Thursday, March 21, 2013

Bela Pengganas: Majlis Peguam Buat Kerja Gila

Setakat ini seramai 108 orang telah di tahan berdasarkan Akta kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (SOSMA 2012) kerana dipercayai mempunyai hubung kait dengan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah.

Laporan berita yang memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyebut sebahagian daripada tahan terbabit akan mula di dakwa bermula 20 Mac 2013.

Baru-baru ini Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail telah mengumumkan satu kerjasama khusus di antara Persatuan Undang-undang Sabah dengan Majlis Peguam Malaysia akan dibentuk bertujuan untuk memberi bantuan guaman kepada mereka yang terbabit.

Secara umumnya, usaha sedemikian boleh dikira baik sesuai dengan kehendak undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang mengiktiraf setiap individu yang ditahan memiliki hak untuk membela diri.

Peluang yang terbentang di depan mata ini rupanya tak terbiar lama apabila sepantas kilat disambar oleh Majlis Peguam bila mana Presidennya yang baru dilantik, Christopher Leong segera menyatakan kesanggupan untuk membela kesemua individu tersebut.

Tak pasal-pasal satu negara terpaksa menanggung malu bila dunia luar mendengar ada juga badan rasmi seperti Majlis Peguam yang sanggup menyumbang usaha membantu menyelamatkan tahanan yang mempunyai hubungan dengan para pengganas.

Bagaikan sudah tabii semulajadi Majlis Peguam, pantang ada sahaja yang di tahan atas pelbagai kesalahan maka di situlah mereka segera muncul menawarkan bantuan kepakaran guaman mereka. Semuanya atas alasan hak asasi manusia.

Waima bila ada segelintir individu mahu murtad dari agama Islam pun mereka bersedia membelanya konon demi hak kebebasan individu, jadi apa sangatlah bila Majlis Peguam tergamak membuat kerja gila untuk turut sama membantu golongan pengganas, tak gitu?

Tapi persoalan besar yang perlu dijawab, layakkah golongan pengkhianat dan tali barut pengganas Sulu yang telah membunuh 10 perajurit dan perwira tanahair di beri pembelaan? Beberapa orang wira kita yang terkorban tidak hanya di tetak malah isi perut juga terburai diperlakukan.

Sedemikian punya kejam pun masih ada yang sanggup mengeluarkan kenyataan untuk membela rakan-rakan si pengganas Sulu, dah kemaruk sangat nak mentekedarah duit upah guaman ke? Memang betul-betul kerja gila.

Sebetulnya, amat tidak perlu dan tidak kena masanya untuk Presiden baru Majlis Peguam itu membuat kenyataan rasmi mahu membela tahanan terbabit, kot ya pun terburu-buru mahu mencari publisiti murahan, tengok-tengok jugalah keadaan sekeliling.

Tolonglah jaga sikit sensitiviti rakyat dan ahli keluarga kepada perajurit kita yang terkorban.

Alasan kemanusiaan mungkin betul dari satu sudut tertentu, tapi kekejaman yang dilakukan oleh pengganas Sulu terhadap beberapa orang perwira kita jelas sekali tiada sedikit pun sifat kemanusiaan.

Jika alasan hak asasi manusia masih juga mahu dijadikan sandaran, Majlis Peguam sepatutnya tak perlu terlibat secara rasmi atau terbuka, cukuplah sekadar menyerahkan tugasan 'kemanusiaan' itu dilaksanakan oleh ahli-ahlinya sahaja.

DAP Berkeras Kenakan Tol Di Terowong Dasar Laut

Benarlah bagai dikatakan oleh Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim bahawa manifesto bukannya satu perjanjian. Maksudnya ia sekadar tawaran sebagai umpan politik kepartian yang tidak wajib ditunaikan sebaliknya hanya untuk dimungkiri kemudian di capati.

Sebab itu apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan untuk melaksanakan projek pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya pada awal Mac 2013 lalu, tak ramai yang teruja kerana tahu itu hanya sandiwara untuk mengabui mata rakyat menjelang pilihan raya sahaja. Tapi ada segelintir penyokong PR yang kembang dada kerana merasakan terowong itu jika menjadi realiti akan dapat dilalui tanpa bayaran tol. Maka berkokoklah mereka memuji kehebatan buatan Setiausaha Agung DAP. Tapi khalayak ramai tidak mudah lupa sekitar bulan November 2011 dulu, Ketua Menteri yang sama jugalah telah menyatakan kos pembinaan terowong bawah laut itu kelak akan diperoleh semula modalnya melalui kutipan tol.

Siapa yang perlu membayarnya? Tentu sahaja penggunanya. Semasa Guan Eng berbangga membuat pengumuman tersebut semestinya Setiausaha Agung itu pun sudah lupa kenyataan lamanya yang sudah berusia lebih dua tahun. Itu kebiasaan orang politik yang gila publisiti dan banyak bercakap bila saja menjelang pilihan raya tapi bab kerja buat amat kurang. Menariknya baru sahaja 25 Februari 2013 yang lalu PR yang melancarkan manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang antara lain kandungannya ialah menghapuskan kutipan tol konon demi kesejahteraan hidup rakyat. Tika itu juga gah berkokok sakan segelintir penyokong PR meraikannya.

Hakikatnya, PR sendiri hanya pandai menabur janji, bila berhasrat nak membina terowong angan-angan kutipan tol tetap juga wujud. Semasa sesetengah pemimpin PR yang lain sibuk mempromosikan janji manis untuk menghapuskan kutipan tol, DAP pula terus berkeras untuk membina terowong dasar laut yang bertol. Akhirnya jadilah manifesto bukan perjanjian seperti mana diungkapkan oleh pemimpin PR dari Selangor. Patutlah semasa sesi dialog antara Guan Eng dengan rakyat berhubung projek mega berharga RM6.3 bilion itu baru-baru ini, dapat dilihat reaksi negatif di kalangan peserta yang tampak meragui kesungguhan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk merealisasikannya.

Rakyat tidak teruja dengan projek itu kerana ia tidak hanya satu pembaziran wang rakyat tatkala Jambatan Kedua Pulau Pinang sudah hampir nak siap, tapi ia juga bukti nyata yang pemimpin PR memang juara membohongi rakyat.

Sandiwara Tian Chua Memakan Diri

Entah kenapa susah benar bagi pembangkang untuk mengaku bahawa Tian Chua telah keterlaluan, tersalah langkah dan celupar.  Sedangkan lebih mudah untuk mereka menempelak Tian Chua dan memohon maaf dari rakyat dan keluarga wira-wira yang terkorban, bagi pihak parti mereka.   Tentu dengan cara ini, rakyat akan lebih menghormati mereka sekali gus menyukarkan BN untuk mencari kelemahan mereka.

Kata-kata Tian Chua yang biadap itu disiarkan oleh media rasmi mereka sendiri iaitu Keadilandlaily.  Jika Tian Chua ingin membela diri, beliau harus terlebih dahulu mendakwa laporan media itu yang disiarkan pada 1 Mac 2013 mengenai kenyataannya, sebagai tidak benar sama sekali.  Lebih elok jika beliau menyaman sahaja Keadilandaily.   Tetapi Tian Chua enggan, sekali gus menunjukkan yang beliau teguh mempertahankan kenyataannya. 

Antara petikan kenyataan Tian Chua yang membawa kepada pendakwaan menghina pasukan keselamatan ialah:  

 ·         "pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah."  dan

·         "Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing."   serta

·         "Serangan tembak menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat"

 Sebaliknya, pembangkang memilih untuk menangani isu ini dengan menuduh kononnya pendakwaan terhadap Tian Chua adalah usaha UMNO untuk mengalihkan isu Sabah.   Sedangkan sebelum itu, Tian Chua juga menuduh yang UMNO cuba menutup apa yang berlaku di Sabah.  Untuk itu, kita merasakan bahawa tidak perlulah UMNO membela diri dalam hal ini tetapi biarlah pembangkang dan Tian Chua sahaja yang terkinja-kinja meroyan mengatur langkah sumbang dan lintang pukang. Jika benar tuduhan pembangkang bahawa kerajaan cuba mengalih isu, tentulah kita tidak akan dapat membaca dan mendengar perkembangan di sana melalui media kerajaan.  Malah, rakyat juga sedia maklum bahawa pembangkang juga yang paling teruja dan seronok sekali apabila Sabah diceroboh.

Tetapi, apabila media asing menghebahkan pembabitan pembangkang dalam insiden tersebut tiba-tiba saja sorakan mereka menjadi pudar.  Malah, apabila ada pasukan keselamatan kita yang terbunuh, pembangkang menuduh semuanya sebagai sandiwara kerajaan pula.  Kononnya untuk menutup isu kad pengenalan.  Nyatalah bahawa hanya orang yang benar-benar taksub dan buta tuli sahaja yang tidak mampu melihat segala kecelaruan pembangkang.  

Hakikatnya, pencerobohan Lahad Datu telah mengganggu fokus kerajaan untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat, selain membantutkan Barisan Nasional untuk menggerakkan kerja-kerja awal bagi menghadapi Pilihanraya.   Pendekata, ia tidak memberi keuntungan atau kelebihan dari segi apa jua kepada pihak kerajaan atau BN dan kerana itulah pembangkang merupakan yang paling seronok, teruja, gembira dan seolah-olah meraikan pula pencerobohan tersebut pada mulanya.  Namun, siapa sangka apa yang pembangkang rancangkan untuk memberi imbuhan kepada mereka, kini memakan diri.  Malah, menjadi semakin parah akibat keceluparan Tian Chua menayangkan sikap tidak berhati perut mereka secara terbuka. 

Sebenarnya, kita tidak perlu berfikir jauh untuk mencari logik dalam kejadian ini.  Fikirlah sendiri, yang manakah yang lebih masuk akal antara dua senario ini:

1.)                  pihak yang sedang berkuasa dengan momentum sokongan yang semakin memberangsangkan mengarahkan sandiwara berdarah yang mampu membuka ruang untuk dikritik,

ATAU

2.)                  pihak yang tergila-gilakan kuasa yang semakin kehilangan sokongan mengarahkan sandiwara berdarah dengan harapan untuk melemahkan kerajaan atau mungkin menjatuhkan terus kerajaan tanpa perlu melalui pilihanraya?


Malah, kita juga boleh menyaksikan sendiri bagaimana pihak yang tergila-gilakan kuasa itu langsung tidak sensitif dan langsung tidak punya semangat patriotik. 

Tetapi, jika ini belum cukup kuat untuk membuktikan pendalangan pembangkang dan pengkhianatan Tian Chua, maka kenyataan Majlis Peguam, iaitu antara rangkaian penyamaran pembangkang, yang  ingin membela pengganas Sulu, wajar dijadikan noktah terhadap sokongan kepada pembangkang.

Wednesday, March 20, 2013

PAS Membisu Tiada Hudud Dalam Manifesto PR

Sehingga ke hari ini, memang agak sukar untuk kita menemui mana-mana penyokong PAS yang dengan bangganya bercerita panjang mengenai Manifesto PR sekali pun sudah hampir sebulan Manifesto Pakatan Harapan Rakyat itu diperkenalkan kepada umum.

Sebaliknya menjadi satu perkara biasa apabila kita melihat ada ahli dan penyokong PAS yang hanya membaca isi kandungan Manifesto PR sekadar seimbas lalu, malah tidak pelik bila ramai pula yang hanya melihat kulit depan tanpa teruja untuk melihat isi dalamnya.

Manifesto PR yang dilancarkan pada 25 Februari lepas itu benar-benar mengakibatkan penyokong PAS mengalami kejatuhan moral dan semangat masing-masing gara-gara isu perlaksanaan hudud tidak mendapat tempat dalam manifesto tersebut.

Selama ini dalam tempoh lebih dua dekad lalu para pemimpin dan penyokong PAS gah mengusung isu hudud sehingga tergamak memandang rendah keIslaman orang UMNO, akhirnya kini mereka terkebil-kebil tak keruan ibarat tertelan kahak sendiri lagaknya.

Akhirnya dalam keadaan ini, DAP dan PKR yang terus tersenyum sinis kerana berjaya membuktikan kepada pengikut masing-masing bahawa hala tuju PR ditentukan oleh mereka dan pemimpin PAS pula akan kekal sebagai balaci yang setia menurut perintah.

Mungkin dalam hari-hari terakhir menjelang PRU 13 akan ada segelintir pemimpin PAS yang masih cuba menjadi penjual ubat di jalanan sesekali mencanangkan semula isu perlaksanaan hukum hudud untuk menarik semula perhatian penyokong bawahan, tapi apa lagi gunanya?

Hakikat kebenarannya PAS telah gagal mempengaruhi PR untuk menerima hudud sebagai dasar bersama PR dan selagi itu ketetapan rasmi PR maka selama itulah hudud yang di canang oleh PAS akan kekal sebagai angan-angan dan umpan politik kepartian sahaja.

Tuesday, March 19, 2013

Rakyat Pulau Pinang Bantah Terowong Bawah Laut

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai pada akhir Januari 2013 yang lepas, projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang telah mencapai kemajuan 90.15% dan dijangkakan siap sepenuhnya seawal September 2013 atau selewat-lewatnya dua bulan kemudian.

Apabila siapnya projek itu kelak, sebahagian besar masalah kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang yang sedia ada dapat dikurangkan sekaligus memberi keselesaan kepada para pengguna untuk berulang alik dari pulau ke Seberang Perai.

Pengumuman tersebut nyata melegakan ramai pihak dan sudah tentunya mereka tidak lupa untuk berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana tetap meneruskan projek itu sekalipun Kerajaan Negeri dikuasai oleh DAP.
 
Bagaimana pun tak sampai dua bulan kemudiannya, tiba-tiba sahaja Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan kesediaan Kerajaan Negeri sudah bersedia untuk membina terowong bawah laut menghubungkan Gurner Drive di bahagian pulau dengan Bagan Ajam di sebelah tanah besar.

Selama dua tahun semenjak April 2011 Lim Guan Eng senyap tanpa berita selepas pengumuman awalnya dulu, sekarang bila sahaja dekat nak PRU 13 tergesa-gesa mengumumkan projek tersebut digerakkan segera.

Nampak sangat DAP sedang bermain opera Cina untuk mengekang mood gembira khalayak ramai yang tika ini agak tidak sabar menantikan siapnya Jambatan Kedua Pulau Pinang. Adakah sandiwara ini berjaya menarik perhatian rakyat dan mengalih tumpuan umum kepada jasa Kerajaan Pusat?

Tentu sahaja tidak, kerana semasa dialog Kerajaan DAP Pulau Pinang bersama rakyat negeri itu pada 10 Mac lepas, rata-rata peserta yang hadir tidak yakin dengan kesungguhan Kerajaan Negeri yang di lihat hanya mengambil kesempatan untuk mengabui mata umum tatkala menjelang PRU 13.

Lagi pun ramai yang mempersoalkan pembinaan terowong bawah laut itu yang bukan sahaja tidak efektif dan merupakan satu pembaziran kerana buat masa sekarang sudah memadai negeri itu mempunyai dua jambatan termasuk yang sedang disiapkan sekarang.

Tambahan pula kos anggaran RM6.3 bilion untuk projek sedemikian jika dilaburkan untuk naik taraf jalan-jalan sedia ada di samping menambah baik kemudahan pengangkutan awam jauh lebih berbaloi untuk jangka masa pendek dan panjang.

Jambatan kedua belum pun siap untuk digunakan sudah bermimpi mahu membina terowong bawah laut, besar melampau angan-angannya tapi tak kena dengan masanya. Sepatutnya guna dulu jambatan kedua dan lihat keberkesanannya, bila wujud keperluan barulah bina jambatan ketiga atau pun terowong.


Himpunan Sri Perdana, Majoriti Bekas Jeneral Berdiri Teguh

Perkembangan terkini berhubung isu pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah benar-benar merungsingkan dan menakutkan Anwar. Tambahan pula hampir saban hari, agensi berita antarabangsa dan media-media Filipina melaporkan mengenai penglibatannya dalam tragedi berdarah itu.

Maka tidak hairanlah, sepanjang berlangsungnya episod pencerobohan ini, Anwar cuba sedaya-upaya untuk membersihkan imej dan namanya dengan mengumumkan kemasukkan beberapa orang bekas pergawai tertinggi tentera ke dalam parti itu. Sama ada kemasukkan mereka berdasarkan semangat dan roh perjuangan (itupun kalau ada) parti atau telah dijanjikan 'habuan', tidaklah dapat dipastikan.

Namun apa yang pasti, kemasukkan beberapa 'kerat' pegawai ATM tersebut tidak akan mampu mempengaruhi atau mengubah landskap politik negara secara keseluruhan. Tambahan pula, sehingga kini Anwar masih lagi gagal untuk menjawab dengan jelas tentang semua dakwaan yang dilemparkan sebelum ini. Ia sedikit sebanyak menguatkan andaian, dia cuba berselindung dan menyembunyikan beberapa fakta dari pengetahuan umum.

Dan semalam, bertempat di Seri Perdana telah berlangsung satu majlis santai "Sepetang Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak" yang telah dihadiri hampir 200 orang pegawai tinggi ATM di Seri Perdana.

Di dalam program tersebut Datuk Seri Najib turun menjelaskan berhubung beberapa perkara antaranya perkembangan di Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM) sebagai langkah berkesan bagi menghadapi cabaran terkini.

Tambah menarik semua yang hadir telah melahirkan rasa terima kasih terhadap usaha yang di jalanklan oleh kerajaan serta turut memberikan sokongan penuh untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri.

"Adalah hak individu sebagai rayat Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi untuk mengikut parti yang diingini. Tetapi apa yang mengecewakan apabila mereka mempersoalkan hal-hal bersangkutan pertahanan negara. Tindakan ini akan diguna pakai oleh musuh negara sebagai input dan kami menggangap mereka itu adalah pengkhianat", tegas bekas Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral (B) Datuk Amir Baharuddin

"Ini adalah merupakan inisiatif julung-julung kali diadakan bersama Perdana Menteri. Kebanyakkan daripada kami berasa terharu kerana langkah ini merupakan sebuah pengiktirafan terbaik daripada pucuk kepimpinan. Saya masih lagi mempunyai semangat berkobar-kobar untuk bersama-sama kepimpinan negara dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara", kata bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anuar Mohd Noor.

"Pada hari ini kami diberikan taklimat mengenai Lahad Datu, Sabah. Kita menyokong tindakan yang dilakukan oleh anggota keselamatan selama ini agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik", menurut bekas Ketua Pegawai Kesihatan ATM, Mejar Jeneral (B) Datuk Pahlawan Dr R. Mohanadas.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menjemput pegawai atasan ATM yang telah bersara ke perjumpaan petang ini. Kami masih lagi bersama memberi dokongan kepada kerajaan semasa di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak", ujar bekas Panglima Tentera Darat, jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohd.

Itu hanya sebilangan kecil, komen-komen yang diberikan oleh mereka bagi melahirkan sokongan terhadap kerajaan dan semangat yang ditunjukkan jelas membuktikan keyakinan yang tinggi terhadap pendekatan dan langkah yang diambil oleh kerajaan.

Kesimpulannya, percubaan Anwar untuk mengeksploitasi beberapa kerat bekas tentera untuk dijadikan kuda tunggangan GAGAL. Ini kerana di sebalik sokongan 1-2 orang tidak mencerminkan sokongan majoriti yang terdiri daripada ribuan yang masih yakin dengan kepimpinan kerajaan.
 




Apa Itu ESSCOM & Kepentingannya Kepada Sabah

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kesediaan Kerajaan Pusat & Kerajaan Negeri Sabah untuk menubuhkan kawasan keselamatan khas di Sabah atau pun dikenali sebagai ESSCOM ( Eastern Sabah Security Command).

Insiden pencerobohan di Lahad Datu oleh pengganas Sulu serta pembunuhan ngeri enam orang anggota keselamatan di Semporna baru-baru ini menjadi faktor utama yang mendorong kepada penubuhan kawasan keselamatan khas ini. Sebanyak lima batalion tambahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan di tempatkan di ESSCOM, manakala lima lagi Balai Polis akan di bina di Sabah bagi memperkukuhkan keselamatan orang awam dan ketenteraman negeri.

Kawasan keselamatan khas ini akan berpusat di Lahad Datu, sementara empat lagi daerah yang termasuk dalam ESSCOM ialah Kudat, Kunak, Sandakan dan Tawau, yang ke semuanya berada di pantai timur Sabah meliputi kawalan ketat sepanjang 1,400 kilometer. Kawasan yang sebegini panjang dan luas sememangnya terdedah kepada risiko keselamatan dan pembentukan ESSCOM ini menunjukkan Kerajaan Pusat telah mengambil iktibar dari insiden pencerobohan itu sebagai pengajaran berguna.

Usaha menambah baik aspek keselamatan sempadan Sabah ini merupakan langkah pro aktif yang membuktikan keprihatinan Kerajaan dalam menjaga keselamatan rakyat negeri ini. Dari sudut lain, kebanjiran pendatang asing juga akan dapat di kekang. Kewujudan ESSCOM juga selain bermatlamat untuk membendung pencerobohan di Lahad Datu dari terus berulang di masa depan, di masa yang sama ia meningkatkan keyakinan para pelabur yang sebelum ini telah menjauhkan diri berikutan insiden tersebut. Sekitar tahun 1970-an dulu di Sarawak pernah wujud Markas Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) yang terbukti berjaya menghapuskan ancaman pengganas komunis di Sarawak yang kemudiannya diikuti dengan limpahan keamanan dan tumpuan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan.

Justeru itu kewujudan ESSCOM di Sabah juga diyakini mampu mencapai matlamatnya sama seperti kejayaan RASCOM sekaligus mengembalikan semula ketenteraman dan merancakkan semula kegiatan ekonomi di negeri ini.

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.