
18 Okt 2011
MAJLIS Malam Media Perdana 2011 julung kali diadakan bagi merapatkan hubungan media dan pelbagai kementerian anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) berlangsung dalam suasana meriah.
Selain pengamal media penyiaran, media cetak dan blogger, majlis diadakan di Dewan Perdana Felda Jalan Semarak, Kuala Lumpur ini turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta menteri Kabinet.
Antara pegawai kanan media yang hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaluddin; Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima; Datuk Ahmad A Talib; Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP); Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Ketua Pegawai Operasi NSTP; Mohammad Azlan Abdullah; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar.
Ia turut diserikan dengan persembahan Papa Rock, Ramli Sarip, Stacy dan Adibah Noor selaku pengacara dan pelakon komedi, Harith Iskander.
Dua persembahan sketsa media, cabutan bertuah dan muzik jazz iringan Orkestra RTM turut menghiburkan lebih 1,000 jemputan dan VIP.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurugambar Bernama TV yang maut terkena tembakan sewaktu membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia pada 2 September lalu.
Cek RM425,933 daripada sumbangan orang ramai dan insurans diserahkan kepada bapa Allahyarham, Mohd Nor Mat Yassin.
Source: fotoBERNAMA
No comments:
Post a Comment