
Rakyat Kelantan yang mahukan perubahan kini mula menyokong kerajaan Barisan Nasional apabila menyedari kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS membangunkan negeri itu, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Beliau berkata Kelantan yang begitu jauh ketinggalan dalam pembangunan, pelaburan dan ketiadaan peluang pekerjaan menyebabkan rakyatnya mula bangkit untuk kembali kepada Barisan Nasional (BN).
“Kelantan yang begitu jauh ketinggalan dalam pembangunan menyebabkan rakyatnya inginkan perubahan. Saya nampak kesedaran secara menyeluruh di kalangan rakyat Kelantan bahawa mereka mahukan kemajuan dalam negeri. Ini membuatkan sokongan kepada BN lebih diterima hari ini.
“Kesedaran politik di kalangan rakyat Kelantan semakin meningkat berikutan ketiadaan peluang kerja dan niaga di negeri itu begitu dirasakan oleh penduduknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi 2011 Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata Kelantan merupakan negeri yang paling kecil menerima pelaburan pada tahun lalu, iaitu hanya RM187 juta atau 0.3 peratus berbanding RM40 bilion di seluruh negara.
Dari segi pengutipan cukai jualan, beliau berkata Kelantan hanya mengutip RM34 juta setahun berbanding dengan negeri negeri lain, seperti Melaka yang mencecah RM1.3 bilion.
“Kenapa Kelantan menghadapi masalah pengaliran masuk pelabur asing? Infrastrukurnya tidak seimbang dan masalah terbesar ialah tiada bekalan air bersih untuk indnustri dan rakyatnya juga menghadapi masalah bekalan air,” katanya.
Mengenai usaha untuk mengembalikan Kelantan kepada BN, Dr Awang Adek berkata calon yang boleh menang penting.
“Kini, suasana (Kelantan) sangat kondusif. Kita perlu mencari calon yang boleh menang seperti yang dikatakan Perdana Menteri.
“Orang Kelantan dari segi kelayakan dan kepakaran memang hebat dan ramai, sama ada di dalam atau di luar Kelantan. Jadi, sudah tiba masa kita menggunakan bakat mereka untuk membangunkan Kelantan,” katanya.
No comments:
Post a Comment