Friday, October 25, 2013

PRK Sungai Limau: Menghayati Makna ‘Berani Hijrah’

Kempen BN di Sungai Limau di bawah pimpinan Dato' Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi BN Kedah memperkenalkan slogan 'Berani Hijrah' dalam strategi mendekati masyarakat kawasan tersebut.   Slogan tersebut dilihat selaras dengan slogan 'Berani Berubah' yang dibawanya dalam kempen pemilihan UMNO sebelum ini.
 
Hijrah dan berubah yang dimaksudkan pastilah merujuk kepada sesuatu yang lebih baik.  Namun, tanpa sebarang kupasan, tentu sukar bagi masyarakat Sungai Limau untuk memahaminya secara mendalam.  Mungkin ramai yang melihat perkataan 'ubah', 'perubahan', 'transformasi', 'reformasi' atau 'hijrah' adalah sekadar bermakna bertukar dari satu parti ke parti lain atau satu individu ke individu lain.   Mungkin ada yang berfikir lebih sedikit dan melihatnya sebagai satu usaha untuk menambahbaik atau menukar sistem atau cara pentadbiran.
 
Namun, 'hijrah' yang dimaksudkan oleh Dato' Mukhriz adalah melangkaui apa yang dapat dilihat dengan mata kasar.  Bagi memahaminya, kita perlu melihat dari keperibadian Dato' Mukhriz sendiri yang terkenal sebagai lelaki budiman.   Ini satu hakikat yang tidak dapat dinafikan walaupun oleh musuh-musuhnya sepertimana musuh-musuh bapanya tidak boleh menafikan kebijaksanaan Negarawan Ulung itu.
 
Dato' Mukhriz tidak pernah 'terlepas laku' sepertimana beberapa pemimpin kita hari ini. Kita tidak dapat membayangkan beliau berkasar, apatah lagi memaki hamun atau menjerit melompat dalam apa jua keadaan atas alasan 'berjuang'.  Beliau pernah diherdik secara berhadapan oleh ahli PAS, tetapi beliau hanya tersenyum.  Beliau sering menjawab sindiran dengan lembut.  Apabila beliau menyerang, beliau menyerang dengan fakta, itu pun dengan lembut juga iaitu kualiti yang pastinya diwarisi dari Tun Mahathir yang dikasihi.
 
Namun, dalam kelembutan Tun Mahathir terdapat senjata yang tajam untuk membalas serangan manakala Mukhriz belum ada keperluan untuk berbuat demikian ataupun belum masanya lagi.  Oleh itu, sifat itu belum dapat dilihat dalam dirinya atau kemungkinannya tidak ada.   Tidak mungkin beliau mewarisi bapanya seratus peratus.
 
Di dalam politik juga sama saja, yang samseng, yang 'taiko' dihormati manakala yang dedikasi, bijak dan kurang bercakap dipandang sepi.  Maki hamun dan cakap-cakap lucah sudah menjadi perkara biasa di mana-mana saja.  Mungkin ada yang menganggap ini sesuatu yang elok kerana tiada lagi 'kasta' antara bangsawan dengan tidak.  Justeru, Malaysia semakin hari semakin hilang kehormatannya.  Sedikit demi sedikit kita mengundur ke belakang dari segi ketamadunan dan kemanusiaan.  Sedangkan di dalam Islam, manusia yang tinggi darjatnya adalah manusia yang beradab.
 
Maka inilah 'Hijrah' yang perlu dilakukan iaitu ke arah menjadi manusia yang lebih baik. Tidak guna 'berebut' perkataan Islam atau mempertahankan Kalimah Allah jika diri sendiri bersikap bagai manusia di zaman jahiliah.  Apa ada pada jubah, serban dan tudung kepala jika tutur kata bersalut najis? 
 
Kita percaya, masyarakat Sungai Limau mampu melakukan hijrah ini bersama Dato' Mukhriz.  Tolaklah mereka-mereka yang gemar memaki-hamun.  Ingatlah bagaimana mereka memaki Almarhum Tan Sri Azizan ketika sihat sehinggalah ketika beliau terlantar sakit dan seterusnya tenat, hanya kerana mereka tidak dapat merebut jawatannya.
 
Walaupun beliau merupakan musuh politik, tetapi Dato' Mukhriz tidak sanggup membiarkan nama beliau diaibkan, dan Dato' Mukhrizlah yang tampil membela beliau di dalam Dewan.  Ini boleh dirujuk sendiri dalam hansard DUN Kedah.  Inilah keperibadian pemimpin Islam sebenar iaitu menolak mengaibkan musuh, menolak kempen dengan cara memfitnah dan maki hamun serta enggan menjawab serangan peribadi kerana ia tidak membawa kebaikan kepada sesiapa pun jua.
 
InsyaAllah, Allah SWT akan memberkati masyarakat yang beradab.  Ingatlah bahawa adab adalah dakwah yang pertama dan paling terkesan kepada manusia berbanding ceramah.

No comments:

Post a Comment

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.