Sunday, July 14, 2013

Bubur Lambuk Terpanjang 18 Julai ini@Melaka

Kerajaan Negeri Melaka dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka akan mengadakan program memasak bubur lambuk terpanjang pada 18 Julai ini di Melaka Mall.

Timbalan Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau, Datuk Ghazale Muhamad berkata, sebanyak 20,000 bungkus bubur lambuk akan diedarkan kepada orang ramai sekitar negeri ini termasuk di rumah kebajikan. "Program ini juga mendapat kerjasama daripada persatuan pengusaha hotel negeri dan beberapa agensi sambil kita berharap mereka yang berminat dengan program ini untuk turut serta. "Selain itu, kita berhasrat menjadikan program ini tersenarai dalam Malaysia Book of Record (MBR) di samping menyediakan bungkusan bubur lambuk terbanyak," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program pengagihan bubur lambuk oleh Philea Resort & Hotel di jalan Tol Lebuhraya Ayer Keroh di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar  Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Abdul Kadir Md. Idris dan Pengarah Kewangan Resort, Lim Beng Weh serta Pengarah Komunikasi dan Pemasarannya, Connie Chin. Dalam program sempena meraikan kedatangan Ramadan itu, sebanyak 7,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya.

Sementara itu, Beng Weh berkata, program itu merupakan kali keempat dianjurkan oleh Philea sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain menghargai dan mendekati komuniti di negeri ini. "Penyediaan kesemua bubur lambuk ini bermula pada pukul 2.30 petang yang diketuai oleh Chef Azmi Desa dengan melibatkan bahan -bahan seperti 250 kilogram (kg) beras, 40 kg ayam dan daging dan lain-lain," katanya. Tambahnya, sebanyak 200 bungkus diedarkan disetiap rumah kebajikan anak yatim iaitu Kompleks Rumah Anak Yatim Fatimah Al Zaharah (KAYFAZ) dan Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin (PAYASUM).

source:http://www.utusan.com.my Utusan Melayu (M) Bhd
 





PRK Kuala Besut: PAS Tidak Percaya Azlan?

Walaupun melafaz baiah sudah menjadi amalan PAS sekian lama, tetapi tindakan PAS menyuruh calonnya bagi PRK Kuala Besut iaitu, Azlan @ Endut Yusoh melafazkan baiah di khalayak ramai, dilihat sebagai masalah 'kurang keyakinan diri' yang kronik bagi parti itu.  Selama ini, PAS hanya menuntut calon melakukannya secara tertutup di dalam bilik dengan dihadiri pemimpin-pemimpin tertentu sahaja.  Inilah kali pertama parti itu menuntut lafaz baiah secara terbuka di hadapan orang ramai.
 
Akur dengan arahan parti, Azlan telah pun melafazkan baiah bahawa beliau akan dilaknat Allah SWT jika melompat parti sekiranya PAS menang di Kuala Besut.  Persoalan yang bermain di fikiran ramai ialah kenapakah PAS mengambil pendekatan berbeza terhadap Azlan?  Kenapa beliau tidak dituntut berbaiah secara tertutup sahaja?  Apa signifikannya baiah tersebut diperdengarkan kepada umum?  Satu-satunya penjelasan ialah PAS meragui kesetiaan Azlan.  Harapan PAS, Azlan tidak akan berani melanggar baiah sekiranya terlalu ramai saksi yang telah mendengar beliau melafazkannya.  
 
Azlan merupakan kontraktor bangunan dan kejuruteraan awam – Kelas A.   Ini sekali gus meletakkan beliau sebagai salah seorang yang mendapat manfaat langsung dari kemajuan yang di bawa oleh kerajaan Barisan Nasional di negara ini.  Malah, kita tidak hairan jika kebanyakan projek-projek yang membolehkan beliau menjadi 'orang kaya' di Kuala Besut, merupakan projek-projek kerajaan BN sama ada secara langsung atau tidak langsung.   Dalam kata lain, Azlan kemungkinan besar telah terlalu banyak memakan budi UMNO.  Justeru, PAS amat khuatir jika beliau bertindak 'membalas budi' UMNO dengan cara lompat parti.    Jika benar Azlan telah memakan budi UMNO sehingga dinobatkan sebagai orang kaya, maka tindakannya untuk bertanding atas tiket PAS di Kuala Besut boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan.  Ini kerana PAS sering mencemuh dan menuduh BN sebagai 'tidak berbuat apa-apa' untuk membantu Melayu walaupun telah lebih sedekad berkuasa.   PAS juga sering menuduh UMNO memberi projek kepada kroni sahaja dan membiarkan rakyat jelata hidup susah, tertindas dan sengsara.  Namun, kewujudan Azlan, seorang kontraktor PAS yang kaya dengan sendirinya menafikan segala tuduhan tersebut.  Tidak mungkin Azlan kaya tanpa UMNO memainkan peranan untuk menyediakan peluang perniagaan kepadanya, termasuk syarikat-syarikat pembekalan atau sokongan bagi membolehkan perniagaannya maju.   Persekitaran dan peluang perniagaan sebegini hanya boleh diwujudkan oleh kerajaan yang cekap dan prihatin.
 
Atas hakikat inilah maka kita tidak hairan jika PAS begitu meragui kesetiaan Azlan. Pada bila-bila masa saja Azlan boleh 'terkenang' kembali akan budi UMNO kepadanya.  Atau Azlan mungkin juga perlu mengharap budi UMNO lagi di masa depan bagi membolehkan perniagaannya terus berkembang maju.  Di waktu itu, perkara utama bagi Azlan pastinya mengenai 'survival' diri dan bukan lagi 'survival' PAS.


Berbuka Puasa Dengan Fitnah Bersama SUARAM

Kita tidak terkejut jika Pakatan Rakyat dan 'kuncu-kuncunya' ingin terus memainkan isu scorpene dan Altantuya walaupun isu tersebut telah kembali tertepek ke muka mereka.  Ini kerana PR benar-benar ketandusan isu dan berada dalam keadaan malu yang amat sangat apabila Anwar mengangkat sumpah menerima keputusan PRU-13.
 
Tetapi kita agak terkejut juga apabila mereka menggunakan isu scorpene untuk terus menipu orang ramai atas nama bulan Ramadhan yang mulia.  Inilah yang dilakukan oleh PR melalui SUARAM dengan menganjurkan 'Majlis Buka Puasa dan Makan Malam' dengan tema Ops Scorpene.  Iklan majlis ini di akhbar Suara Keadilan memaparkan butiran tarikh iaitu 19 Julai 2013 di Dewan Sivik, PJ dan nombor-nombor telefon untuk tempahan tiket.  Di tulis juga butiran No. Account SUARAM bagi mereka yang ingin menderma.  Antara 'acara' menarik ialah 'penampilan khas saksi kes scorpene'.
 
Isu scorpene telah pun terdedah sebagai satu rekaan SUARAM dan PR semata-mata.  Ia tidak pernah menjadi 'kes' di mahkamah Perancis kerana telah ditolak atas alasan tiada asas, sejak dari awal lagi.  Oleh itu, menyebutnya sebagai 'kes' juga merupakan satu penipuan.    Pihak Perancis termasuk Kementerian Luar, polis dan juga mahkamah negara tersebut telah membuat kenyataan rasmi menafikan kemasukan Altantuya ke Perancais, mahupun penglibatannya dalam urusniaga Scorpene.   Penafian pihak Perancis itu dengan sendirinya membongkar motif SUARAM untuk memburuk-burukkan kerajaan.   Motif ini turut menepati pendedahan Raja Petra Kamaruddin tentang bagaimana beliau dan beberapa individu lagi diupah untuk mereka cerita mengenai isu yang sama bagi menjatuhkan Dato' Seri Najib.   Walaupun PR berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat ini, rakyat tidak mudah diperdaya dengan cerita rekaan SUARAM dan RPK kerana ia mempunyai terlalu banyak versi dengan butiran yang berubah-ubah.   Apatah lagi ia kisah mereka hanyalah bersandarkan 'dengar cakap' serta akuan bersumpah yang boleh ditukar-tukar sesuka hati.   Ini membuktikan semua 'saksi' yang disebut tidak punya kredibiliti.
 
Oleh itu, bagi SUARAM untuk menampilkan lagi 'saksi' dalam Majlis Berbuka Puasa ini merupakan satu usaha terdesak yang paling jelek dan memualkan.   Jika tiada kes dan saksi yang ada pula telah pun mengaku diupah, maka mana datangnya lagi 'saksi' lain?  Tidak cukupkah SUARAM dikantoikan oleh 'saksi' yang dikatakan mereka telah disapina oleh Mahkamah Perancis tetapi beliau kemudiannya tampil menafikan mentah-mentah yang beliau telah disapina oleh mana-mana pihak?  Kita hairan betapa tebalnya muka si Cynthia Gabriel, Teng Chang Khim dan Nalini iaitu watak utama dalam penipuan SUARAM.   Apakah mereka ini memang jenis manusia tidak tahu malu sehinggakan didedah menipu berpuluh kali juga masih ingin terus menipu?  Atau apakah mereka sengaja menganjurkan majlis ini semata-mata untuk menjustifikasi kedudukan kewangan mereka?   Seperti yang kita tahu, SUARAM telah pun dibuktikan sebagai sebuah NGO yang menerima dana dari rangkaian George Soros.  Dan kita juga tahu bahawa  tiada cara yang lebih mudah untuk menutup jejak penerimaan dan penggunaan dana tersebut selain dari mencatatnya sebagai 'derma' orang ramai.   Kerana itulah, SUARAM sering menganjurkan majlis untuk mengutip derma.  Kebanyakan derma ini tidak pula digunakan untuk aktiviti-aktiviti memperjuangkan hak asasi manusia secara langsung tetapi apa yang dapat dilihat ialah NGO ini menghabiskan begitu banyak wang untuk membayar peguam asing termasuk kos penginapan, pengangkutan dan segala kos sampingan mereka bagi terus menghidupkan isu scorpene.
 
Apa yang menyedihkan ialah majlis meminta derma kali ini diadakan atas nama Ramadhan.  Nampaknya hadirin di majlis ini nanti bukan sahaja akan kenyang dengan makanan yang terhidang tetapi juga kenyang menelan fitnah demi fitnah yang ditaburkan SUARAM.  Bayangkan, bagaimana sebuah NGO yang membawa misi Zionis untuk 'pertukaran rejim' telah dengan biadapnya menggunakan nama 'Ramadhan' dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Islam yang sah.


Penyokong PAS Tak Puas Hati Perlantikan Husam Musa

Kisah di sebalik tabir Pilihanraya Kecil Kuala Besut memperdengarkan rungutan penyokong-penyokong PAS mengenai keputusan PAS Pusat melantik Husam Musa sebagai Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihanraya.  Husam bakal dibantu oleh Dr. Hatta Ramli dan Ustaz Satiful Bahri yang bertindak sebagai timbalannya. 
 
Alasan PAS melantik Husam yang berasal dari Kelantan ialah kerana Kelantan mempunyai pengaruh besar Kuala Besut.  Ini kerana Kuala Besut terletak di sempadan Terengganu-Kelantan dan suatu masa dahulu merupakan sebahagian dari Kelantan.  Walaubagaimanapun, penyokong PAS di Terengganu merasakan tindakan tersebut sebagai tidak wajar.  Hujah mereka, bukan sahaja kerana Husam Musa bukan orang Terengganu, tetapi juga kerana beliau adalah dari kumpulan Anwarinas yang kini dipandang serong oleh kebanyakan penyokong tulen PAS.   PAS Terengganu yang dipimpin oleh Wahid Endut mempertikaikan keputusan tersebut dengan mengungkit insiden lama ketika PRK Manek Urai di mana PAS Kelantan menghalang sebarang penglibatan PAS Terengganu.  Justeru, PAS Kelantan seharusnya mengambil pendekatan yang sama untuk tidak terlibat apatah lagi menjadi Pengarah kepada PRK Kuala Besut ini.
 
Kemuncak ketidakpuasan hati ini, PAS Terengganu telah mengambil tindakan memboikot Majlis Perisytiharan Calon.   Akibatnya, majlis tersebut hanya dihadiri tidak sampai 1000 orang yang mana sebahagian besarnya adalah penyokong PAS dari Pasir Puteh Kelantan.  Ini merupakan petanda malapetaka kepada PAS kerana yang bakal mengundi bukanlah orang Pasir Puteh, tetapi orang Kuala Besut.  Sebelum nama Husam diumumkan, Wahid Endut telah lebih awal mengisytiharkan YB Satiful Bahri (ADUN Paka) sebagai Pengarah PRK.   Namun, PAS Pusat nampaknya telah tidak mengambil kira suara beliau tetapi membuat keputusan tanpa meminta pendapat Wahid Endut dan PAS kawasan tersebut. Apa yang membuat pihak PAS Terengganu lebih 'panas' ialah khabar yang menyatakan bahawa perlantikan Husam ada kena mengena dengan hubungannya dengan calon iaitu Azlan Endut, di mana mereka merupakan rakan proksi dalam perniagaan.  Tidak keterlaluan dikatakan bahawa penyokong PAS sudah tidak begitu mempercayai Husam lagi kerana kedudukannya sebagai wakil Anwarinas.  Sudah menjadi rahsia umum bahawa team Anwarinas mempunyai agenda tersendiri yang seringkali tidak selaras dengan agenda PAS.   Selain berjuang semata-mata untuk Anwar, team Anwarinas juga lebih cenderung membawa aspirasi DAP dari PAS sendiri.
 
Oleh itu, ramai yang musykil bahawa Husam akan benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan kemenangan PAS di Kuala Besut.  Memandangkan DAP sendiri tidak begitu 'teruja' dengan PRK ini, malah menyarankan agar ia dipulaukan saja oleh PAS, maka tidak mustahil yang Husam turut mempunyai pandangan yang sama.   Kekhuatiran DAP dan PKR serta PAS dari team Anwarinas ialah kebarangkalian kemenangan PAS di mana ia mampu membawa kepada terbentuknya kerajaan perpaduan di Terengganu.  Ini berdasarkan kedudukan kerusi yang akan menjadi seri iaitu 16-16 sekiranya PAS berjaya merampas kerusi Kuala Besut.
 
Seperti yang kita tahu, sebarang bentuk perpaduan UMNO-PAS merupakan malapetaka bagi DAP dan juga Anwar (PKR).
 
Justeru, kemarahan dan keraguan Wahid Endut dan PAS Terengganu terhadap Husam Musa secara dasarnya adalah berasas.   Namun, malang bagi PAS kerana PAS Pusat nampaknya masih lagi begitu naïf tidak dapat menjangka atau membaca agenda tersirat parasit-parasit di dalam parti itu.   Jelas, PAS Pusat masih tidak belajar apa-apa dari keputusan PRU-13 yang lalu.


PRK Kuala Besut: BN Berpeluang Menang Besar

PRK Kuala Besut pada 24 Julai ini dilihat memberi banyak kelebihan kepada Barisan Nasional dari berbagai aspek. Kuala Besut mempunyai 17,638 pengundi dengan majoriti Melayu.  Oleh yang demikian pertandingan adalah antara UMNO dan PAS.  Dalam PRU-13 yang lalu, BN telah memenangi kerusi ini dengan majoriti yang agak selesa iaitu 2,434. Memahami kehendak rakyat masa kini yang inginkan perubahan, BN meletakkan calon muda dan berpendidikan tinggi iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga merupakan anak jati Kuala Besut. 

Tengku Zaihan berusia 37 tahun merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Bahagian Korporat. Beliau berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM).   Bapa beliau adalah seorang guru agama dan amat dikenali oleh penduduk kawasannya.   Dengan latarbelakang keluarga dan pekerjaannya, pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon langsung tidak mengejutkan masyarakat setempat. Tengku Zaihan juga mempunyai sifat rendah diri dan mudah mesra sepertimana kebanyakan 'orang-orang pantai' iaitu gelaran yang diberi kepada masyarakat di situ. 

Selain faktor calon, BN juga dilihat mempunyai kelebihan dari segi isu-isu semasa.  Perkembangan selepas PRU-13 menunjukkan bahawa ramai orang-orang PAS mula kembali ke bumi nyata dan menyedari permainan DAP.   Melalui keputusan PRU itu, jelas terbukti bahawa DAP langsung tidak mengundi PAS dan hanya berminat untuk memperjuangkan kepentingan kaum Cina. Perlu diingatkan juga bahawa Terengganu merupakan tempat bermulanya perpecahan umat Islam yang bertitik-tolak dari Amanat Haji Hadi, pemimpin PAS negeri itu.   Amanat tersebut telah mengkafirkan UMNO kerana dikatakan menggunapakai perlembagaan penjajah yang sekular kerana memisahkan agama dengan politik. Walaubagaimanapun, isu pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur yang sedang hangat diperkatakan kini telah memaksa PAS akur bahawa UMNO dan perlembagaan UMNO bukan kafir. Malah UMNO dan perlembagaan itulah yang memastikan agama Islam berada di kemuncak tertinggi di dalam negara ini.  

Namun, DAP terus menerus mencabar kedudukan agama Islam dan Melayu yang mana menyebabkan penyokong-penyokong PAS merasa 'terganggu' dan 'cuak' untuk terus memberi sokongan kepada PAS selagi parti itu bekerjasama dengan DAP. Justeru, kita menyangka BN tidak punya masalah untuk menang besar dalam PRK ini andainya jentera parti bijak mengenengahkan isu-isu semasa seperti ini, selain isu-isu setempat yang dekat dengan masyarakat Kuala Besut. Keputusan PAS meletakkan seorang kontraktor iaitu Azlan Yusoff, dilihat tidak akan berjaya menggugat BN.  Azlan berumur 48 tahun lebih dikenali dengan panggilan 'Che Long' oleh penduduk tempatan pernah memiliki sebuah stor kayu di daerah itu.

Dari apa yang tersebar di internet, PAS nampaknya menjulang Azlan sebagai 'orang kaya' sebagai justifikasi kepada pencalonannya.  Kita tidak faham bagaimana 'kaya' boleh dijadikan modal politik untuk meyakinkan rakyat bahawa calon tersebut berwibawa.  Malah, oleh kerana Azlan menjadi kaya melalui perniagaannya sebagai kontraktor (Kelas A), ramai yang tertanya-tanya projek apa atau tender apa yang telah melonjakkan Azlan sebagai orang kaya.  Bukan kita tidak tahu bahawa kontraktor merupakan sejenis perniagaan yang paling mudah terdedah kepada berbagai jenis 'kotoran'.   Azlan juga hanya berpendidikan SPM yang mana meletakkan beliau jauh di belakang dari calon BN.   

Berdasarkan semua maklumat ini, tidak hairanlah jika kita melihat gelombang di Kuala Besut semakin  hari semakin 'biru' warnanya.  Semoga keputusan PRK nanti turut memantulkan kebiruan laut di pantai Terengganu.

Thursday, July 4, 2013

Mas Ermieyati Menawarkan Diri Bertanding Ketua Puteri UMNO Malaysia

Ahli Parlimen Masjid Tanah , Mas Ermieyati Hj. Samsudin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung hujung tahun ini. Ketua Puteri Umno Melaka itu berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau membuat kajian dan mendapatkan pelbagai pandangan daripada ahli-ahli Puteri dan kepimpinan Umno daripada pelbagai peringkat.

"Sebelum saya membuat keputusan, saya telah berjumpa dahulu dengan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka, Ketua Umno Bahagian, Ketua Umno Cawangan dan saya juga berjumpa dengan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Ketua Puteri Umno Malaysia). "Apabila saya sudah mendapat pendapat mereka ini, mereka memberikan respon yang baik dan positif barulah saya putuskan untuk bertanding," kata beliau ketika ditemui Malaysian Digest semalam. Bagaimanapun beliau tidak merasakan kedudukan beliau sebagai ahli Parlimen akan memberi kelebihan kepada beliau sebaliknya menganggap calon-calon lain yang mahu bertanding juga mempunyai yang sama rata.

"Saya melihat calon-calon lain yang mungkin mahu bertanding mempunyai peluang 50-50 dan saya tidak mengatakan peluang saya bertambah baik apabila saya duduk sebagai ahli Parlimen. "Saya yakin dan percaya seseorang itu mempunyai kelebihan dan kekurangan dan saya akan menggunakan kelebihan saya dan memperbaiki kelemahan saya dalam mencapai matlamat tersebut," kata beliau.

Menurut beliau, kepimpinan Puteri Umno perlu diperkasakan dari sekarang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijangka turut bakal menyaksikan persaingan sengit. "Saya hendak menyediakan pemimpin-pemimpin Puteri yang boleh kehadapan, berani bercakap dan menjadi ikon kepada orang-orang muda dan bukan sahaja kepada ahli puteri sahaja. "Kita perlu ramai cerdik pandai diluar sana untuk menyertai Umno dan Barisan Nasional supaya mereka dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam usaha memperkasakan parti dan plattform itu hendaklah kita siapkan daripada sekarang," tegas beliau.

Rosnah dijangka melepaskan jawatan ketua sayap Umno tersebut pada pemilihan parti hujung tahun ini. Rosnah, yang memegang jawatan tersebut sejak 2008, berbuat demikian kerana usianya sudah melepasi had kelayakan jawatan Puteri Umno yang menetapkan umur antara 18 dan 35 tahun sebagai ahli.
Pemilihan Umno hujung tahun ini dijangka sengit apabila kelayakan bertanding dipermudahkan dan ia terbuka kepada lebih ramai ahli.

Pindaan Perlembagaan Umno pada 2009 menyaksikan jumlah ahli yang boleh mengundi bagi menentukan pucuk pimpinan tertinggi meningkat kepada kira-kira 150,000 orang berbanding hanya sekitar 2,500 orang pada pemilihan sebelum ini. Mereka juga akan memilih secara langsung pimpinan bahagian masing-masing, sekali gus menghapuskan sistem kuota yang membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli untuk bertanding dengan syarat minimum bagi mana-mana jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno iaitu pernah memegang jawatan Ahli MT atau ahli jawatankuasa bahagian selama satu penggal.

--malaysiandigest

Monday, July 1, 2013

Tarikh pengundian PRK Kuala Besut diumum Jumaat

PUTRAJAYA 1 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi membincangkan semua perkara berkaitan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, tarikh penamaan calon dan hari pengundian akan diumumkan pada hari tersebut. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130701/dn_27/Tarikh-pengundian-PRK-Kuala-Besut-diumum-Jumaat#ixzz2XlXPCm00
© Utusan Melayu (M) Bhd


Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.