Wednesday, August 4, 2010

Bekas ADUN maut dengan kesan tembakan bersama bekas pembantu peribadi

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permatang, Selangor, Datuk Abdul Aziz Mohd. Noh, 64, dan bekas pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, 43, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala masing-masing dalam sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 455.7, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Abdul Aziz adalah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanjung Karang manakala Siti Rohana merupakan Naib Ketua Wanita UMNO bahagian itu.

Kedua-dua mayat mangsa ditemui di dalam kereta jenis Toyota Caldina yang terbabas di pembahagi lebuh raya berkenaan pada pukul 11 pagi.

Ketika kejadian, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan dari pejabat Abdul Aziz di Petaling Jaya menuju ke Tanjung Karang untuk menghadiri mesyuarat.

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38, dua butir peluru belum digunakan dan tiga kelongsong peluru dalam kereta berkenaan.

Senjata yang ditemui itu disahkan milik Abdul Aziz manakala kereta Toyota Caldina tersebut pula kepunyaan Siti Rohana namun dipandu oleh Abdul Aziz semasa kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan awal polis pada mayat kedua-dua mangsa mendapati terdapat kesan tembakan di kepala mereka.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati tembakan tersebut dilepaskan dari bahagian dalam kenderaan dinaiki mangsa.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia adalah satu kes bunuh dan bunuh diri.

"Laporan bedah siasat awal mendapati terdapat satu kesan peluru di kepala Abdul Aziz manakala dua kesan peluru dikesan di kepala Siti Rohana," katanya dipetik dalam laman sosial Facebook di sini hari ini.

Khalid turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kes terbabit memandangkan beberapa saksi di tempat kejadian mengesahkan tidak melihat individu lain dalam kereta berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sungai Buloh memberitahu, beberapa saksi di tempat kejadian memberitahu melihat kereta dinaiki Abdul Aziz dan Siti Rohana terbabas dari kanan ke kiri sebelum melanggar besi pembahagi di tengah lebuh raya.

Dalam pada itu, bilik mayat Hospital Sungai Buloh di sini menjadi tumpuan anggota keluarga Abdul Aziz, ahli-ahli UMNO serta rakan-rakan Allahyarham yang masing-masing terkejut menerima berita kematian bekas wakil rakyat tersebut.

Antara yang hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mayat kedua-dua mangsa yang selesai dibedah siasat sudah dituntut oleh keluarga masing-masing untuk dikebumikan petang ini.

Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Shah Alam manakala Siti Rohana di Batu 6 1/2, Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang.

Abdul Aziz meninggalkan isteri, Datin Siti Fatimah Md. Noor, 62, dan tiga anak iaitu pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Norazila, 40; pensyarah Universiti Selangor (Unisel), Norazian, 37; Mohd. Anis Hisham, 33, yang juga Exco Pemuda UMNO serta empat orang cucu berusia antara 5 hingga 10 tahun.

Abdul Aziz berkhidmat sebagai ADUN Permatang selama sepenggal mulai 2004 sehingga 2008 setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Samry Masri dengan majoriti 4,285 undi.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, beliau memberikan laluan kepada Sulaiman Abd. Razak daripada UMNO.

Sebelum dilantik sebagai ADUN Permatang, Abdul Aziz pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Tan Sri Abu Hassan Omar semasa beliau menjadi Menteri Besar Selangor serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.


source: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.