Kerajaan Negeri Melaka dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka akan mengadakan program memasak bubur lambuk terpanjang pada 18 Julai ini di Melaka Mall.
Timbalan Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau, Datuk Ghazale Muhamad berkata, sebanyak 20,000 bungkus bubur lambuk akan diedarkan kepada orang ramai sekitar negeri ini termasuk di rumah kebajikan. "Program ini juga mendapat kerjasama daripada persatuan pengusaha hotel negeri dan beberapa agensi sambil kita berharap mereka yang berminat dengan program ini untuk turut serta. "Selain itu, kita berhasrat menjadikan program ini tersenarai dalam Malaysia Book of Record (MBR) di samping menyediakan bungkusan bubur lambuk terbanyak," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program pengagihan bubur lambuk oleh Philea Resort & Hotel di jalan Tol Lebuhraya Ayer Keroh di sini semalam.
Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Abdul Kadir Md. Idris dan Pengarah Kewangan Resort, Lim Beng Weh serta Pengarah Komunikasi dan Pemasarannya, Connie Chin. Dalam program sempena meraikan kedatangan Ramadan itu, sebanyak 7,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya.
Sementara itu, Beng Weh berkata, program itu merupakan kali keempat dianjurkan oleh Philea sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain menghargai dan mendekati komuniti di negeri ini. "Penyediaan kesemua bubur lambuk ini bermula pada pukul 2.30 petang yang diketuai oleh Chef Azmi Desa dengan melibatkan bahan -bahan seperti 250 kilogram (kg) beras, 40 kg ayam dan daging dan lain-lain," katanya. Tambahnya, sebanyak 200 bungkus diedarkan disetiap rumah kebajikan anak yatim iaitu Kompleks Rumah Anak Yatim Fatimah Al Zaharah (KAYFAZ) dan Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin (PAYASUM).
No comments:
Post a Comment