Monday, July 30, 2012

Harga rokok mungkin naik lagi di Bajet 2013

Naikkan harga rokok dalam Belanjawan 2013


KERAJAAN perlu menaikkan harga rokok kepada RM30 sekotak berbanding RM10 ketika ini bagi sekotak rokok 20 batang jika kerajaan benar-benar serius dalam membendung wabak merokok.
Ini kerana menggunakan "langkah cukai dan harga untuk mengurangkan permintaan bagi tembakau" merupakan cara berkesan untuk mengurangkan pengambilan rokok dalam kalangan perokok dan menghalang mereka yang berpotensi untuk mula merokok.
Langkah ini diiktiraf oleh pakar kawalan tembakau dan juga anggota dalam Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di mana Malaysia turut menjadi anggota sejak 2005.
Oleh sebab itu, kerajaan perlu agresif melaksanakan Artikel Enam, FCTC dengan mencadangkan agar cukai yang lebih berat dikenakan ke atas tembakau dan produknya dalam Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan nanti.
Ketika ini, harga minimum rokok ialah RM6.40. Ini jelas bahawa harga rokok di Malaysia lebih rendah berbanding negara yang mempunyai langkah antimerokok yang lebih serius.
Harga sekotak rokok 20 batang berjenama terkenal di Australia ialah RM52; Norway (RM45), Ireland (RM38), Amerika Syarikat (RM37.80), United Kingdom (RM32) dan Singapura RM29.
Kajian pada 2008 mendapati, jika cukai menyebabkan 40 peratus peningkatan harga rokok, wabak dalam kalangan orang dewasa Amerika Syarikat yang merokok akan merosot dari 21 peratus pada 2004 kepada 15 peratus pada 2025 nanti.
Lebih dekat dengan kita, Thailand yang menjalankan penyelidikan pada 2006 untuk menilai kesan kenaikan cukai tembakau daripada 75 peratus kepada 79 peratus dan membawa kepada 15 peratus peningkatan harga rokok mendapati, 58 peratus perokok kurang merokok sementara 10 peratus berhenti.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2006 pula mendapati, hampir tiga juta perokok di Malaysia (kira-kira 2.8 juta orang dewasa dan 0.2 juta remaja berusia bawah 18 tahun).
Malaysia mempunyai wabak merokok 23.1 peratus dalam kalangan orang dewasa dan wabak merokok yang amat tinggi iaitu 30.9 peratus dalam kalangan remaja lelaki berusia 13-15 tahun.
Bertentangan dengan wabak merokok di Singapura yang mempunyai harga rokok lebih tinggi (kira-kira RM29 bagi sekotak 20 batang).
Singapura hanya mempunyai wabak merokok 14.3 peratus bagi dewasa dan 8 peratus dalam kalangan lelaki berusia 13-15 tahun.
Ini jelas menunjukkan keberkesanan harga rokok yang tinggi di Singapura dalam membendung wabak merokok terutama sekali dalam kalangan orang muda.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) juga menggesa kenaikan harga secara drastik kerana peningkatan harga secara beransur-ansur dalam tempoh beberapa tahun mungkin tidak berkesan dalam menangani wabak ini.
Perokok mungkin mengadu mengenainya tetapi menjadi tidak peka dengan peningkatan seperti itu dan malah menganggapnya sebagai inflasi.
Seperti yang ditunjukkan dalam kajian di Thailand, Singapura, Kanada dan Amerika Syarikat, perokok cenderung untuk tidak meneruskan tabiat mereka jika Harga Minimum Rokok dinaikkan secara mendadak. Menanggung tabiat merokok tidak lagi dapat dipertahankan memandangkan peningkatan harga amat membebankan terutama sekali kepada golongan muda dan miskin.
Dalam beberapa minggu lalu, pihak media tidak habis-habis menyiarkan apa yang sering dihujahkan oleh industri tembakau bahawa peningkatan harga rokok akan meningkatkan aktiviti penyeludupan, apatah lagi apabila Malaysia mempunyai pesisir pantai yang panjang melibatkan 4,675 kilometer.
Kerajaan juga perlu mempertimbangkan dengan serius untuk memperkenalkan hukuman penjara mandatori terhadap penyeludup, pengedar, peruncit dan pengguna.
Pengguna yang membeli rokok seludup juga perlu dipenjarakan kerana mereka turut bersubahat dengan aktiviti haram dan berbahaya. Mereka juga sama seperti membeli barangan curi.
Harta dan aset penyeludup dan pengedar perlu dirampas, bukan hanya barangan yang diseludup seperti rokok dan kenderaan. Ini kerana rokok yang diseludup lebih berbahaya, sering mengandungi paras nikotina dan tar yang tinggi dan tercemar dengan plumbum, kadmium dan arsenik.
Penyeludupan rokok diketahui amat popular dengan penjenayah di banyak negara kerana denda "lebih ringan berbanding jenayah lain seperti penyeludupan dadah".
Sama dengan Malaysia, tidak terdapat hukuman berat terhadap penyeludup yang membawa rokok ini yang diketahui diisi dengan serbuk kayu untuk mengurangkan kos, tercemar dengan najis tikus dan bahan kimia berbahaya lain.
Oleh sebab itu, CAP menggesa kerajaan meningkatkan dengan drastik harga rokok untuk menyelamatkan generasi masa depan daripada menjadi penagih nikotina, dan daripada keluarga dan kerajaan membelanjakan jumlah yang besar untuk merawat penyakit berkaitan dengan rokok. source: utusanonline

No comments:

Post a Comment

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.