Tuesday, March 5, 2013

Manifesto: Kenapa Pakatan Rakyat Tolak Hudud?

Bagi Anwar Ibrahim, Manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan awal minggu ini dikira akan memberi semangat baru kepada penyokong Pakatan Rakyat (PR) untuk masuk ke gelanggang PRU 13 dengan penuh keyakinan dan bertenaga.

Paling penting Ketua Umum PKR itu mengharapkan segala janji bombastik yang ditabur dalam manifesto rasmi PR tersebut berupaya menenggelamkan fokus khalayak dari terus membicarakan siapa akan menjadi Perdana Menteri sekiranya PR memenangi PRU 13.

Namun harapan hanya sekadar harapan. Manifesto itu tidak hanya menimbulkan pertikaian umum mengenai kemampuan PR untuk menepatinya, malah ia juga mengundang satu lagi masalah besar apabila agenda perlaksanaan hukum hudud tidak mendapat tempat dalam manifesto PR.

Persoalan demi persoalan terus membelenggu minda penyokong PAS, mengapa dan kenapa isu hudud tidak diberi perhatian khusus dalam manifesto PR, sedangkan selama hampir berpuluh tahun lalu isu itulah yang menjadi talian hayat kepada perjuangan PAS.

Tiada guna sebenarnya penyokong PAS menyesakkan kepala mencari jawapannya kerana kenyataannya sudah berada di depan mata. Baru-baru ini Anwar sendiri semasa pertemuan dengan sekumpulan 200 orang pemimpin masyarakat Cina pro DAP dan PKR, telah menegaskan isu perlaksanaan hudud tiada tempat dalam dasar PR.

Malah dalam kenyataan terbaru Anwar juga mengulangi pendirian yang sama apabila memberi jaminan bahawa PR tidak akan melaksanakan undang-undang hudud apabila ia berkuasa dengan alasan mana-mana dasar yang dibuat mesti mematuhi perlembagaan persekutuan dan dipersetujui oleh ketiga-tiga parti.

Para pemimpin PAS yang sudah gelap mata termimpi-mimpikan Putrajaya bersama PR tentu sahaja tidak berani menyanggah pandangan Anwar apatah lagi bila mana Anwar sendiri mengarahkan supaya isu hudud jangan sesekali diungkit apatah lagi dimasukkan dalam manifesto PR.

Tindakan itu dalam konteks kepentingan politik PR memang betul, sementelah lagi Anwar pun tahu isu hudud hanyalah mainan politik PAS sebagaimana diakui oleh Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah yang menyatakan isu hudud hanya berbaloi dimanipulasikan di negeri yang ramai orang Melayu, jika sebaliknya akan ada backfire dari pengundi bukan Islam.

Anwar tahu majoriti penyokong Cina DAP dan PKR pastinya akan menjarakkan diri dari PR jika isu hudud terus berbangkit. Menyelitkan agenda hudud dalam manifesto bukan sahaja akan bertentangan dengan dasar sekular DAP dan PKR, malah seumpama menggantung tali ke leher sendiri.

Kemudiannya, kenyataan oleh bekas Ketua hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada akhir Januari lepas yang menyebut 90% undang-undang Malaysia sudah menepati kehendak syariah, dijadikan pula sebagai alasan tambahan oleh pemimpin PKR dan DAP untuk menyokong pendirian PR menolak agenda perlaksanaan hudud.

Kononnya dengan berbuat demikian, bermakna keseluruhan 100% undang-undang negara ini akan menjadi Islamik dan senario ini dilihat oleh pimpinan PR akan menimbulkan ketakutan penyokong Cina DAP dan PKR, sekaligus merencatkan usaha PR untuk menawan Putrajaya.

Kegagalan PAS memastikan agenda hudud diberi perhatian oleh PR memang agak mengecewakan penyokongnya di peringkat akar umbi. Mereka menjadi malu alah dan kelu lidah untuk berdepan orang ramai bila mana perlaksanaan hudud ditolak dari menjadi agenda rasmi PR.

Memang patut mereka malu, itu pun benar mereka ada perasaan malu. Mereka sepatutnya sedar selama berpuluh tahun isu hudud di jaja ke sana sini oleh PAS nawaitu utamanya hanya untuk kepentingan politik kepartian sahaja.

Jika PAS benar-benar serius sebagaimana kelihatan seriusnya PAS ketika menabur janji dan menjaja isu hudud kepada khalayak, kenapa pula tidak mampu bersungguh-sungguh untuk mempengaruhi sekutu-sekutunya dalam pakatan supaya menjadikan hudud sebagai agenda rasmi dalam Manifesto PR?

Atau pun paling tidak, untuk membuktikan kesungguhan PAS, kaedah lainnya ialah dengan meletakkan calon-calonya bertanding di minima 167 kerusi Parlimen dengan harapan 148 daripada berjaya dimenanginya. Bila keadaan itu berlaku PAS boleh meminda Perlembagaan sekaligus merintis jalan ke arah perlaksanaan hudud. Ada berani?

PAS takkan berani melakukannya kerana nawaitu utama PAS hanya untuk memanipulasi hukum hudud untuk kepentingan politik semata-mata, sebab itu bila ditanya bila hudud akan dilaksanakan di Terengganu semasa PAS memerintah negeri itu dulu, Abdul Hadi Awang memberi jawapan bahawa hudud hanya 0.0001% sahaja dari ajaran Islam.

Nah sekarang, hudud yang 0.0001% itulah yang dulunya di jaja untuk mendapat laba keuntungan politik PAS, kini hudud yang 0.0001% itu jugalah menjadi senjata makan tuan seumpama boomerang tepat ke dahi sendiri. Dengan PAS dan PR sekali akan padam riwayatnya dalam PRU 13 nanti.
 

No comments:

Post a Comment

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.