Wednesday, February 15, 2012

Contohi Allahyarham Leftenan Adnan


SINGAPURA 14 Feb. - Pengorbanan Allahyarham Leftenan Adnan Saidi mempertahankan negara harus dicontohi seluruh rakyat Malaysia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Leftenan Adnan dengan pasukannya telah mempertahankan Tanah Melayu ketika itu daripada pendudukan Jepun sehingga titisan darah terakhir. Walaupun beliau ketika itu tahu akan risikonya, beliau tetap memperlihatkan komitmen yang bukan kerana jawatan atau pangkat, tetapi pengorbanan kepahlawanan sejati.

"Pada hemat saya, generasi kini dan akan datang harus melihat bahawa pengorbanan yang diperlihatkan oleh Leftenan Adnan adalah pengorbanan kepahlawanan yang harus dijadikan contoh bagaimana mempertahankan negara tidak boleh dibeli dengan wang ringgit ataupun pangkat serta harta benda, tetapi pengorbanan jiwa raga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada upacara penghormatan sempena 70 tahun peristiwa berdarah pertempuran Bukit Candu dan kejatuhan Singapura ke tangan Jepun di Lt Adnan Reflection Centre di sini.

Ahmad Zahid berkata, hari ini merupakan hari memperingati pahlawan dari Tanah Melayu, khususnya Leftenan Adnan dari Regimen Askar Melayu yang terkorban dalam peristiwa berdarah itu pada 14 Februari 1942.

"Walaupun ini pertama kali saya, Timbalan Menteri dan beberapa jeneral dari Malaysia (berada di sini), tetapi ulang tahun ke-70 ini adalah satu tarikh signifikan bagi kita mengenang jasa dan menghargai pengorbanan yang telah diperlihatkan oleh pegawai dan tentera kita demi mempertahankan tanah air kita kerana Singapura adalah sebahagian daripada Tanah Melayu pada ketika itu," katanya.

Beliau juga berasa amat berbangga kerana kerajaan Singapura mewujudkan arkib negara mereka bagi mengenang jasa pahlawan negara Malaysia selain pahlawan mereka.

"Dengan ini, semoga keluarga Allahyarham Adnan Saidi dan para arwah perajurit yang lain dapat bersama-sama untuk menghargai jasa mereka.

"Kita berharap kenangan ini bukan sekadar kenangan, tetapi menjadi sebagai motivasi kepada anak-anak muda pelbagai bangsa bagi memperlihatkan rasa patriotisma yang tinggi dalam mempertahankan negara kita," katanya.

Ditanya mengenai cadangan menukarkan nama Port Dickson kepada Leftenan Adnan sebagai penghormatan kepada pahlawan negara itu, Ahmad Zahid berkata mungkin ada tempat lain yang lebih sesuai, dan ia bergantung kepada keputusan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Cadangan itu baik, walau bagaimanapun, tertakluk kepada perkenan Tuanku," katanya.

Adnan bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Leftenan Adnan dilahirkan di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor pada 1915.

Pada 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan memasuki Rejimen Askar Melayu dan beliau ditempatkan di Singapura pada akhir 1941.

Keberanian Allahyarham bersama 42 anggota Askar Melayu yang bertempur bermati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kekal dalam lipatan sejarah negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.