Pergerakan Puteri UMNO meminta Tabung Haji (TH) bersikap lebih sensitif dari awal urusan jual beli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)
Pelbagai isu mengenai pengurusan risiko harus dibincangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan membabitkan dana awam diputuskan walaupun disifatkan dapat memberi keuntungan kepada rakyat untuk jangka masa panjang. Puteri UMNO tidak mahu sebarang kes 'sudah terhantuk baharu tengadah' seperti yang berlaku dalam isu pembelian tanah ini berulang pada masa hadapan yang dilihat boleh mengurangkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).
Seperti sedia maklum, pada tengah hari Sabtu, Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim memaklumkan mendapat nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjual balik tanah TRX yang dibeli dari 1MDB dengan harga RM188.5 juta ekoran kontroversi. Bagaimanapun, kenyataan Azeez bahawa kini sudah ada tiga pembeli yang berninat dan TH dijangka akan mengaut keuntungan melalui transaksi tersebut disifatkan melegakan dan menguatkan hujah Azeez untuk mengelakkan fitnah pembelian itu yang didakwa demi menyelamatkan 1MDB. Pergerakan Puteri UMNO juga tetap bertegas tidak akan bertoleransi dengan sebarang usaha atau langkah pembelian apa sahaja hartanah dan aset oleh mana-mana agensi berkepentingan rakyat dan kerajaan dengan menggunakan dana awam tanpa penerangan terperinci kepada masyarakat.
Bagaimanapun, Puteri UMNO tetap mahu pihak mana-mana berkenaan memberi penjelasan terperinci terhadap apa juga alasan yang diberi walaupun pada awalnya ia dikatakan pelaburan jangka masa panjang sekali gus menguntungkan pendeposit serta TH sendiri di dalam operasi mereka. Pembabitan 1MBD didalam transaksi ini sebenarnya masih menimbulkan tanda tanya pada saat syarikat itu sendiri masih dibelenggu kemelut dan di dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Puteri UMNO menggesa satu kajian komprensif terhadap sebarang urusniaga dengan agensi kerajaan melibatkan dana awam membabitkan 1MDB yang mungkin diteruskan pada saat ia masih di dalam siasatan PAC selain banyak dikritik serta dipersoal masyarakat termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri. Puteri UMNO tidak mahu transaksi urus niaga di antara TH dan 1MDB ini menjadi faktor pengurangan sokongan rakyat terhadap kerajaan BN, kerana itu bukan sahaja TH, namun kedua-dua agensi perlu memberi penerangan dan pemahaman kepada masyarakat terhadap tindakan mereka sebelum ini.
Seperti diketahui juga, beberapa nama di dalam pengurusan tertinggi TH yang mempunyai kaitan dengan 1MDB turut menjadi persoalan. Dalam isu berkaitan, Puteri UMNO mahu mana-mana individu yang mempunyai kepentingan di dua syarikat melibatkan kerajaan dan dana awam dikaji semula untuk mengelakkan konflik kepentingan dan sikap bias individu yang berkenaan dalam membuat keputusan. Umum juga sedia maklum proses penyiasatan terhadap 1MBD sudah berada di fasa terakhir dan sebarang isu yang timbul hanya akan mengganggu siasatan selain memburukkan persepsi terhadap agensi berkenaan. Sebagai cadangan, Puteri UMNO melihat TH seharusnya perlu memberi sedikit masa dan menunggu siasatan PAC terhadap 1MDB selesai sebelum mengambil keputusan mengumumkan pembelian tanah yang dikatakan membawa keuntungan jangka masa panjang berkenaan.
TH perlu memaklumkan alasan tidak mengumumkan keputusan mereka yang tidak mengumumkan pembelian tanah TRX pada awal urusniaga agar masyarakat mempunyai kefahaman terhadap keputusan TH itu selari dengan agensi pelaburan seumpamanya di negara ini. Pada pemikiran saya, pendeposit harus memberi kepercayaan kpd tabung haji apabila organisai tersebut telah mentadbir TH dgn baik sebelum ini. Pendeposit akan mendapat dividen yg tinggi. Namun dalam usaha meraih semula kepercayaan pendeposit, TH harus memberikan penjelasan yg lebih meyakinkan dalan isu urusniaga pembelian tanah tersebut.
Bagaimanapun, sedikit persoalan mengenai kadar semasa tanah juga perlu diberi penjelasan kerana pendeposit merasakan dana pembelian itu melibatkan wang mereka sendiri agar situasi menang-menang diterima daripada pihak kerajaan, agensi terlibat dan sentiasa mengutamakan isi hati rakyat pada akhirnya.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri UMNO
Ahli Parlimen Masjid Tanah
No comments:
Post a Comment