' Seri Najib tidak layak maka beliau pasti tidak akan teragak-agak untuk menyatakannya secara terus-terang dan tidak akan sekali-kali berselindung di sebalik bahasa-bahasa manis sekadar untuk menyedapkan hati sesiapa kerana itulah sifat beliau, dan rakyat semua sudah memakluminya.

Dan inilah yang amat ditakuti oleh PR iaitu Tun M memberi sepenuh sokongan kepada Dato' Seri Najib dan BN.   Sedangkan, apa yang dapat dilihat kini ialah aura Dato' Seri Najib seorang sahaja sudah cukup untuk menenggelamkan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Hadi Awang.   Sekiranya Tun M pula menambah lagi sinaran aura di belakang Dato' Seri Najib, apalah daya pembangkang untuk melawan BN nanti.  

Justeru, percubaan melaga-lagakan kedua-dua tokoh ini terus dilakukan walaupun setakat ini kelihatannya langsung tidak berjaya.   Ini bukan sahaja kerana rakyat sudah mengenali sikap Tun M yang akan berterus terang tetapi lebih-lebih lagi ialah kerana rakyat juga sudah mula mengenali dan menyayangi Dato' Seri Najib. 

Oleh itu, pembangkang tidak perlulah bersusah payah menjatuhkan maruah sendiri dengan cuba meraih sokongan melalui aura Tun M.  Nampak sangat, para pemimpin pembangkang tidak punya ketokohan sendiri untuk menambat hati rakyat agar meyakini dan menyayangi mereka, sehinggakan terpaksa menumpang ketokohan musuh ketat mereka pula.

Hadi Perlu Dipecat Dari Majlis Syura

Langkah drastik PAS memecat keanggotaan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dari Majlis Syura Ulama parti itu terus menarik perhatian umum sehingga memaksa ramai pimpinan PAS terpaksa tampil dengan pelbagai kenyataan untuk menjustifikasikan logik tindakan tersebut.

Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya dalam usaha mengurangkan kegusaran ahli dan penyokong bawahan, cuba memberi gambaran isu pemecatan itu hanya proses biasa seumpama hubungan suami isteri yang bila-bila masa sahaja boleh bercerai berai. Manakala Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula menganggap Ustaz Nasharudin kini hanyalah ahli biasa yang tidak berpengaruh dan jika bekas Timbalan Presiden PAS itu menyertai UMNO sekalipun tiada kesannya pada PAS.

Ulasan sedemikian yang buruk nadanya bukan satu perkara baru bagi Hadi, sudah menjadi tabiat semulajadinya memperlekehkan maruah orang lain. Sebelum ini Hadi pernah menghina rakyat Sarawak sebagai golongan yang tiada pendidikan dan masih memakai cawat. Yang terbaru dihinanya guru sekolah merendah kononnya hanya layak mengajar ABC sahaja. Hakikatnya kenyataan dari kedua-dua pimpinan tertinggi PAS itu mahupun pelbagai lagi kenyataan dari pimpinan PAS yang lain, sebetulnya tersirat kegusaran yang mendalam, kerana itu seboleh mungkin mereka cuba membina gambaran pada ahli dan penyokong PAS supaya memandang remeh saja isu pemecatan Ustaz Nasharudin.

Mereka seperti baru tersedar wujudnya impak buruk dari kes pemecatan itu yang mampu menjejaskan kelancaran jentera parti serta kesan sampingan yang akan menggugat kepercayaan ahli dan penyokong terhadap PAS itu sendiri. Namun segalanya sudah terlambat, PAS tidak mengambil iktibar peristiwa lepas yang melibatkan pemecatan bekas Naib presiden PAS, Dr Hasan Ali dan bila kini kesilapan sama diulangi ke atas Ustaz Nasharudin, ia seumpama PAS sengaja menempah keranda sendiri. Sekarang kalangan ahli dan penyokong PAS tidak hanya mempertikaikan kenapa Ustaz Nasharudin dipecat tanpa diberi peluang pembelaan diri tapi mereka juga teramat ingin tahu mengapa Mursyidul Am PAS yang terkenal paling kerap gagal menghadiri mesyuarat badan tertinggi PAS itu terkecuali dari tindakan yang sama. Malah bukan satu rahsia pun, ramai ahli PAS memperkatakan kelesuan Majlis Syura Ulama PAS paling ketara kelihatan sejak ia dipengerusikan oleh Nik Aziz. Sepanjang penggal yang lalu pula, langsung tiada mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu yang bersangkut paut dengan dasar parti termasuklah membabitkan isu negara Islam dan hukum hudud yang menjadi pertikaian DAP serta PKR.

Dalam masa yang sama sudah banyak kedengaran rungutan mempersoalkan kenapa seorang lagi ahli Majlis Syura iaitu bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang juga jarang hadir ke mesyuarat masih terus diberi peluang menganggotai badan tersebut. Paling utama ahli bawahan serta penyokong parti tertanya-tanya mengapakah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terus menerus bebas dari tindakan disiplin?  Umum mengetahui Hadi telah secara terbuka mendahului keputusan Majlis Syura Ulama apabila dalam mesyurat tertinggi pemimpin PR yang disertainya, beliau telah bersetuju membenarkan kalimah Allah s.w.t digunakan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Tindakan Hadi yang membuat keputusan songsang dan bertentangan dengan keputusan rasmi Majlis Syura Ulama PAS bukan sahaja melanggar kebiasaan malah ia meninggalkan tidak sedikit impak yang memalukan sekaligus menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan PAS.

Dilihat dari segi kesalahan yang telah dilakukan oleh Hadi, sewajarnya beliau sudah layak untuk dipecat dari Majlis Syura Ulama PAS. Demikian halnya tindakan yang sama juga sepatutnya sudah diambil terhadap Nik Aziz dan Mat Iraqi. Namun kenapa ketiga-tiga mereka terselamat? Walau apapun persoalan yang khalayak umum lontarkan serta apa sahaja yang ahli PAS pertikaikan, satu hakikat yang pasti PAS kini sudah cukup sinonim dengan corak kepimpinan diktator dan ruang kebebasan juga semakin sempit. Itu hakikatnya.

Nashruddin bukan lagi Ahli PAS: Majlis Syura Wajar DiBubar

Majlis Syura Ulama PAS pernah diumpamakan sebagai Al-Quran buruk oleh Datuk Mohamed Daud Iraqi, salah seorang ahli Majlis tersebut sendiri.   Sebuah Al-Quran buruk yang sudah kabur tulisannya tetap tidak mungkin dibuang, dan tetap akan diletakkan di tempat yang tinggi.  

Namun, di mata DAP dan PKR, Majlis Syura Ulama PAS adalah umpama kain buruk sahaja yang digunakan untuk mengelap segala najis dan lumpur yang disepahkan oleh pemimpin PAS.  Akibatnya, najis dan lumpur tidak lagi kelihatan tetapi kumannya masih terus bersarang dan merebak ke tempat lain yang dilap dengan kain buruk tersebut. 

PAS juga nampaknya menerima sahaja kedudukan Majlis Syuranya sebagai sesuatu yang hidup tidak membawa makna, mati tidak boleh pula kerana ia menjadi tonggak kepada nama 'Islam' yang ada pada parti PAS.  Tanpa Majlis Syura, Islam PAS hanya tinggal pada jubah dan serban semata-mata. 

Bukan sahaja DAP dan PKR sahaja yang 'mengabaikan' Majlis Syura tetapi, Pengerusinya sendiri, iaitu Nik Aziz turut melihat Majlis Syura sebagai tidak lebih dari simbol semata-mata.  Kerana itu, Nik Aziz dilaporkan membuat kenyataan di dalam akhbar The Star yang berkata bahawa pemecatan Nashruddin dari Majlis Syura bermakna pemecatan dari PAS.  Atau dalam kata lain, Majlis Syura adalah kambing hitam penyamaran bagi mengelak penyokong-penyokong PAS mencurigai tindakan pemecatan tersebut. 

Hakikatnya, Nik Aziz telah dengan terus terang mengabaikan Majlis Syura dan membuat keputusan berdasarkan emosinya sendiri atas kapasiti Pengerusi Majlis dan juga Mursyidul Am parti.  Menurut Nik Aziz, talak telah pun jatuh oleh itu, Nasha dan PAS tidak lagi boleh dianggap ada hubungan.  

Kita amat memahami sifat Nik Aziz yang merupakan seorang pendendam. 

Dan lebih malang bagi Nasharuddin ialah apabila Hadi Awang pula seorang yang suka menghina orang lain.  Memberi respon dalam isu ini, Hadi Awang telah menyifatkan Nasharuddin sebagai ahli biasa sahaja dan tidak ada signifikannya jika beliau mengiringi Perdana Menteri ke Gaza.   Oleh itu, pemecatan Nashruddin dikatakan kerana beliau jarang menghadiri Majlis Syura dan bukan kerana bersama dengan PM di Gaza. 

Namun, jika itulah alasannya, maka ramai lagi yang jarang menghadiri Majlis Syura malah hampir tidak pernah iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi dan Nik Aziz sendiri.  Kenapa Nik Aziz tak pecat diri sendiri bagi menunjukkan kepimpinan Islam tulen yang adil lagi saksama?

Bukan itu sahaja, malah pemecatan Nasharuddin itu sendiri tidak menepati cara Islam.  Pertuduhan telah dibuat tanpa kehadirannya, dan keputusan juga dibuat tanpa pengetahuannya serta hukuman pula dibuat tanpa memberinya peluang membela diri.  

Sedangkan pembangkang merupakan pihak yang kuat menghentam Akta ISA atas alasan tidak memberi peluang tertuduh membela diri yang mana membelakangi cara Islam. 

Justeru, apakah hukumnya bagi Majlis Syura untuk membelakangkan soal menghukum cara Islam?  Siapakah pula yang berhak menghukum Majlis Syura? 

Apapun, yang jelas di sini ialah kedudukan Majlis Syura yang tidak ada makna.   Majlis Syura boleh membuat keputusan, tetapi ia tetap merupakan keputusan PAS sepertimana yang dijelaskan oleh Nik Aziz.  Manakala, PAS pula boleh membuat keputusan atas apa saja, tetapi keputusan muktamad tetap berada di tangan DAP.  

Maka, apa gunanya lagi Majlis Syura?  Bukankah lebih baik ianya dibubar saja?

Majlis Syura bukan seperti Al-Quran buruk kerana Al-Quran buruk masih lagi punya nilai.  Tetapi Majlis Syura lebih layak dianggap sebagai kain buruk, kerana langsung tidak bernilai, bukan sahaja di mata PKR dan DAP, tetapi juga di mata Nik Aziz sendiri.



Gejolak dalam akar umbi Pas sudah semakin ketara

MUNGKIN pemimpin-pemimpin tertentu di dalam Pas boleh mendabik dada mengatakan apa yang berlaku ke atas Nasharudin Mat Isa tidak akan menjejaskan parti tersebut.

Malahan bagi sesetengah daripada mereka, penyingkiran atau lebih tepat lagi pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas itu dari kerusi Majlis Syura Ulama Pas adalah 'satu rahmat'. Ini memandangkan bagi mereka seperti mana kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, satu lagi halangan besar semakin hampir untuk dilepasi. Sememangnya selama ini, mereka melihat Nasharudin adalah halangan dalam usaha mereka memperkukuhkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Segala-galanya bukan kerana Nasharudin menuntut apa-apa kedudukan atau melakukan tindakan yang boleh menjejaskan imej Pas tetapi disebabkan Nasharudin mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas, tegas dalam soal mempertahankan kesucian Islam dan tidak bersedia berkompromi dengan mana-mana juga pihak yang boleh menjejaskan kepentingan Islam. Namun malangnya, di dalam Pas sekarang seolah-olah tidak boleh ada pemimpin yang bersikap demikian. Justeru tidak hairanlah penulis menerima pelbagai maklum balas daripada penyokong-penyokong tegar Pas berikutan apa yang berlaku. ''Pemecatan Ustaz Nasharudin dari Majlis Syura bukti Pas tunduk kepada desakan DAP. Apa dosa beliau? Bagaimana Pas ingin memperjuangkan Islam jika pemimpin tiada pendirian? Berdosakah mengiringi Perdana Menteri ke Gaza demi Islam."

Itu antara Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima oleh penulis daripada penyokong Pas yang melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap apa yang berlaku ke atas Nasharudin. Selain itu, satu sumber dalaman Pas memberitahu penulis, ketika ini pemimpin-pemimpin Pas semakin tertekan kerana isu Nasharudin dikatakan menambahkan lagi beban parti itu selepas mereka dilihat tidak berupaya menangani isu kalimah Allah. ''Pas bernasib baik kerana ada orang seperti Datuk Harun Taib dan Datuk Dr. Haron Din yang terus konsisten mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. ''Tetapi saya tidak fikir mereka berada dalam keadaan selesa kerana kedua-dua mereka dikatakan sering sehaluan dengan Nasharudin dalam mempertahankan prinsip perjuangan Pas," kata sumber tersebut ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Penulis difahamkan apa yang meresahkan pemimpin-pemimpin Pas kini ialah gejolak di peringkat akar umbi semakin ketara apabila ada penyokong menganggap masanya sudah tiba untuk mereka memberikan mesej yang jelas kepada kepimpinan parti itu. ''Selama ini, ahli-ahli Pas bersabar apabila kepimpinan parti tetap mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP biar pun mereka lihat ia lebih banyak rugi daripada untung. ''Tetapi kali ini mereka tidak boleh bertahan lagi kerana Pas sudah semakin ketara menggadaikan segala-galanya demi mencapai cita-cita politik dengan kedua-dua parti itu," kata seorang pemimpin muda Pas ketika menghubungi penulis. Menurut pemimpin muda itu, kepimpinan Pas juga gagal memberikan alasan yang kukuh kenapa Nasharudin digugurkan daripada Majlis Syura, bagi ahli-ahli parti itu alasan kononnya Nasharudin tidak menghadiri mesyuarat hanyalah alasan semata-mata.
''Sejak awal lagi, apabila Nasharudin sanggup berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah, penyokong-penyokong Pas sudah melihat ada sesuatu yang tidak kena.  ''Ini memandangkan tidak ada seorang pun pemimpin Pas daripada golongan bukan ulama mempertahankan Nasharudin sebaliknya mereka menganggap itu perbalahan peribadi antara Nasharudin dan Karpal.

''Hujah ini cukup aneh kerana Nasharudin mempertahankan prinsip dan matlamat perjuangan Pas, bukannya soal peribadi. Sejak itu, penyokong-penyokong Pas melihat bahawa ada agenda untuk melihat Nasharudin disingkirkan daripada parti itu," kata pemimpin muda tersebut. Sementara itu, seorang lagi pemimpin Pas di peringkat kawasan yang dihubungi penulis mempersoalkan apakah tindakan Nasharudin mengikut Perdana Menteri ke Gaza adalah satu dosa. ''Sepatutnya Pas berbangga biar pun Nasharudin pergi atas nama Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia tetapi semua orang tahu beliau adalah pemimpin Pas, jadi kenapa perlu melihat tindakan beliau satu kesalahan. ''Kalau ada dalam kalangan pemimpin Pas mengatakan lawatan Perdana Menteri itu hipokrit, saya berpendapat Pas lebih hipokrit kerana sanggup mengambil tindakan ke atas mana-mana juga pemimpin mereka yang dilihat berjuang mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas," kata pemimpin Pas itu.

Mungkin Pas akan menganggap bahawa bantahan terhadap pemecatan Nasharudin hanyalah perkara kecil dan dengan angkuh berkata, tidak peduli bekas Timbalan Presiden Pas itu hendak menyertai parti mana sekali pun. Namun percayalah sentimen ini tidak dikongsi oleh sebahagian ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi yang semakin keliru, celaru dan tertanya-tanya apa sudah jadi dengan parti tersebut.

Sebab itulah, satu kajian menunjukkan 95 peratus ahli dan penyokong Pas tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti tersebut khususnya dalam menangani isu kalimah Allah dan dalam soal hubungan dengan PKR dan DAP. Tidak apalah, jika kepimpinan Pas terus mahu berasa angkuh, sombong dan mendabik dada kononnya penyokong-penyokong tegar mereka tidak akan lari dan akan tetap mengundi mereka, namun penentu kemenangan sesebuah parti bukan bergantung kepada penyokong tegar sahaja tetapi juga kelompok lain. Dan dalam isu melibatkan Pas khususnya tindak tanduk mereka sejak berkawan dengan PKR dan DAP serta nasib yang menimpa Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharudin, ternyata Pas tidak layak untuk diberikan sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kerana apabila Pas menang, sudah pasti PKR dan DAP yang senang. Keadaan itu berlaku kerana semua orang tahu sejauh mana keupayaan kepimpinan Pas yang ada sekarang melawan kudrat dan kehendak kedua-dua parti yang cukup kemaruk kuasa tersebut, kesudahannya Pas yang berhasrat menjadi tulang belakang pakatan pembangkang, hanyalah menggigit tulang kerana segala isi pasti akan dimamah oleh PKR dan DAP.

Mungkin penyokong-penyokong Pas akan menganggap apa yang diperkatakan oleh penulis adalah satu lagi usaha memecah belahkan pakatan pembangkang, kalau begitu desaklah supaya Pas dominan dalam pakatan berkenaan, jika itu gagal dicapai maka usahlah bermimpi di siang hari untuk menggantikan UMNO kerana Pas hanyalah pak turut sebab itulah Dr. Hasan dipecat dan Nasharudin 'dibuang' dari Majlis Syura, apa maksud penulis? Fikirlah sendiri!
source: (Utusan)

Monday, February 4, 2013

Kalimah Allah: Harun Taib Tanya Siapa Karpal, Karpal Jawab Apa Itu Majlis Syura?

Beberapa tahun lalu, isu Kalimah Allah dan terjemahan Injil ke Bahasa Melayu telah menjadi panas apabila pihak Kristian mendakwa kerajaan dengan sengaja menahan 30,000 Injil berbahasa Melayu di pelabuhan. Isu ini menggelegak terus ketika demam pilihanraya Sarawak di mana rekod peristiwa waktu itu jelas menunjukkan bagaimana PAS telah mengambil pendirian memihak kepada Kristian dan menghentam kerajaan kerana tidak menghayati hak kebebasan beragama seperti yang dituntut oleh Islam.

Kenyataan pemimpin PAS di media serta laman-laman web rasmi mereka, termasuk media alternatif pro-pembangkang memaparkan segala-galanya iaitu bahawa PAS tidak ada masalah dengan injil berbahasa Melayu mahupun penggunaan nama Allah di dalamnya kononnya dengan syarat ia tidak disalahguna.

Perkataan 'tidak disalahgunakan' bagaimanapun, tidak pernah dijelaskan secara ilmiah dan terperinci termasuk contoh-contoh sebagaimana sepatutnya. Sedangkan, perkataan ini adalah terlalu umum dan mudah disalahtafsir atau disalahgunakan juga.

Justeru, atas kebebalan pemimpin PAS ini, maka Lim Guan Eng telah mengambil kesempatan untuk 'mengacah' umat Islam dalam strateginya untuk memecahbelah dan menyemarakkan api perkauman dengan menimbulkan kembali isu ini dalam perutusan Hari Krismasnya Disember lepas.

Seperti yang dijangka Guan Eng, isu ini benar-benar menimbulkan kemarahan umat Islam dan berjaya memecahbelahkan PAS, sekali gus melemahkan Islam itu sendiri apabila PAS berada dalam keadaan tersepit ingin menjaga hati Kristian DAP demi menonjolkan sikap keterbukaan. PAS telah terpaksa menafikan mereka pernah menyokong penggunaan kalimah Allah dalam kitab agama lain dan Hadi Awang pula secara langsung menuduh isu ini hanyalah 'mainan politik UMNO' demi untuk tidak menyinggung DAP.

Maka, kita lihat di dalam media-media sosial, penyokong-penyokong PAS pun tercungap-cungap cuba membela Guan Eng dan di masa yang sama membela putar-belit pemimpin mereka. Akibatnya, ramai di antara penyokong senyap mereka mula meragui 'keIslaman' PAS dan yang di atas pagar pula lari dari PAS.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.