Friday, April 20, 2012

90% Kolej Swasta Akan Tutup Tanpa PTPTN

Saranan Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan PTPTN mendapat reaksi pelbagai di kalangan masyarakat.   Ada yang marah, terkejut dan menggeleng-gelengkan kepala memikirkan apakah Anwar sudah gila akhirnya?

PTPTN adalah skim yang ternyata baik untuk rakyat dan kerana adanya PTPTNlah maka kita melihat begitu ramai anak Malaysia yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Pusat Pengajian Tinggi tidak kira awam mahupun swasta.  Menurut Anwar,  beliau sedia maklum akan implikasi dari menghapuskan PTPTN tetapi pembangkang memegang kepada prinsip pembelajaran percuma kepada semua rakyat Malaysia.   Namun, Anwar juga mengakui yang pihaknya belum lagi memikirkan secara terperinci mengenai perlaksanaan cadangan tersebut.  Anwar juga menegaskan bahawa beliau memahami angka-angka yang terlibat.  Kita merasa amat sangsi akan kemampuan Anwar memahami angka, bukan hanya kerana beliau mempunyai latarbelakang pendidikan Pengajian Melayu dengan kelulusan atas pagar tetapi kerana seorang yang mampu memahami angka tidak mungkin akan mencadangkan sesuatu yang tidak masuk akal seperti menghapuskan PTPTN.  

Sedarkah Anwar bahawa bukan sahaja pelajar, tetapi Insititusi Pengajian Tinggi di seluruh Malaysia, terutamanya swasta juga bergantung kepada PTPTN.  Sebanyak lebih kurang RM40 – RM50 billion diperlukan untuk menampung kos Pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia yang mana termasuk bayaran pensyarah, penyelenggaraan dan operasi keseluruhan.  Kabinet baru-baru ini telah meluluskan dana tambahan sejumlah RM6 billion untuk PTPTN 2012/2013.  Dengan kos yang begitu tinggi, kolej atau Universiti swasta akan terjejas teruk jika PTPTN dihapuskan kerana pelajar-pelajar mereka yang majoritinya terdiri dari bukan Melayu, amat bergantung kepada dana ini untuk melanjutkan pelajaran.  Kaum Melayu mungkin masih mempunyai alternatif lain seperti MARA ataupun pinjaman JPA tetapi ia pastinya terhad dan tidak mampu menampung kesemua pelajar yang layak mendapat bantuan.  

Oleh itu, PTPTN adalah satu-satunya opsyen terbaik bagi pelajar-pelajar ini mendapatkan bantuan kewangan.  Terdapat 21 IPTA dan 49 IPTS (termasuk dengan kolej universiti dan cawangan universiti luar negara) di Malaysia.  Kesemua mereka dianggarkan menerima 200,000 lebih pelajar setiap tahun.   Tanpa PTPTN, dianggarkan 90% dari IPTS akan tutup kerana kolej-kolej ini amat bergantung kepada yuran yang dibayar oleh pelajar-pelajar bagi membolehkan mereka terus beroperasi.  Jika kemasukan pelajar merosot akibat tiada kemampuan, pastinya IPTS juga akan akhirnya terpaksa gulung tikar.  

Seterusnya, ia akan membawa kepada masalah pengangguran dan akhirnya masalah sosial di dalam masyarakat kerana ramai lulusan SPM dan STPM tidak mampu melanjutkan pelajaran dan sukar mendapat pekerjaan.  

Begitu juga dengan para pensyarah dan pekerja-pekerja di IPTS yang telah ditutup.  Bagaimanakah dengan nasib mereka?   

Nampaknya Anwar tidak berfikir panjang apabila menyarankan agar PTPTN dihapuskan.   Tidak mungkin kerajaan mampu memberi pendidikan 100% percuma kepada ke semua 200,000 pelajar di semua 70 IPTA dan IPTS di seluruh negara dan menanggung kos operasi secara keseluruhannya.  Bukankah dengan memberi pinjaman PTPTN maka pelajar-pelajar juga secara tidak langsung dapat belajar memikul tanggungjawab dan mengatur perbelanjaan sendiri sebagai persediaan menjadi seorang dewasa yang berguna?  

Mungkin Anwar terlepas pandang semua ini kerana terlalu sibuk memikirkan bagaimana beliau boleh termakan umpan Nallakarupan baru-baru ini.  



No comments:

Post a Comment

Advertised

Kami membuka peluang kepada anda untuk mengiklankan perniagaan anda bersama kami yang boleh dilihat oleh pembaca dan pelawat Aktivis Media Siber.
Jenis iklan :-
1. Banner ( 728×90, 468×60, 300×250 )
2. Iklan Teks Berbaris
3. Advertorial
Untuk iklan jenis advertorial, segala bahan iklan hendaklah disediakan oleh pihak anda (pengiklan) sendiri. Sekiranya memerlukan pihak kami menulis advertorial bagi pihak anda (pengiklan), caj pengiklanan adalah berbeza.
Syarat-syarat pengiklan ialah:-
1. Iklan mestilah bebas dari segala bahan larangan seperti berunsur lucah, MLM, rokok, arak dan lain-lain lagi yang dirasakan tidak sesuai untuk bacaan umum.
2. Tempoh iklan dipaparkan adalah selama satu bulan ( 1 ) dari tarikh iklan anda diluluskan.
3. Pihak kami berhak menolak/memadam iklan anda sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan di dalam iklan tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan, boleh hubungi kami di alamat email ke sahabatmediamelaka@gmail.com . Terima kasih.