Tuesday, January 22, 2013

TPM Selamat Tiba Di Melaka Untuk Lawatan Kerja Sehari

22 Jan 2013, Melaka - Timbalan Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin dan Puan Sri telah selamat tiba di sini untuk lawatan sehari di negeri Melaka.

Ketibaan TPM dan isteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam pada pukul 9.15 pagi disambut Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali bin Rustam. Turut hadir  adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, pemimpin Umno bahagian dan ketua parti komponen Barisan Nasional di negeri ini.

Muhyiddin dijadual menghadiri perjumpaan bersama Barisan Nasional Negeri Melaka di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Melaka di Jalan Hang Tuah pada pukul 9.30 pagi. Pada masa yang sama isteri Timbalan Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan NGO Negeri Melaka di Hotel Avillion di Jalan Hang Tuah.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya menghadiri program Jamuan Makan Tengahari di Sekolah Menengah Tun Abd Malik, Cheng untuk Majlis Penyampaian Bantuan kepada lima buah sekolah pada pukul 12.30 tengahari.

Beliau kemudiannya akan menghadiri Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di MITC, Bandar MITC, Ayer Keroh pada pukul 2.30 petang.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, mengakhiri lawatannya dengan menghadiri Majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru Negeri Melaka di kawasan parkir Kompleks PKNM, MITC, Ayer Keroh, Melaka di sini pada pukul 8.30 malam.

Jangan Buang Masa Melobi Untuk Jadi Calon Pilihan Raya


BAGAN DATOH, 21 Jan –  Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) yang tersingkir daripada menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 dinasihatkan supaya tidak melobi pada saat akhir kerana tindakan itu hanya membuang masa.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka tidak perlu melobi ketua perhubungan negeri, anggota majlis tertinggi atau naib presiden parti untuk menjadi calon kerana beliau percaya Datuk Seri Najib Tun Razak telah mempunyai senarai calon yang sesuai.
“Pada hemat saya Perdana Menteri selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO  telahm empunyai senarai calon yang sesuai bagi menggantikan kawasan-kawasan yang mempunyai calon yang bermasalah,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 bagi kawasan Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Kebangsaan Simpang Empat di sini, Isnin.
Katanya, Najib telah meminta tiga nama yang berpotensi sebagai calon disenarai bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN kira-kira lapan bulan lepas dan sudah pasti Perdana Menteri telah menilai senarai berkenaan.
“Namun terdapat nama-nama yang didapati tidak sesuai untuk menjadi calon walaupun ia dikemukakan oleh kepimpinan akar umbi disebabkan laporan-laporan yang tidak memihak kepada calon berkenaan.
“Yang demikian ada kemungkinan di sesuatu kawasan Parlimen atau DUN terpaksa dicari calon lain,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, calon yang dianggap mempunyai kelebihan mungkin terdiri daripada tokoh akademik, korporat atau tokoh-tokoh lain yang boleh memenangkan sesuatu kawasan yang ditandingi BN.
“Jadi, jangan anggap mereka sebagai calon payung terjun. Itu adalah calon daripada parti,” katanya.


Jangan Buang Masa Melobi Untuk Jadi Calon Pilihan Raya – Ahmad Zahid

Kalimah Allah: Hinanya Majlis Syura PAS Di Mata PR

Pengerusi DAP Pusat, Karpal Singh tanpa berselindung meneruskan asakannya kali ini dengan nada 'merayu' menuntut PAS supaya menarik balik keputusan Majlis Syura Ulama parti itu untuk menghalang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam khususnya dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Bunyinya seperti mendayu-dayu memujuk, tapi ramai yang faham itu hanya isyarat bernada 'lembut' yang jelas kehendaknya. Suka atau tidak, PAS terhimpit antara memartabatkan pendirian rasmi Majlis Syura ataupun mendahulukan kepentingan politiknya dalam PR.
Sebelumnya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali telah tampil dengan kenyataan tegas bahawa pakatan pembangkang, PR tetap kekal dengan keputusan Majlis Pimpinan Tetinggi PR pada 8 Januari 2013 yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah s.w.t dalam kitab Bible.

"Kami terikat dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat yang telah dibincangkan semasa mesyuarat. Dan kerana terikat kepada dasar-dasar itu, kami akan berpegang kepada keputusan itu. Majlis Syura (Pas) tidak berkaitan dengannya," kata Azmin dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada 17 Januari lepas. Demikian hinanya kedudukan Majlis Syura Ulama PAS di mata PKR, sedangkan sebagai rakan sepakatan sepatutnya PKR dan DAP perlu belajar menghormati rakan sendiri sekalipun mereka sudah masak sangat dengan sikap lalang PAS yang kerap berubah pendirian mengikut kehendak politik kepartian.

Jika dilihat dari segi struktur organisasi PAS, kedudukan Majlis Syura adalah yang tertinggi dalam parti berlabel Islam itu. Seandainya PAS mendominasi pengaruh dan kedudukannya dalam PR, tentunya desakan mendayu dari DAP dan kenyataan tegas yang memperlekehkan taraf Majlis Syura oleh PKR tidak akan timbul. Tapi disebabkan kedudukan PAS dalam PR sekarang hanyalah setaraf balaci yang terdesak mahu mencapai angan-angan untuk sama-sama ke Putrajaya bersama PR, maka senanglah DAP dan PKR memanfaatkannya untuk kepentingan mereka. Lagipun Karpal Singh dan Azmin Ali yang diketahui ramai adalah suara rasmi PR dalam isu-isu sensitif, kedua-duanya amat faham benar selagi PAS kekal bersama PR, mahu tidak mahu PAS perlu menurut keputusan muktamad yang telah lama dipersetujui.

Kalau PAS benar-benar jantan dan bermaruah, sudah lama mereka tinggalkan PR dan tidaklah termalu sendiri dengan pendirian flip flop Mursyidul Am dan Presiden PAS sekejap patuh kehendak PR dan kemudiannya bila teruk dikecam khalayak barulah menyerahkan keputusan selanjutnya kepada Majlis Syura pula. Antara kemahuan politiknya utk kekal dengan PR dan kesucian kalimah Allah s.w.t yang wajib dipertahankan, telah meletakkan PAS dalam keadaan tersepiot dan terhimpit. Inilah bahananya apabila satu kerjasama politik yang longgar hanya ditemukan dengan titik persamaan berkongsi musuh yang sama sahaja.

Tatkala kerjasama dalam BN wujud demi membangunkan negara & rakyat, PR pula yang menggabungkan DAP, PKR dan PAS atas asas rapuh seringkali diselubungi isu-isu yang tidak berkesudahan dan masing-masing pula langsung tiada sikap hormat menghormati sesama sendiri.

Bila sudah demikian, tak sukar untuk rakyat jangkakan yang negara ini akan berantakan sepanjang masa sekiranya PR diberi peluang walau sepenggal pun untuk memerintah tanahair tercinta ini. 

Monday, January 21, 2013

Isu Air: Azizan Tak Berani Mengadap Guan Eng


Belanjawan Kedah 2013 yang dibentangkan baru-baru ini, menunjukkan anggaran hasil sebanyak RM640.55 juta manakala perbelanjaan pula dianggar berjumlah RM656.5 juta.  Ini menjadikan menjadikan anggaran defisit fiskal negeri berjumlah RM15.95 juta.   Bagaimanapun, anggaran ini dibuat secara 'mimpi' iaitu mungkin dicongak-congak sendiri oleh kepimpinan negeri tanpa mengambilkira faktor realiti.  

Jumlah defisit tersebut mengambilkira anggaran hasil dari jualan air mentah kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjumlah RM33.8 juta dan juga kepada kerajaan negeri Pulau Pinang berjumlah RM20 juta.  Seperti yang dikatakan, semua ini hanyalah 'mimpi' Dato' Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah semata-mata.  Kita menyatakan ia sebuah mimpi kerana sehingga bajet tersebut dibentangkan, Azizan hanya syok sendiri tersenyum-senyum mengenangkan hasil yang bakal diperolehi tanpa mengambil langkah untuk merealisasikannya.  

Mungkin Azizan tidak tahu bahawa bajet negeri bukannya untuk syok sendiri, tetapi untuk kesejahteraan rakyat.  Apabila kita bermain dengan angka maka ia perlu ada logiknya kerana angka matematik atau ekonomi bukannya perkara seni yang boleh dibentangkan berdasarkan imaginasi.    Kiraannya perlu tepat dan bersandarkan fakta yang nyata.  Sekiranya ia diletakkan sebagai anggaran, maka anggaran juga perlu dibuat berdasarkan logik.  Justeru, di manakah logik bajet yang dibentangkan Azizan jika tiada sepatah perbincangan, tiada satu pun pertemuan atau sehelai pun surat yang boleh dijadikan sandaran bagi anggaran hasil yang dibentangkan?   

Amatlah menghairankan apabila selepas bajet tersebut dibentangkan serta dikritik hebat, kerajaan negeri Kedah masih tidak mengambil langkah untuk berbincang dengan kerajaan negeri Pulau Pinang berkenaan hasrat untuk mengenakan bayaran kepada air yang dibekalkan kepada negeri tersebut.  

Sebaliknya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, atau gelaran terhormatnya, Tokong, hanya mengetahui akan hasrat Kedah ini melalui pembentangan bajet tersebut.   Tentu sekali, Tokong Lim amat terkejut dan marah.  Dan sudah tentu sekali beliau tidak bersetuju kerana ia melibatkan kerugian di pihaknya. Amalan manusia biasa dalam berurusan jual beli, haruslah melalui proses pertemuan atau perbincangan dan mungkin juga tawar menawar.  Jika kedua-dua pihak bersetuju, barulah urusan tersebut boleh diteruskan dan barulah proses anggaran jumlah kewangan yang bakal terlibat boleh dibuat.  Apabila semua pihak berpuas hati, wang dan barangan pun bertukar tangan, barulah ia dianggap selesai.  Selagi tidak selesai, ia masih dirujuk sebagai anggaran.  

Namun, satu pun dari proses di atas tidak berlaku dalam isu penjualan air ini, melainkan dalam mimpi Azizan.  Tindakan kerajaan negeri Kedah ini seolah-olah tidak beradab, tidak beretika dan tidak professional.   Nampak benar yang Azizan dan pegawai-pegawainya kekok serta tidak tahu di mana kedudukan mereka.  Azizan bukannya pegawai bawahan dan exco-exco negeri bukannya pekerja kilang atau kerani kerajaan.   Azizan wajib mengadakan pertemuan dengan kepimpinan negeri Pulau Pinang apatah lagi apabila kepimpinan negeri tersebut telah menempelak Azizan secara terbuka kerana isu ini.  

Apakah Azizan takut dengan Tokong Lim?  Ini tidak mustahil kerana sudah termaklum bahawa PAS amat takut kepada Tokong-tokong DAP serta rela memperhambakan diri kepada mereka asalkan Tokong tidak menyepak PAS keluar dari Pakatan Rakyat.  Jika kita lihat Azizan begitu garang dengan wartawan dan orang-orang UMNO, kenapa Azizan tidak mampu membawa sikap yang sama dalam bekerja?   Di manakah keberanian Azizan yang kita lihat di dalam televisyen itu?  Justeru benarlah desas-desus yang didengar mengenai Azizan yang mempunyai masalah 'inferiority complex'.   Buktinya, setelah empat tahun memerintah, Azizan langsung tidak pernah mengambil masa untuk membuat perjumpaan dengan para pelabur asing di negeri tersebut.  Jika di bawah BN, Menteri Besar Kedah mengunjungi pelabur beberapa kali setahun bagi mendengar sendiri masalah mereka, tetapi kini pelabur hanya berpeluang bertemu dengan wakil MB sahaja, atas alasan MB sekarang bukan lagi Pengerusi kepada Kulim Technology Park Corporation, syarikat pemaju projek tersebut.  

Nampaknya, Azizan tidak tahu skop dan kapasitinya sebagai seorang MB, jauh sekali memahami nilai signifikan satu-satu pelaburan langsung asing kepada sebuah negeri.   Ramai yang berkata bahawa Azizan enggan berjumpa pelabur asing kerana takut kelemahan beliau mengenai ekonomi dan pentadbiran negeri terserlah.   Begitu juga kesnya dengan Tokong Lim, di mana Azizan bimbang beliau tidak mampu menangani proses tawar-menawar yang bakal berlangsung dan Tokong akan melihat sendiri bahawa Azizan tidaklah sehebat mana.   

Sebenarnya, masalah 'inferiority complex' wujud dengan segar di dalam PAS.  Masalah itulah yang menjadi akar kepada sifat mengalah PAS tatkala bersemuka dengan DAP.  PAS tidak mampu berhujah dengan baik, dan dengan yakin, kerana tidak punya pergaulan, pengetahuan dan pengalaman yang luas, selain sifat rendah diri semulajadi yang ada di dalam diri orang Melayu.   Kerana itu, PAS hanya berani dengan UMNO, iaitu yang satu bangsa dengannya.   PAS berdengki dengan UMNO kerana walaupun sebangsa tetapi UMNO tampak lebih yakin dan bergaya serta tidak kekok untuk bersaing.   Bukan seperti PAS yang hanya mampu bermegah soal agama, itupun separuh masak saja.  

Justeru, secara tidak langsung rakyat di bawah kerajaan pimpinan PAS juga terpaksa menurut jejak MB mereka melutut kepada Tokong.  Jika di Kelantan mereka melutut pada Tokong Ngeh dan Nga, di Kedah terpaksa  berhadapan dengan Tokong segala Tokong iaitu Lim Guan Eng.   Bak kata seorang bekas pemimpin DAP, seseorang tidak tentu lagi akan selamat dengan  menyembah begitu banyak tokong tetapi tidak menyembah Tokong yang satu ini.  

Jika beginilah keadannya, nampaknya jika PR menjadi kerajaan, kita tidak mungkin akan berpeluang menyaksikan pemerintahan Ulama, tetapi pemerintahan Tokong!

Apa dah jadi!!!! PAS Akan Umum Keluar Pakatan Rakyat?

Suka atau tidak, PAS perlu menerima hakikat kehadirannya dalam gabungan longgar pakatan pembangkang, PR tidak membawa sebarang kesan signifikan yang bermanfaat untuk kepentingan agama Islam dan umatnya di negara ini.

Dalam banyak keadaan, PAS lebih banyak beralah dan terpaksa menggadaikan prinsip perjuangannya sendiri semata-mata untuk menjaga hati rakan sepakatan. Di masa yang sama DAP dan PKR berterusan menuntut PAS berubah mengikut corak yang mereka tentukan. Demikian halnya dalam isu tuntutan kalimah Allah s.w.t untuk diguna pakai dalam kitab Bible versi Bahasa melayu yang kembali dihangatkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa beliau menyampaikan perutusan Kristmas 2012 tempohari.

Gara-gara isu itu PAS bagaikan tersepit diantara keperluan menjaga kesucian agama Islam dengan tuntutan politik PR. Bagaikan lembu yang dicucuk hidung akhirnya PAS mengalah lagi dan menurut sahaja tuntutan itu untuk dijadikan dasar rasmi PR. Berikutan desakan demi desakan bertali arus dari luar dan dalam parti, PAS kemudiannya cuba menunjukkan kejantanannya kepada DAP dan PKR dengan merubah semula keputusan dari setuju kepada sebaliknya. Namun langkah PAS melalui Majlis Syura Ulamanya yang bersidang pada 13 Januari 2013 itu bagaimanapun dipandang sepi seolah-olah tiada nilainya di mata PR apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menegaskan PR tetap berpegang pada keputusan 8 Januari 2013.

"Isu Allah telah selesai dan tidak pernah berubah. Baru-baru ini, Presiden Pas mengesahkan kedudukan Pas dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat pada 8 Jan, dan ia adalah sama seperti pada tahun 2010. "Kami terikat dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat yang telah dibincangkan semasa mesyuarat. Dan kerana terikat kepada dasar-dasar itu, kami akan berpegang kepada keputusan itu. Majlis Syura (Pas) tidak berkaitan dengannya," tegas Azmin ketika sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada 17 Januari lepas. 

Maksudnya, apa sahaja keputusan Majlis Syura Ulama PAS, ia tidak mengubah pendirian PR yang telahpun dipersetujui oleh Presiden PAS pada 8 Januari 2013 untuk membenarkan orang bukan Islam khususnya penganut Kristian menggunapakai kalimah Allah s.w.t dalam kitab Bible. Pendirian PR seperti yang ditegaskan oleh Azmin itu tentunya meletakkan PAS sekali lagi terumbang ambing dan serba salah, namun itulah akibat yang perlu diterima bila mana PAS selama ini terlampau mendahulukan kepentingan politik berbanding keutamaan pada agama. Menyedari situasi semasa PAS dalam gabungan PR sudah sama seperti balaci dan pencacai yang sering diarah itu dan ini, muncullah suara-suara lantang di kalangan kepimpinan PAS menuntut parti itu mengambil keputusan tegas demi kepentingan agama dan maruah parti.

Golongan pendesak ini mahukan PAS segera keluar daripada gabungan liberal PR dan kembali bergerak sendirian kerana percaya itulah langkah terbaik untuk mengembalikan semula jatidiri PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Mereka sudah selangkah di hadapan apabila desakan merubah keputusan dan pendirian PAS dalam isu kalimah Allah s.w.t sudah membuahkan sedikit hasil. Sekiranya desakan drastik yang diusulkan itu turut mendapat sokongan meluas, berkemungkinan PAS bakal mengumumkan langkah drastik keluar dari PR.

Namun demikian, selama mana golongan pendesak perubahan ini mampu bertahan sukar ditentukan memandangkan hampir di setiap peringkat kepimpinan PAS dari bawah ke atas sebahagian besarnya sudah dikuasai oleh pemimpin PAS yang berkiblatkan ideologi Anwarinas.

Friday, January 18, 2013

DAP pengecut!!! Cuba 'tutup' isu salah kira

DAP cuba 'tutup' isu salah kira


DAP didakwa cuba menutup 'perkara sebenar' dalam proses pengiraan undi Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) apabila enggan mengadakan pemilihan semula.

Bekas Ketua Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat mendakwa, walaupun didesak oleh ahli-ahli parti, DAP terpaksa 'menyembunyikan' isu berkenaan atas faktor-faktor tertentu.

"Apa yang sedang disembunyikan oleh mereka? Memang semua tahu terdapat unsur manipulasi dalam pemilihan itu, kenapa tidak mahu bersikap telus seperti slogan-slogan mereka?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130118/po_06/DAP-cuba-tutup-isu-salah-kira#ixzz2II4nCH9E
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PRU13: Melayu perlu bersatu sekarang - Tun Mahathir

Melayu perlu bersatu sekarang




SHAH ALAM 17 Jan. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu perlu bersatu sekarang bagi memastikan kerajaan sedia ada kembali mendapat sokongan dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Bekas Perdana Menteri berkata, seruan itu dilakukan kerana pihaknya mendapati orang Melayu pada masa ini tidak bersatu dan tidak memberikan sokongan penuh kepada kerajaan.

Beliau berkata, keadaan itu boleh menyebabkan kemungkinan orang Melayu di negara ini akan hilang pengaruh dalam kerajaan.
''Orang Melayu perlu bersatu dengan tujuan satu, bersatu dengan tujuan berlainan susah juga. Melayu tidak bersatu sekarang, sebab itu saya cakap macam itu tadi, mereka tidak menyokong penuh kerajaan. Oleh sebab itu, mereka perlu bersatu sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Bicara Minda Tun Dr. Mahathir Mohamad: Masa Depan Melayu dan Islam Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 di sini hari ini. Yang hadir sama isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Dr. Mahathir berkata, dalam menghadapi pilihan raya umum, orang Melayu mempunyai ruang untuk membuat keputusan sama ada yang boleh memberikan kebaikan kepada mereka atau sebaliknya.
Dalam hal ini beliau menjelaskan, bagi meramalkan apakah masa depan orang Melayu, hanya terdapat dua pilihan bagi kaum tersebut untuk membuat keputusan iaitu bagi yang sedar akan bertindak mempertahankan kedudukan sekarang.

Keduanya kata beliau, orang Melayu yang tidak sedar menganggap mereka juga akan maju sebagai rakyat Malaysia tanpa memberikan penekanan kepada soal identiti kemelayuan. ''Bagi pendapat saya walaupun sudah ada orang Melayu berjaya tetapi umumnya ramai yang tidak berjaya. Mereka mungkin tidak akan berjaya kalau tidak diberikan tongkat atau pertolongan.

''Kita percaya kejayaan orang Melayu menakjubkan tetapi belum tahu kalau tidak diberikan pertolongan dari awal mereka akan berjaya," katanya.

Beliau berkata, generasi baharu kini didapati merasakan ketakutan dan perasaan tertekan orang Melayu ketika bersatu melawan Malayan Union sudah tidak ada lagi kerana perkara yang dikehendaki oleh mereka sudah tercapai.

''Kesedaran timbul dengan ditekan, bila ditekan kita respons, maka akan rapatkan barisan dan bersatu padu dan wujudnya perpaduan. Inilah yang dapat menolak Malayan Union sehingga akhirnya British terima cadangan Persekutuan Tanah Melayu," katanya.

Justeru katanya, masa depan orang Melayu pada hari ini bergantung kepada kebolehan mereka membuat pertimbangan berasaskan kepada apa yang telah berlaku pada masa lalu.

''Orang Melayu kena fikir mendalam tentang bagaimana untuk menyelamatkan dan memajukan masa depan kita. Bagi negara demokrasi, banyak bergantung kepada pemilihan tentang siapa yang mampu mentadbir negara.

''Kalau kita bertindak berasaskan kepada emosi dan perasaan kebencian, saya yakin masa depan tidak terjamin. Bagaimanapun sebaliknya, jika kita fikir secara mendalam berasaskan sejarah dan pengalaman, saya yakin kita boleh membuat pilihan bijak, sekali gus masa depan selamat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130118/po_03/Melayu-perlu-bersatu-sekarang#ixzz2IHyjcPRH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.