KUALA LUMPUR 17 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) hampir selesai dalam urusan pembahagian kerusi membabitkan parti-parti komponen untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN menjelaskan, sebahagian besar calon dalam pilihan raya umum tersebut juga telah ditentukan dengan mengambil kira kebolehan serta penerimaan calon terbabit di kawasan masing-masing.
"Kita (BN) kini menumpukan kepada kesiapsiagaan untuk berdepan pilihan raya umum akan datang. Masanya akan tiba tidak lama lagi. Oleh itu, semua parti dalam BN telah diberikan panduan jelas untuk berdepan pilihan raya.
"Soal pembahagian kerusi, ia sudah hampir selesai. Penentuan calon-calon, sebahagian besar telah ditentukan. Keperluan-keperluan lain turut dibincangkan seperti manifesto dan logistik," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Najib berkata, BN akan menggandakan usaha untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi memberikan semangat dan keyakinan kepada jentera parti. Ditanya mengenai penerimaan rakyat terhadap BN, beliau berkata, ramai pihak menyatakan penerimaan tersebut semakin bertambah dan positif.
Namun jelas beliau, BN sedar bahawa ketika berdepan dengan pilihan raya umum, beberapa faktor boleh mempengaruhi segala-galanya.
Oleh itu, tegas Najib, BN tidak harus mudah berasa selesa atau terlalu yakin seolah-olah tiada apa-apa yang mampu menggugat kedudukan parti. Menjawab soalan mengenai laporan akhbar yang mengatakan Parlimen akan dibubarkan sebelum 21 Mac ini selaras dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, katanya: "Penggal terakhir Parlimen adalah 28 April. Tidak mengapalah, DUN Johor, DUN Johor."
Dalam perkembangan lain, beliau ketika ditanya mengenai perkembangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah, mahu semua pihak tidak membuat kesimpulan sendiri kerana proses perbicaraan masih berjalan.
Katanya, proses perbicaraan baharu bermula dan terdapat 167 orang saksi akan dipanggil untuk perbicaraan. "Tiada masalah untuk memberikan kerakyatan asalkan mengikut undang-undang. Negara lain juga mempraktikkan perkara sama. Ia bukan isu besar.
"Kredit seharusnya diberikan kepada BN kerana berani membentuk suruhanjaya ini untuk menyelesaikan masalah yang menjadi perhatian rakyat Sabah sejak sekian lama," tambahnya.
Agihan kerusi hampir selesai - Najib
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130118/po_02/Agihan-kerusi-hampir-selesai---Najib#ixzz2IHsezSO8
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment