Wednesday, April 3, 2013

Terkini: Laporan Penuh Ucapan PM-Bubar Parlimen #PRU13

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa Rabu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung melalui televisyen, Najib berkata beliau telah menghadap dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk membubarkan Parlimen Ke-12 Selasa.

Beliau turut menasihati semua kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April 2011 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 55 daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Berikutan pengumuman pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.

Mandat kerajaan semasa akan berakhir pada 28 April 2013.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Berdasarkan daftar pengundi terkini, jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara ialah 13.3 juta orang yang berdaftar sehingga Disember 2012.

Sejumlah 222 kerusi parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini termasuk termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi DUN, akan dipertandingkan di peringkat negeri.

Ketika Parlimen dibubarkan, komposisi di Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), PAS (23) ,Parti Keadilan Rakyat (PKR) (23) kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.

Pada pilihan raya umum 2008, BN gagal menguasai majoriti dua pertiga Dewan Rakyat setelah hanya menang 140 kerusi berbanding pakatan pembangkang 82 kerusi.

Selain gagal menguasai Kelantan, BN juga gagal mempertahankan pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Perak bagaimanapun kembali kepada BN kira-kira setahun kemudian setelah tiga wakil rakyat yang dipilih mengisytiharkan sokongan mereka kepada BN.

Pilihan raya umum kali ini ialah yang pertama buat Najib yang akan memimpin jentera BN selepas mengambil-alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

Bagi SPR pula, ia akan melaksanakan lapan elemen baharu dalam pilihan raya umum kali ini sebagai langkah penambahbaikan perjalanan pilihan raya selaras dengan cadangan yang terkandung dalam laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya yang dibentangkan di Parlimen pada 3 April lepas.

Lapan elemen itu termasuk penggunaan dakwat kekal, pengundian awal untuk menggantikan undi pos bagi anggota polis dan tentera, membenarkan undi pos bagi masyarakat Malaysia di luar negara dan warga media serta dan menetapkan tempoh kempen tidak kurang 10 hari.

Selepas pilihan raya umum ke-12, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan, ekoran kematian dan peletakan jawatan, iaitu enam bagi kerusi parlimen dan 10 kerusi DUN, yang menyaksikan masing-masing lapan kerusi dimenangi BN dan pembangkang.

Pilihan raya kecil Parlimen ialah bagi kerusi Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi manakala pilihan raya kecil DUN ialah di Bukit Selambau, Batang Ai, Manek Urai, Permatang Pasir, Penanti, Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Jumlah pilihan raya kecil berkenaan antara yang terbanyak dalam sejarah pilihan raya negara selepas penggal 1995 hingga 1999 menyaksikan 17 pilihan raya kecil diadakan. -Bernama
 


No comments:

Post a Comment

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.